Tiga pihak hangat berunding pujuk, ugut
Ada tiga pihak berkongsi tiga strategi berbeza dalam politik negara sekarang.
Pihak pertama ingin mengekalkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan mengukuhkan PN sebagai perikatan politik yang rasmi.
Usaha ini digerakkan oleh kumpulan awal yang merintis Langkah Sheraton iaitu Bersatu, Ahli Parlimen (MP) PKR yang melompat ke PN, serta segelintir MP Umno.
Mereka berusaha keras untuk mempertahankan PN kerana buat masa ini mereka bergantung sepenuhnya kepada perikatan tersebut untuk mengekalkan kedudukan dan meneruskan kesinambungan politik.
Kumpulan kedua adalah yang mengharapkan Parlimen dibubarkan dan PRU-15 diadakan.
Usaha ini digerakkan oleh Umno dan disokong oleh proksi politik mereka dalam BN dan MN.
Usaha ini digerakkan oleh Umno dan disokong oleh proksi politik mereka dalam BN dan MN.
Tujuannya untuk membolehkan Umno mengetuai kerajaan selepas memenangi PRU-15 tersebut.
Itu lebih baik kepada mereka berbanding menumpang dalam kerajaan PN yang diketuai oleh Bersatu sekarang.
Berkongsi kuasa dalam kerajaan PN sekarang, beberapa pemimpin utama Umno tidak berjawatan, bahkan ada yang berada di peringkat akhir perbicaraan beberapa kes rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.
Berdasarkan situasi tersebut, memenangi PRU15 dan mengetuai kerajaan adalah lebih baik bagi Umno berbanding berada pada tahap sekarang.
Pihak ketiga adalah yang ingin mengambil alih semula kerajaan tanpa melalui pilihanraya.
Usaha ini sedang digerakkan oleh PH dengan sokongan MP Bersatu daripada kumpulan Tun M, Warisan dan beberapa kumpulan kecil MP yang lain.
Usaha ini sedang digerakkan oleh PH dengan sokongan MP Bersatu daripada kumpulan Tun M, Warisan dan beberapa kumpulan kecil MP yang lain.
Mereka ingin mengembalikan mandat rakyat yang diperolehi dalam PRU14 lepas, terutama pada masa kerajaan PN dilihat tidak stabil sehari dua ini.
Apakah situasi terkini?
Ketiga-tiga situasi tersebut sedang hangat dirundingkan oleh pihak-pihak yang terlibat.
Sebagai orang awam, perlu juga kita memahami bahawa istilah runding dalam politik berada dalam dua maksud iaitu pujuk dan/atau ugut.
Jangan hairan, itu adalah proses normal dalam tawar-menawar politik, apatah lagi dalam situasi genting dan selisih nipis seperti sekarang.
Jangkaan?
Buat masa ini kerajaan PN akan terus bertahan, bahkan akan diperkukuhkan sedikit demi oleh para strategis mereka.
Tan Sri Muhyiddin yang sedang mengetuai kerajaan hanya mempunyai dua ancaman yang memungkinkan kerajaan ini gagal dipertahankan.
Ancaman pertama adalah kemampuan PH yang disokong oleh kumpulan Tun M dan Warisan mengumpul cukup sokongan MP untuk menubuhkan kerajaan.
Namun sehingga kini, kemungkinan tersebut adalah kabur, PN boleh menarik nafas lega sekurang-kurangnya buat masa ini.
Situasi itu banyak dipengaruhi oleh kegagalan Anwar dan Tun M untuk berkompromi, khususnya siapa yang akan jadi PM.
Selagi isu tersebut gagal dinoktahkan secara muktamad, mereka akan gagal mengumpul cukup sokongan untuk mengambil alih semula kerajaan.
Bahkan, MP sedia ada yang sedang menyokong pakatan tersebut seorang demi seorang akan isytiharkan sokongan kepada PN selepas ini.
Ini juga normal dan mudah dijangka, rundingan yang saya maksudkan itu (pujuk dan/atau ugut) akan mengambil tempat dalam setiap sela masa yang tergantung.
Ancaman kedua adalah jika Umno menarik sokongan kepada Muhyiddin sebagai PM.
Dengan isyarat-isyarat yang ditunjukkan oleh kepimpinan tertinggi Umno, saya menjangkakan sudah ada permintaan mereka supaya PM membubarkan Parlimen untuk membolehkan PRU-15 dipanggil.
Sudah tentu ada rundingan antara Umno dan Bersatu untuk isu ini, masing-masing ada pro dan kontra, permainan tarik tali akan terus berlaku.
Walaupun mengharap Parlimen dibubarkan, saya tidak menjangkakan Umno akan menarik sokongan kepada PM dalam masa terdekat.
Jika Umno menarik sokongan, risiko untuk PH mengumpul cukup sokongan dan menubuhkan kembali kerajaan tanpa PRU adalah kuat.
Bagi Umno, berada sebagai sebahagian daripada kerajaan PN seperti sekarang ini adalah jauh lebih baik berbanding PH mengambil alih kerajaan.
Dalam masa yang sama, walau secara phywar Umno mencadang dan menyatakan kesediaan untuk menghadapi PRU-15, namun tentu sekali strategis-strategis mereka telah memberi input yang signifikan kepada pimpinan tertinggi.
Intipatinya adalah jelas, walaupun BN + MN berpeluang untuk memenangi jika PRU-15 diadakan sekarang, namun peluang tersebut bukanlah jaminan yang cerah.
Para strategis dan pemikir Umno sudah tentu mencongak kemungkinan ini dengan mendalam, tentu sekali mereka menyedari situasi ini dengan jelas.
Untuk menghadapi PRU dalam masa terdekat, Umno bergantung sepenuhnya kepada sokongan segmen pengundi Melayu.
Ada 122 kawasan Parlimen dengan majoriti pengundi Melayu melebihi 70 peratus yang berpotensi dimenangi oleh BN + MN.
Namun dengan gabungan tahap sokongan pengundi Melayu terhadap Umno dan Pas hanya sekitar lebih sedikit 60 peratus, belum ada jaminan untuk BN + MN mendominasi semua kawasan Parlimen tersebut terutama yang terletak di Pantai Barat Semenanjung.
Itu belum diambil kira undi outliers yang terkeluar daripada peratusan yang sedia ada, saya jangkakan undi outliers ini akan terhasil daripada tindak balas kerjasama Umno-Pas nanti seperti penggunaan lambang, agihan kerusi, penamaan calon, nostalgia dan sebagainya.
Walaupun undi outliers ini tidak besar, namun cukup untuk menjadi asbab mereka akan kalah di kawasan-kawasan marginal kecil.
Gabungan PKR dan AMANAH masih mempunyai sekitar 20 peratus sokongan pengundi Melayu, dengan sokongan kuat segmen pengundi bukan Melayu, mereka masih berpotensi merampas sebahagian kerusi yang diidamkan oleh Umno dan Pas itu.
Walaupun ada protes dalam beberapa siri PRK terakhir, namun pengundi bukan Melayu khususnya pengundi China masih solid kepada PH, calon-calon PKR dan DAP masih berpeluang besar untuk menang di kawasan bercampur.
Keputusan PRK Parlimen Tanjong Piai tidak boleh dijadikan pedoman mutlak untuk PRU, itu adalah senario semasa yang bersifat protes kepada PH.
Jika PRU-15 diadakan dalam masa terdekat, faktor Borneo sekali lagi akan menentukan siapa yang akan ditabalkan sebagai kerajaan.
Maksudnya, walaupun Umno telah menggerakkan perang saraf untuk mengadakan PRU15, mereka tidaklah terlalu ghairah untuk mendesak dan memaksa PM membubarkan Parlimen dalam masa terdekat.
Berbanding ketidakpastian sama ada boleh atau tidak untuk memenangi PRU-15 dengan selesa, lebih baik untuk Umno bertahan dalam kerajaan sekarang berbanding membiarkan PH merampasnya.
Berdasarkan jangkaan PN atau lebih tepatnya PM mampu mengurus dan menangani dua ancaman tersebut, saya jangkakan kerajaan PN akan terus bertahan buat masa ini.
Walau dengan majoriti tipis, namun perlu diingat bahawa majoriti penjawat awam sekarang menyokong kerajaan PN.
Ini membolehkan proses penyampaian kerajaan terus berjalan lancar dengan sokongan kukuh kakitangan awam, walaupun situasi politik agak terumbang-ambing.
Penjawat awam bukan sekadar menyokong PN kerana PN adalah government of the day, tapi mereka juga menyokong dalam konteks pendirian politik.
Jika tidak percaya, boleh buat kajian untuk menafikan dakwaan saya ini.
*DR MOHD YUSRI IBRAHIM ialah Ketua Penyelidik ILHAM Centre.