Perdana Menteri (PM) dalam sistem Wesminister sebagaimana
diamalkan di Malaysia boleh dipecat oleh Ketua Negara sekiranya melanggar
Perlembagaan atau tidak mahu menunjukkan majoriti keabsahannya untuk berkuasa.
Pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari berkata, duluan itu
berlaku di negara Komanwel yang agak sama Perlembagaannya, iaitu di Australia
pada 1975, apabila PM Gough Whitlam dipecat oleh Gabenor Jeneral Sir John Kerr
setelah bertindak bertentangan Perlembagaan dalam waktu krisis.
"Ketua Negara sebenarnya ada kuasa pecat PM walaupun dia ada
majoriti di dalam keadaan tertentu. Orang tanya, ada peruntukankah? Tak ada,
tetapi duluan itu menjadi satu asas tentang keharusan Raja, Presiden atau
Gabenor Jeneral untuk pecat PM
"Mengapa? Kalau dia tak ada majoriti. Atau kalau ada majoriti
pun dia melanggar Perlembagaan atau memanipulasi Perlembagaan. Tinggal lagi
terpulang kepada Ketua Negara itu. Dia berani atau tidak.
"Sekarang ini kalau kita tengok dia (Mahiaddin) berkali-kali
mengelak dan menutup Parlimen. Tak mahu majoriti ditunjukkan. Ini kepada saya
satu perkara yang agak luar biasa.
"Kelmarin Ismail Sabri kata 110 sokongan, kalau berani
tunjuklah. Betul atau tidak. Ini yang kita marah, dia kata ada tetapi tak mau
tunjuk. Parlimen buka entah bila.
"Ini pada saya mengganggu perjalanan Parlimen dan atas dasar
itu PM boleh dipecat sebab menghalang Perlembagaan," kata Dr Aziz dalam
forum anjuran Studio 137 bertajuk "Serius Lah! - Langgar Perlembagaan,
Tangguh Parlimen" yang disiar di Facebook.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak itu lagi, alasan yang kuat
untuk memecat apabila Majlis Raja-raja Melayu sebelum ini telah menyebut dalam
kenyataan bahawa negara perlukan kerajaan mantap dan stabil.
Selain itu, katanya, Umno pula sering kali berkata menarik
sokongan dari kerajaan Mahiaddin. Jadi PM telah kehilangan keabsahan untuk
kekal berkuasa
Tambah Aziz, sekiranya mengikut duluan di Perak pada 2009 jawatan
PM itu telah pun dianggap dikosongkan apabila berlaku hal-hal sedemikian.
Ditanya sama ada Agong mempunyai kuasa untuk menitahkan Parlimen
mengadakan Undi Percaya di Parlimen bagi menentukan majoriti, Dr Aziz berkata
hal itu boleh dilakukan.
"Dalam sistem Wesminister, Raja ada kuasa beri amaran,
menasihat dan menganjurkan. Dia boleh menganjurkan (Undi Percaya).
"Orang Melayu lebih senang kata kalau tak dengar (titah)
derhaka. Itulah yang berlaku (kuasa Agong). Boleh. Itu antara pendekatan dia
boleh ambil.
"Boleh Agong anjurkan kepada Parlimen (menentukan majoriti)
dan telah disebut juga secara tidak langsung oleh Majlis Raja-raja (dalam
kenyataan) sebulan yang lepas (dengan peringatan mahukan kerajaan yang
stabil)," katanya lagi.