Apa sudah jadi pada laungan “Hidup UMNO”?. Laungan ini nampaknya kian sirna daripada arena politik Malaysia. Bukan pemimpin kecil – kecil yang melompat keluar dari UMNO, tetapi pemimpin senior berpengalaman juga kecut lari menyelamat diri.
Mungkin mereka ini khuatir dengan contoh – contoh yang ditunjukkan depan mata mereka. Najib Razak yang dulunya mereka ampu puji kini kerjanya masuk lokap dan keluar lokap. Azeez Rahim yang dulu singa garang kini menjadi tikus yang tertambat dengan kemelut Tabung Haji. Presiden UMNO sendiri, Zahid Hamidi pula nampaknya hanya menunggu masa.
Maka bergetarlah hati – hati para pemimpin UMNO yang merasakan giliran mereka juga sudah berada di hujung simpang.
Beranilah Kerana Benar, Takut Kerana Salah
Pesan saya kepada pemimpin UMNO yang sedang khuatir ini, beranilah kerana benar dan takutlah kerana salah. Teruslah berjuang sebagai pembangkang yang jujur, ikhlas dan berani. Setiap pemerintah memerlukan pembangkang yang berkesan.
Pembangkang yang kuat akan menjadi agen semak dan imbang yang penting dalam memastikan urustadbir negara sentiasa terpandu mengikut kepentingan rakyat. Jika pembangkang benar – benar berkerja jujur, tekad, ikhlas dan konsisten, lambat laun pihak pembangkang yang baik akan menjadi kerajaan juga seperti yang diperolehi Pakatan Harapan hari ini.
Tapi kerjanya tidak mudah. Pihak Pembangkang suatu ketika dahulu terpaksa menempuh lokap, berbaring di atas jalan raya, badan dipijak, baju dikoyak, pedih mata dek gas pemedih mata, diaibkan melalui media – media arus perdana, malah ada yang dipenjara bertahun – tahun.
Kerja Pembangkang Hari Ini Lebih Mudah
Bukan niat untuk bernostalgia dengan romantisme lama, tetapi ingin memberitahu kepada para pemimpin UMNO betapa beruntungnya mereka. Kerja mereka sebagai Pembangkang hari ini sangat mudah hasil usaha Pembangkang terdahulu. Rakyat sudah cukup matang dan kritikal dalam menilai. Kebijaksanaan rakyat ini menjadikan tidak terlalu susah untuk Kerajaan bertukar tangan.
Pembangkang juga hari ini ada ruang seluas – luasnya untuk tampil menerusi media arus perdana. Berdemonstrasi juga bebas tanpa ada provokasi daripada pihak Kerajaan. Lalu apa sebenarnya yang ditakutkan pemimpin UMNO yang melompat ini?
Apa Yang Pelompat Risaukan ?
Jika alasannya mereka tidak biasa menjadi pembangkang, maka inilah masanya untuk mereka menerima hakikat yang rakyat telah memilih Kerajaan baharu dan meletakkan UMNO sebagai pembangkang. Jika alasannya mereka ingin menyumbang tenaga sebagai Kerajaan, mereka perlu tahu bahawa Malaysia baharu ini tidak lagi seperti Kerajaan terdahulu yang meminggirkan Pembangkang. Mereka boleh pada bila – bila masa terlibat, memberi pandangan dan sumbang saran untuk memantapkan agenda rakyat.
Atau sebenarnya para pelompat UMNO ini gelisah kehilangan elaun beribu-ribu ringgit sebulan?, atau mereka terlalu janggal untuk hidup tanpa kuasa untuk meluluskan projek dan menerima lobi – lobi para kontraktor?, atau mereka tak biasa hidup tanpa menggunakan aset – aset Kerajaan yang digunakan seperti harta peribadi sebelum ini?
Atau yang paling mungkin adalah, mereka – mereka ini sedang merayu untuk tidak diberi nasib yang serupa seperti Najib Razak, Azeez Rahim dan Zahid Hamidi.
Pembangkang Yang Kuat Perlu Lebih Dihormati Berbanding Para Pengecut Yang Melompat
Sewajarnya jika pemimpin dan anggota UMNO merasakan UMNO tidak lagi kuat seperti dahulu, maka mereka perlu berusaha untuk membawa kembali UMNO ke landasan perjuangan yang lebih relevan. Bukannya masing – masing melompat untuk menyelamatkan nasib sendiri. Betapa palsunya kesetiaan yang dicanang sebelum ini apabila begitu mudah para pelompat ini meninggalkan bahtera lama mereka yang sedang diuji.
Justeru, saya merakam setinggi – tinggi rasa hormat kepada rakan – rakan UMNO yang masih setia dalam UMNO. Saya merasakan UMNO akan tampil lebih kuat setelah gelombang ini berlalu. UMNO yang kuat bermakna pihak pembangkang juga akan lebih kuat. Pembangkang yang kuat akan membawa banyak manfaat untuk rakyat.
Pakatan Harapan Perlu Berhati – hati Menerima Sang Pelompat
Kerajaan Pakatan Harapan juga perlu berhati – hati dalam menerima kehadiran bertali arus para pelompat ini. Jika mereka ini benar – benar mahu membantu Kerajaan, mereka boleh saja berperanan daripada meja pembangkang. Kerajaan baharu juga perlu sentiasa bermuhasabah. Apakah layanan yang sewajarnya telah diberikan kepada pihak Pembangkang ?. Jangan sampai Pembangkang hari ini merasakan perkara yang sama seperti yang dilakukan Kerajaan terdahulu. Suara Pembangkang tidak didengari dan kehadiran di Parlimen sekadar untuk mendengar pengumuman – pengumuman sebelah pihak Kerajaan.
Malah para pelompat ini perlu melalui proses tapisan yang ketat. Majoriti rakyat telah menghukum UMNO pada Pilihan Raya Umum yang lepas, lalu bagaimana Pakatan Harapan boleh mudah – mudah menerima pelompat ini dengan anggapan mereka sudah ‘bertaubat’.