SARIPAH SH ABDULLAH
Sebagai seorang Melayu Muslim saya dipaksa menerima pemimpin dari kalangan perasuah, perompak dan pedagang agama. Saya tidak redha dan bantah.
Saya belajar sesuatu dari apa yang berlaku. Seperti diawal posting saya mengenai, belum pernah Allah mengumpulkan semua penjenayah dalam satu rumah, tentu tidak sia-sia dan ada hikmah untuk dimuhasabah.
Orang Melayu Islam sudah jauh tersimpang dari mementingkan displin, maruah dan prinsip diri. Pemimpin Melayulah yang bertanggungjawab kerana gagal dalam amanah memimpin rakyat agar hidup berintegriti. Malah mereka menggalakkan rakyat untuk terus mengejar wang ringgit dan harta benda. Dalam mengejar kekayaan ini, cara mendapatkannya tiada lagi salah.
Dari penipuan sebesar-besar 1 MDB sampailah sekecil-kecil mencuri diperingkat rakyat dalam syarikat malah sanggup menikam downline dengan mengambil wang dan tidak diberi barang. Ia berlaku kerana mengejar pangkat dan wang semata-mata. Rakyat menjadi ghairah melihat pemimpin bermewah, maka mereka juga tidak mahu terlepas dari perlumbaan mengumpul kereta dan rumah.
Apabila mati satu pun tidak dibawa dan anak-anak pula telah dijamin rezeki mereka oleh Mak dan Ayah walaupun harta menggunung itu hasil dari wang rasuah atau jual beli tidak sah!
Datang pula yang beragama menyelit kekayaan Abdurrahman bin 'Auf sedangkan wang Abdurrahman bin 'Auf tidak pernah kekal bertimbun di dalam perbendaharaan. Ia hanya singgah ditangan untuk diagih kepada yang memerlukan.
Jangan kita cemar nama sahabat-sahabat Nabi s.a.w. hanya untuk menghalalkan nafsu kita untuk mengumpul harta konon untuk berzakat. Islam BUKAN sekadar zakat apabila kamu dikurnia kekayaan! Membantu tahfiz dan anak yatim pun bermusim dengan bergambar sekadar mempertontonkan jiwa penderma.
Selagi orang Islam tidak mempunyai jiwa hamba kepada Tuhannya, selagi itulah nafsu tidak bertepi membisik dunia ditelinganya.
Rasulullah s.a.w. contoh terbaik orang kaya YANG BERJAYA menunduk nafsunya. Sedangkan kita nafsu gagal dikawal dan bermimpi ingin kaya dan terkaya di dunia.
Negara orang Islam satu demi satu tumbang BUKAN kerana miskin TETAPI kerana pemimpin tidak amanah dan tidak pernah kenyang dengan kekayaan dunia. Apabila nafsu sentiasa lapar dengan hidangan dunia, maka amanah menjaga rakyat tidak lagi menjadi agenda.
Mereka hanya ingin berebut ghanimah dunia BUKAN untuk mengurus negara jauh sekali membela nasib rakyat di bawah!
Sedihnya ada rakyat yang rela menjadi hamba manusia kerana ganjaran dapat dipegang dan dimiliki walau untuk sementara.
Kita dibimbing bahawa miskin itu derita dan berdosa. Kekayaan itu keseronokan dan bahagia. Sedangkan Allah memilih siapa dikalangan hambanya untuk kaya. Bila berniaga untung berganda, kerana bukan untuk mengumpul harta dengan bilangan rumah atau kereta TETAPI sebagai pelapis kepada Abdurrahman bin 'Auf yang berjaya mengurus harta Tuhannya.