Saya ambil maklum pengumuman Perdana Menteri berhubung pelanjutan terpilih moratorium bank selama 3 bulan.
Pelanjutan ini adalah bermaksud untuk memanfaatkan rakyat yang sedang kesempitan, terutamanya mereka yang telah kehilangan kerja dan punca pendapatan akibat Covid-19 dan PKP.
Kepada mereka yang gajinya terkesan, bank-bank akan menawarkan pengurangan dalam pembayaran pinjaman.
Langkah ini akan memberi kelegaan kepada lebih satu juta rakyat yang dijangka akan menganggur pada penghujung tahun ini.
Walaubagaimanapun, pada hemat saya ia adalah penyelesaian jangka pendek bagi satu masalah yang amat besar.
Saya menggesa kerajaan untuk segera memikir dan melaksana suatu kebijakan yang menyeluruh dalam mendepani masalah pengangguran yang semakin meruncing dan juga hal kemiskinan di negara ini.
Kita telah menggariskan bahawa hampir 20% dari tenaga kerja di Malaysia adalah bekerja sendiri.
Semasa PKP, kumpulan ini benar-benar terkesan dengan kehilangan sumber pendapatan dengan lebih 90% mengalami pengurangan mendadak dalam pendapatan, dan sekurang-kurangnya 50% kehilangan terus pendapatan.
Langkah yang diumumkan hari ini tidak memastikan manfaat akan diterima oleh yang bekerja sendiri dan di dalam sektor yang tidak rasmi, terutama yang miskin bandar dan yang di desa.
Moratorium tambahan dan kelonggaran dalam pembayaran pinjaman adalah bergantung pada permohonan dan kelulusan yang akan dilaksana oleh bank-bank.
Justeru apa yang diumumkan itu tidak akan dijamin secara automatik, dan bank pula akan menggunakan budi bicara mereka dalam menentukan siapa layak atau tidak layak untuk penangguhan pinjaman.
Saya mendesak kerajaan untuk bersikap telus dan penuh kebertanggungjawaban dalam memastikan agar manfaat dan langkah yang diumumkan itu benar-benar sampai pada yang mereka yang dalam kesesakan hidup dengan seberapa cekap yang mampu.
Kerajaan sebelum ini telah secara salah menggambarkan jumlah rangsangan fiskal yang disuntiknya ke dalam ekonomi dan bantuan langsung kepada rakyat Malaysia.
Saya kecewa dan bimbang dengan pengulangan dari fakta-fakta yang samar sementara tantangan sebenar yang merundung rakyat Malaysia tidak dapat ditangani dengan baik.
Lima bulan sudah berlalu tatkala wabak, namun kita juga mengharapkan kejujuran, ketelusan dan pendekatan yang menyeluruh dan bijaksana dalam menyelesaikan masalah-masalah ini.
Saya gesa kerajaan untuk memberi keutamaan dalam membangunkan penyelesaian yang tuntas kepada masalah pengangguran, kemiskinan dan jurang pendapatan yang melebar, mewujudkan program keselamatan sosial yang mampan bagi mendukung kumpulan masyarakat yang miskin sementara ekonomi untuk pulih, dan turut menyediakan lebih banyak bantuan kepada rakyat dan pengusaha-pengusaha PKS yang kini sedang bergelut dengan masalah kewangan ketika wabak.
ANWAR IBRAHIM
Pengerusi PH/Presiden PKR
30 Julai 2020.