PMX MAKIN BANYAK CEDERA, TAPI BILA LAGI JKOM NAK TAMPIL MEMBELA?
Sebagaimana bumi kebelakangan ini lebih kerap ditimpa hujan sehingga pokok pun banyak yang tumbang, iklim politik negara juga akhir-akhir ini sentiasa dibadai isu silih berganti tanpa henti.
Antara isu yang memanaskan atmosfera politik negara kebelakangan ini ialah pencen penjawat awam, tahanan rumah Najib Razak, penjualan saham MAHB kepada Blackrock, suami menteri dapat kontrak dengan Kerajaan Selangor dan yang terbaru, penghapusan subsidi diesel yang membuatkan ramai melompat kerananya.
Dalam semua isu itu, selain kerajaan dihenyak daripada pelbagai sudut, tentu sekali ia turut membuatkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim paling banyak terkena kesan tembakan.
Tetapi, amat malang sekali dalam berhadapan semua itu itu, Anwar seolah-olah bersendirian membela dirinya sendiri.
Sementara jentera komunikasi kerajaan dibawah Fahmi Fadzil dilihat tidak berfungsi, manakala media-media danaan pro kerajaan yang sepatutnya lebih ke depan pula asyik goyang kaki dengan terus seronok memaparkan berita-berita “copy paste” daripada portal-portal ternama atau memuatkan tulisan popular yang viral di media sosial, lebih malang lagi kerana agensi khusus untuk membela kerajaan seperti Jkom juga lamgsung tak berbunyi apa-apa.
Keadaan itu membuatkan ada yang bertanya, masih hidup lagikah Jkom sekarang ini?
Sejak Khairuddin Othman dilantik mengetuai Jkom pada 1 Mac lalu bagi menggantikan Dr Agus Yusof, peranan agensi tersebut dalam mempertahankan kerajaan bukannya bertambah baik, tetapi semakin hilang daripada radar.
Sekurang-kurangnya Dr Agus dulu kerap juga muncul di media dan sesekali menulis di laman sosialnya, sehinggalah beliau kemudian lenyap terus berikutan tercetusnya skandal A&W yang menggemparkan negara.
Kharuddin selaku Ketua Ketua Pengarah Jkom, selain tak pernah bercakap atau muncul di mana-mana media, beliau juga langsung tidak aktif di media sosial.
Semakan di Facebooknya mendapati kali terakhir ia di-update pada November 2022, manakala di Twitter (kini X) ialah pada 2019.
Nak kata ada program-program tertentu dilaksanakan Jkom di mana-mana, tidak pula ada kedengaran sebarang hebahannya, bahkan laman sosial agensi tersebut sendiri didapati turut tidak aktif.
Dalam pada itu, cuba-cuba juga mencari melalui google kalau-kalau Ketua Pengarah Jkom itu didapati ada pergi ke mana-mana program, pergi kenduri atau makan-makan dengan kawan-kawan misalnya, malangnya apa kesan pun tak ditemui.
Jadi, Ketua Pengarah Jkom ini buat apa?
Apa kerja yang dilakukan beliau untuk menggerakkan Jkom dalam berhadap isu demi isu dalam negara?
Takkan jadi ketua agensi seperti Jkom duduk bersembunyi di pejabat saja?
Bukankah dalam Jkom sendiri, ada unit media sosialnya sendiri?
Zaman media sosial dan ada media sosial tapi tak bersosial…habis, nak jadi apa?
Kerajaan madani ini sudah terbentuk hampir dua tahun dan setelah lebih setahun ia membazir masa dan wang ketika direrajui Dr Agus, nampaknya malang menimpa sekali lagi ketika ia di bawah kepimpinan Khairuddin ini.
Sampai bila Jkom nak senyap begini?
Sedemikian itu, untuk kebaikan Anwar dan kerajaan madani itu sendiri, adalah dicadangkan agar kontrak lantikan Ketua Pengarah Jkom selepas ini tidak lagi dibuat untuk tempoh dua tahun sebagaimana biasa.
Lantikan harus dibuat secara bulan ke bulan dan sekiranya gagal berfungsi, kontrak hendaklah ditamatkan dengan serta-merta.
Baru padan muka!!
Kontrak lantikan Khairuddin ini patut juga disemak semula dengan kadar segera, kalau tidak, macam bayar gaji buta saja, walhal Anwar selaku Perdana Menteri makin kerap ditembak cedera tanpa dibela. – ShahbudinHusin11Jun2024.
https://shahbudindotcom.net/2024/06/11/pmx-makin-banyak-cedera-tapi-sampai-bila-jkom-nak-diam-diri-tak-berbunyi-apa-apa.html