Dengan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) maka berakhirlah satu era penindasan rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional. Berakhirlah satu sejarah hitam buat negara kita, di mana sepanjang 52 tahun pelaksanaan ISA dijangka lebih 10,000 orang mangsa telah ditahan tanpa bicara di bawah akta tersebut.
Tetapi adakah kita rakyat harus rasa gembira?
Saya rasa ini bukannya masa untuk diraikan kegembiraan dengan membaca Al-Fatihah kepada ISA kerana ia masih belum benar-benar meninggalkan tanah air Malaysia. Di samping itu keengganan kerajaan BN mengambil tanggungjawab ke atas kezaliman yang diperlakukan ke atas mangsa-mangsa ISA dengan meminta maaf secara terbuka atas tahanan tanpa bicara yang melanggari segala asas perikemanusiaan serta lunas undang-undang hak asasi manusia dan due proses.
Setengah mangsa yang tidak bersalah mahupun berdosa terdiri daripada Timbalan Perdana Menteri, Menteri-menteri, ketua pembangkang aktivis sosial dan rakyat biasa. Apakah kesalahan sehingga boleh memudaratkan keselamatan negara selain daripada menentang pemimpin BN yang rasuah dan menggugat monopoli kuasa rakus BN daripada terus menindas rakyat.
Apakah kesalahan Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Karpal Singh, Mat Sabu yang selalu ini menegakkan kedaulatan undang-undang dan sistem perlembagaan beraja sehingga perlu merengkok dalam tahanan di bawah ISA tanpa bicara dan dituduh melakukan kesalahan dengan sewenang-wenangnya tanpa bukti langsung. Malah mereka yang buat tuduhan palsu bukan sahaja tidak dikenakan tindakan sebaliknya dinaik pangkat dan diangkat ke jawatan yang tinggi.
Sebagai seorang bekas orang tahanan ISA, saya tahu secara peribadi daripada pengalaman pahit macam mana ISA ini boleh disalahgunakan. Bila saya ditahan dalam 1987 di bawah Operasi Lalang, saya hanya berumur 26 tahun dan baru dipilih sebagai Ahli Parlimen Kawasan Kota Melaka. Dalam umur yang begitu mentah ini, saya dituduh mengancam keselamatan negara sehingga boleh mencetuskan negara menjadi huru-hara sekiranya saya masih bebas. Kalau begitu dengan umur saya sekarang menjangkau 52 tahun, bukankah saya lagi mengancam?
Proses 60 hari "solitary confinement" sukar dilalui kerana nyawa kita terletak di bawah tangan seorang dua pegawai polis yang boleh buat apa-apa pun secara suka hati ke atas saya. Saya dipersoalkan mengapa menentang Perdana Menteri Malaysia, adakah saya mahu dibebaskan dengan syarat saya mengaku atau bertaubat di depan kaca mata televisyen bahawa saya terlibat dalam kegiatan subversif dan dianiayai secara mental.
Saya diletakkan di dalam sebuah bilik berwarna biru habis tanpa cermin dengan sebuah kipas tidak bergerak dengan empat cangkuk besar. Saya tidak dibenarkan tidur lebih 24 jam dengan dipaksa duduk di atas bangku dengan pegawai polis berteriak ke dalam telinga saya setiap kali saya nak mengantuk untuk memaksa saya "bertaubat". Saya sudah dikira bernasib baik kerana tidak dipukul dan dibelasah dengan ganas macam berlaku ke atas Ketua Pembangkang dan ramai rakan-rakan lagi.
Sebagai peneraju dan pewaris ISA, adakah BN bersedia meminta maaf secara terbuka ke atas semua mangsa-mangsa kezaliman. Selagi BN enggan berbuat demikian susah untuk menemui penutupan atau "closure" dan menimbulkan keraguan bahawa pemansuhan ISA hanya permainan silap mata untuk menyembunyikan muslihat jahat BN nak meneruskan ISA dalam bentuk dan rupa lain (in in different guise and form).
Hakikatnya, kita harus mengingati bahawa ISA ini sebenarnya telah diwujudkan sebagai langkah pencegahan komunis di Malaya dan kemudiannya Malaysia pada zaman darurat. Perdana Menteri Malaysia yang pertama, Tunku Abdul Rahman sendiri telah berkata bahawa:
"ISA yang telah diperkenalkan pada tahun1960 telah dirancang untuk digunakan semata-mata untuk melawan komunis... Saya dan para jemaah menteri saya telah berjanji kepada Parlimen dan kepada negara bahawa kuasa besar yang diberi kepada kerajaan di bawah ISA tidak akan digunakan untuk menyekat pembangkang yang sah."
Sekiranya apa yang dikatakan Bapa Kemerdekaan kita ini benar, maka ISA sepatutnya dimansuhkan selepas tamatnya pemberontakan senjata komunis secara rasmi pada tahun 1989 dengan perjanjian damai di antara Parti Komunis Malaya ditandantangani dengan Ketua Polis Negara Rahim Nor di Haadyai pada 2 Disember 1989. Ini kerana tujuan utama undang-undang ini diperkenalkan sudah tidak lagi relevan. Tanpa ada lagi ancaman komunis, ISA seharusnya tidak diperlukan lagi. Namun, ISA diteruskan sebagai senjata ke atas musuh politik BN yang menentang BN secara aman dan berlandaskan Perlembagaan.
Sejarah hitam ISA harus dikuburkan buat selama-lamanya, dan ini tidak akan berlaku selagi Kerajaan tidak mengambil langkah untuk meminta maaf dan memberi jaminan bahawa undang-undang kuku besi seperti ISA tidak akan diulangi lagi, mahupun secara tidak langsung. Selagi Kerajaan tidak meminta maaf, selagi itulah hantu ISA akan membayangi legasi mereka. Ini jelas tertera secara langsung atau tidak dalam tiga RUU yang dibentangkan untuk menggantikan ISA, RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, RUU Kanun Tatacara Jenayah(Pindaan) 2012 dan RUU Kanun Keseksaan(Pindaan) 2012.
Hakikat ini dinyatakan oleh Menteri Dalam Negeri dua hari lepas bahawa "The new law replacing the Internal Security Act (ISA) will not hamper the abilities of the Royal Malaysia Police (PDRM) to protect the safety of the public". Dengan kata lain, pihak polis masih mempunyai kuasa samada adanya atau tidaknya ISA sepertimana yang termaktub dalam Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan sesiapa ditahan untuk apa tujuan pun.
RUU ini pada permulaannya menyebut bahawa "tindakan telah diambil dan tindakan lanjut diancam oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia", sebagaimana yang disenaraikan. Siapakah kumpulan besar itu, dan apakah tindakan-tindakan yang telah diambil dan yang diancam? Saya rasa bahawa ahli-ahli yang berhormat hendaklah diberitahu terhadap kumpulan manakah RUU ini ditujukan, kerana hanya selepas itu bolehlah Dewan yang Mulia ini meneliti dengan baik RUU ini.
Pada mukadimah RUU ini adalah disebut bahawa, dengan izin, "action has been taken and further action is threatened... to procure the alteration, otherwise than by lawful means, of anything by law established". Inilah satu contoh penggubalan undang-undang secara "cut-and-paste". Sepatutnya, "anything" itu hendaklah merujuk kepada "something" atau "certain things" yang sudah diketahui. Ancaman yang dirujuk, adakah ia benar-benar wujud atau hanya dalam khayalan Kerajaan sahaja?
RUU ini dicadangkan untuk digubal di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan undang-undang khas diperbuat bagi tujuan menentang tindakan subversif walaupun undang-undang itu bertentangan dengan hak-hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan. Kita semua tahu bagaimana lagi satu Akta yang digubal di bawah Perkara 149, yakni ISA yang sepatutnya bertujuan untuk menentang kempen keganasan Parti Komunis Malaya, tetapi telah disalahgunakan oleh Kerajaan BN untuk menzalimi dan menganiayai rakyat Malaysia yang tidak bersalah walaupun kempen komunis itu telah tamat lebih daripada 23 tahun lalu, pada tahun 1989.
Sebenarnya, Perkara 149 pada asalnya hanya membenarkan undang-undang khas diperbuat untuk setahun sahaja. Jika ia tidak dilanjutkan setiap tahun, maka undang-undang khas itu seharusnya luput. Demikianlah perlindungan yang wujud di bawah Perlembagaan zaman Merdeka, tetapi Kerajaan Perikatan dan BN telah meminda Perlembagaan kita untuk menghapuskan perlindungan hak-hak rakyat. Jika Kerajaan benar-benar patuh kepada semangat Perlembagaan dan hak-hak rakyat, RUU ini harus dipinda supaya ia luput jika tidak diperbaharui setiap tahun oleh Parlimen.
Fasal 4 RUU ini membenarkan pihak polis untuk menahan seseorang bagi tempoh selama 28 hari tanpa bicara dan tanpa dibawa ke hadapan majistret. Fasal ini amat bahaya. Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa: "Jika seseorang ditangkap dan tidak dilepaskan, maka orang itu hendaklah tanpa kelengahan yang tidak munasabah, dan walau bagaimanapun dalam tempoh 24 jam ... dibawa ke hadapan majistret dan orang itu tidak boleh ditahan dalam jagaan selanjutnya tanpa kebenaran majistret itu."
Dengan fasal 4 ini, hak asasi yang dijamin oleh Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan adalah dirampas dan dicabuli. Jika mana-mana orang boleh ditahan selama 28 hari tanpa dibawa kehadapan majistret, manakah jaminan bahawa orang itu tidak akan dibelasah dan diseksa polis selama tempoh itu? Siapakah yang boleh tahan diseksa selama 28 hari? Dalam masa satu bulan orang tahanan boleh dibelasah sampai lebam, dan selepas itu ditahan sehingga lebam itu pudar.
Sekurang-kurangnya, seseorang yang ditahan patut dibawa ke hadapan majistret selepas 24 jam pertama, dan selanjutnya selepas setiap tujuh hari yang berlalu. Mengapakah Kerajaan dan pihak polis begitu takut membawa orang tahanan ke hadapan majistret? Bagaimanakah hak asasi rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan boleh diketepikan dengan begitu senang?
Bagi orang tahanan yang mampu mendapat perwakilan peguam dan mampu menyaman pihak polis, memang tindakan mahkamah boleh diambil terhadap polis sekiranya kuasa tahanan disalahgunakan. Namun realitinya, lock-up dan penjara-penjara di seluruh negara kita penuh dengan orang tahanan, termasuklah pemuda-pemuda bawah umur, yang tidak mampu mendapat perwakilan undang-undang. Oleh sebab itu, penyeliaan badan kehakiman adalah mustahak. Sekali lagi, saya ingin tanya, mengapakah Kerajaan dan pihak polis begitu takut membawa orang tahanan ke hadapan majistret?
Tanpa penyeliaan badan kehakiman, kami rasa bahawa pihak polis boleh melanjutkan tempoh tahanan orang tahanan selepas akhir 28 hari, dengan membebaskan dan menahan semula orang tahanan itu selepas setiap 28 hari, seperti yang sering dilakukan di bawah ISA. Dengan ini, tempoh tahanan itu boleh dilanjutkan bertahun-tahun tanpa had. Bolehkah Menteri memberi jaminan bahawa tempoh tahanan 28 hari itu tidak boleh dilanjutkan secara membebaskan dan menahan semula orang tahanan?
Bahagian IV RUU ini memberi kuasa kepadaPendakwa Raya berkenaan dengan kes-kes yang melibatkan "maklumat sensitif". Pentakrifan "maklumat sensitif" ini amat luas, dan merangkumi apa-apa dokumen, maklumat dan bahan yang berkaitan dengan Jemaah Menteri dan jawatankuasanya atau yang menyentuh kedaulatan, keselamatan negara, pertahanan, ketenteraman awam dan hubungan antarabangsa, sama ada bahan itu dikelaskan sebagai rahsia atau tidak. Pentakrifan ini adalah terlalu luas, dan nampaknya adalah bertujuan melindungi kepentingan Kerajaan dan bukan kepentingan awam atau kepentingan negara. Keperluan menjamin keadilan perbicaraan tidak disebut sama sekali dalam Bahagian ini. Menteri patut menjelaskan sama ada mahkamah mempunyai budibicara untuk menolak permohonan Pendakwa Raya di bawah fasal 8 jika perlu untuk menjamin keadilan perbicaraan. Ini hanyalah satu contoh peruntukan dalam RUU ini yang tidak adil dan tidak wajar.
Kalau dilihat secara keseluruhan, semua peruntukan-peruntukan RUU ini jelas bertujuan untuk membolehkan Kerajaan menyabit dan memenjarakan sesiapa sahaja atas kesalahan keselamatan dengan bukti yang direka-reka. Fasal 8 RUU ini membolehkan Pendakwa Raya menyembunyikan fakta-fakta yang menunjukkan bahawa orang dituduh itu tidak bersalah atasalasan maklumat itu sensitif.
Fasal 14 membolehkan bukti diterima daripada saksi yang menyembunyikan identitinya daripada pihak tertuduh. Fasal 18 membolehkan penyata yang kononnya dibuat oleh orang yang mati, hilang atau tidak dapat hadir ke mahkamah diterima sebagai bukti. Fasal 19 membolehkan orang dituduh disabitkan kesalahan atas testimoni kanak-kanak yang tidak disokong. Fasal 20 membolehkan apa jua dokumen yang kononnya disita oleh polis, walaupun secara menyalahi undang-undang, diterima sebagai bukti.
Fasal 22 membolehkan senarai dokumen atau benda yang kononnya disita oleh polis diterima sebagai bukti kewujudan dokumen atau bend aitu walaupun dokumen atau benda itu tidak boleh dikemukakan di mahkamah. Fasal 23 membolehkan eksibit yang dikatakan sensitif tidak dikemukakan di mahkamah tanpa menjejaskan kes pendakwaan. Fasal 25 membolehkan apa jua dokumen yang dibuat dengan komputer diterima sebagai bukti. Fasal 26 membolehkan testimoni rakan sejenayah dan polis yang memprovokasi tindakan kesalahan itu diterima sebagai bukti.
Fasal-fasal 13 dan 30 pula membolehkan orang dituduh ditahan bertahun-tahun walaupun ia belum disabitkan kesalahan atau didapati tidak bersalah oleh mahkamah, sehingga habis rayuan terakhir. Sungguhpun hak orang yang ditahan boleh menuntut perbicaraan selepas 28 hari tetapi berkemungkinan tidak dapat menikmati kebebasan kerana Fasal 30(1) menyatakan boleh terus direman di dalam penjara sementara menunggu notis rayuan difailkan terhadap pembebasan tertuduh itu oleh Pendakwa Raya dan semua proses undang-undang ditamatkan.
Menteri perlu menjelaskan, apakah kaitan khas antara kesalahan keselamatan dan testimoni kanak-kanak? Apakah saksi yang berkaitan dengan kesalahan keselamatan lebih sering mati atau hilang (mungkin kerana diletup dengan C4), kalau berbanding dengan kes-kes yang lain? Apakah cetakan dari komputer lebih boleh dipercayai dalam kes kesalahan keselamatan? Mengapakah kes kesalahan keselamatan harus lebih senang dibuktikan jika dibandingkan dengan kes bunuh atau kes rogol? Ini semua menunjukkan bahawa undang-undang di negara kita tidak digunakan untuk melindungi rakyat, malah untuk melindungi Kerajaan.
Badan Peguam Malaysia juga telah menyatakan kebimbangan mereka terhadap RUU ini, termasuk sama ada RUU ini patut digubal dibawah Artikel 149 jika syarat-syarat perlindungan memadai, definisi "kesalahan keselamatan" yang terlalu luas, kekurangan pengawasan kehakiman atas penahanan serta penyekatan atas komunikasi, kekurangan perlindungan atas komunikasi peguam-pelanggan, dan yang paling penting sekali keberlainan dengan peraturan-peraturan biasa berkaitan perbicaraan jenayah.
Selagi bayang-bayang, sisa dan saki-baki ISA masih wujud dalam RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2012 dan RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2012, maka ia akan mewujudkan ketakutan di kalangan orang ramai terhadap kerajaan yang bersedia menggunakannya untuk niat dan hasrat politik mereka. Let me close by quoting from American President Thomas Jefferson,
When the people fear the government, there is tyranny;
When the government fears the people, there is liberty.
By continuing to instil fear amongst the people, there is false liberty or no liberty at all but BN continues to exercise tyranny over Malaysians. Pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak bermakna kerana kuasa tahanan luasnya digantikan dengan 3 RUU Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012, Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2012 dan Kanun Keseksaan(Pindaan) 2012. Oleh itu parti DAP menyokong pemansuhan ISA tetapi menentang kesemua tiga RUU yang dibentangkan bersama ini.
"Menubuhkan RCI untuk menyemak segala undang-undang yang menyalahi prinsip hak asasi manusia yang menyekat kebebasan rakyat Malaysia."
*Ucapan Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ahli Parlimen Kawasan Bagan dan Setiausaha Agung DAP di Parlimen semasa membahas Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di Dewan Rakyat pada 16 April 2012.