Ekonomi masa hadapan: Kerajaan labur RM1 bilion sokong syarikat pemula









 Ekonomi masa hadapan yang berkaitan teknologi maklumat dan diterajui syarikat pemula atau start up company akan mendapat sokongan padu daripada Kerajaan.



Hal itu dinyatakan oleh Perdana Menteri dalam ucapan Majlis Peluncuran Ekonomi Madani Memperkasa Rakyat, pagi tadi.



"Malaysia menduduki tangga ke-20 dunia Laporan Ekosistem Syarikat Pemula Global 2023 dengan nilai ekosistem syarikat pemula Malaysia mencecah AS$46 billion bagi tempoh separuh pertama 2020 sehingga 2022.



"Ke hadapan kerajaan bersama GLIC akan melabur RM1 bilion dana tambahan secara padanan dengan dana swasta bagi menyokong syarikat pemula tempatan dan mendorong technopreneur. Ini termasuk memastikan penyediaan dana bagi setiap fasa syarikat berpertumbuhan tinggi;



"Kerajaan juga memperluas pelaksanaan program seperti Corporate Hackathon dan MYHackathon di bawah Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030 bagi mendekatkan rakyat dan syarikat pemula untuk mengatasi masalah yang dihadapi



"Kerajaan juga memperuntukkan tambahan RM100 juta bagi mempergiatkan ekosistem penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I) dengan tumpuan kepada keperluan industri, tenaga boleh baharu, keterjaminan makanan serta aktiviti pertumbuhan baharu," katanya.



Menyentuh mengenai ekonomi digital pula, kata PM, Kerajaan turut memberi sokongan penuh kepada perniagaan berasaskan digital bagi mengurangkan jurang ekonomi rakyat.



"Untuk memacu reformasi ekonomi digital, pelaksanaan Digital ID akan disegerakan bagi mengembangkan perniagaan dalam talian dan aplikasi berkaitan.



"Geran padanan digitalisasi akan ditambah RM100 juta bagi membantu PMKS menyegerakan peralihan model perniagaan kepada lebih digital," katanya.



Dalam ucapan itu PM juga menyentuh mengenai memperluaskan kerjasama ekonomi Malaysia dalam kerangka ASEAN dan memastikan syarikat negara akan menjadi pemain utama ekonomi di rantau ini.



"Usaha kita sekarang perlu melangkaui perjanjian perdagangan bebas. Misalnya melalui diplomasi perdagangan dan pengaturan

strategik yang boleh mengembangkan integrasi pasaran bilateral dan multilateral serta memudahkan pergerakan barang, modal,

modal insan dan perkongsian teknologi dengan negara jiran.



"Melangkah ke depan, misi baharu perindustrian di bawah NIMP akan menumpukan aktiviti dengan nilai tambah tinggi atau kecanggihan ekonomi.



"Misalnya, kluster di Pulau Pinang perlu menumpukan kepada aktiviti E&E bernilai tinggi seperti Integrated Circuit (IC) design. Sektor kimia pula, perusahaan petrokimia serta oleokimia perlu memberi tumpuan kepada aktiviti pembuatan kimia khusus (specialty chemicals)," katanya.



Selain itu, PM menyarankan pembaharuan dalam banyak segi agar Malaysia dapat tergolong antara 12 ekonomi terbaik di dunia dari segi daya saing dan “ease of doing business”.



PM juga menekankan naik taraf kawasan perindustrian dengan prasarana lengkap serta meningkatkan pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan pelabur.



Antaranya, kata beliau, ialah sektor petrokimia di Kerteh, Terengganu dan pusat data di Sedenak, Johor serta industri hiliran

getah di Kuala Nerang, Kedah.



"Sebagai permulaan, RM100 juta disediakan bagi usaha melengkapkan infrastruktur kawasan perindustrian terutamanya prasarana berkonsepkan hijau," kataya lagi.



Tidak ketinggalan PM yang juga menteri kewangan mahu lebih banyak syarikat berasaskan bakat seperti Aerodyne

dan Les Copaque dilahirkan melalui galakan kepada syarikat pemula dan PKS Bumiputera menceburi bidang pertumbuhan

baharu.



Katanya, GLC dan GLIC perlu terus memacu pelaburan DDI dan menyokong pembangunan vendor tempatandalam sektor strategik, seperti E&E, ekonomi digital dan aeroangkasa.