Pertanian dalam bangunan solusi masa depan
Sekuriti makanan semakin memburuk sejak kebekalangan ini akibat perubahan cuaca yang ekstrem dan perang di benua Eropah.
Salah satu cara menjimatkan ruang dan minimum serangan makhluk perosak yang telah diteroka dan boleh dikembangkan secara besar besaran adalah melalui kaedah ‘pertanian pintar’ dan ‘pertanian dalam bangunan’ (Vertical Farming)
Menurut Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya, vertical farming juga mungkin jawapan paling sesuai bagi anak muda tempatan yang enggan melakukan kerja kerja pertanian tradisional yang dianggap kotor atau berpanas terik kawasan lapang.
Menurut persatuan pelajar itu, pada 2020 daripada 18,547 kekosongan pekerjaan dalam bidang pertanian hanya 2,982 yang diisi. Menunjukkan pekerja di negara ini kurang berminat menyertai sektor pertanian.
“Sektor pertanian tidak dapat menarik perhatian anak muda khususnya apabila ramai antara mereka yang lebih berminat tinggal di bandar metropolitan berbanding luar bandar dan berasa kerja tersebut terlalu sukar.
“Perkara ini boleh diatasi menerusi penggunaan teknologi pertanian vertical farming dan smart farming. Pendekatan ini telah banyak digunakan di luar negara dan telah mula mendapat tempat di Malaysia. Namun, masih kurang sokongan daripada kerajaan berbanding negara-negara lain seperti Singapura.
“Di Singapura, vertical farming telah diangkat sebagai penyelesaian kepada sekuriti makanan dengan kerajaan mewujudkan tempat khas untuk vertical farming seperti di bumbung bangunan perumahan kos rendah dan tempat letak kereta,” kata persatuan itu dalam satu kenyataan.
Menurut Angkatan Mahasiswa Universiti Malaya itu, kebaikan vertical farming kerana boleh dibangunkan di mana-mana sahaja sama ada bandar mahupun luar bandar. Konsep pertanian tersebut juga boleh dilakukan dalam bangunan melalui penggunaan lampu LED menggantikan cahaya matahari.
Vertical farming tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai, membolehkan kurang kebergantungan negara terhadap pekerja asing serta meminimumkan penggunaan racun serangga.
“Vertical farming turut membolehkan tanaman tersebut hidup dengan penggunaan sifar racun serangga dan kurang penggunaan air sehingga 90%. Konsep ini terbukti boleh meningkatkan hasil tanaman sehingga 40 kali ganda berbanding kaedah konvensional per ekar,” kata kenyataan itu.
Tambah mereka, terdapat beberapa cadangan yang boleh difikirkan kerajaan dalam memajukan pertanian menerusi konsep berkenaan.
“Kerajaan boleh menyediakan tempat khas untuk vertical farming dan membuka tender kepada syarikat tempatan untuk mengalakkan pembukaan lebih banyak syarikat yang akan menggiatkan diri dalam industri
“Kerajaan juga boleh menggalakkan Felda untuk menggiatkan diri dalam vertical farming supaya kewangan petani Felda tidak terlalu terbeban apabila harga minyak sawit turun pada satu ketika nanti,” kata kenyataan itu.
Angkatan Mahasiswa juga menyarankan Kerajaan menyediakan geran khas kepada mana-mana syarikat yang mahu melakukan usaha vertical farming secara “indoor” kerana kos modal untuk memulakannya secara dalambangunan lebih tinggi.
“Walaupun masih ada kekangan dalam ‘vertical farming’, di mana masih banyak tanaman yang belum boleh ditanam atau tidak sesuai ditanam (seperti gandum) namun masih terdapat banyak sayuran yang boleh diusahakan menggunakan kaedah pertanian ini.
“Contohnya sayuran seperti tomato, kobis, brokoli, timun, cili dan cendawan. Ini seterusnya boleh mengurangkan kebergantungan negara terhadap sayur-sayuran ini kepada sumber import,” kata kenyataan itu lagi.