Tribut untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)

 



Tribut untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)

1. Menyorot sejarah sejak era 70-an, ketika mana anak muda sangat terpengaruh dengan perubahan kerajaan yang berlaku di Pakistan dan Mesir, dan ketika berlakunya revolusi Iran, dikatakan kebanyakan anak cenderung untuk mempunyai kefahaman yang sifatnya lebih ‘radikal’ terhadap Islam yang akhirnya apabila pulang ke Malaysia, mewujudkan kumpulan seperti Islamic Representative Council (IRC), Suara Islam dan kebanyakan mereka menyertai Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam usaha politik perjuangan mereka.

2. Walaupun arus begitu kuat untuk proses Islamisasi berlaku di seluruh dunia Islam, DSAI dan rakan-rakannya dalam ABIM begitu pragmatik dalam menetapkan pendirian dan sikap mereka dalam konteks ini. Mereka berpendirian bahawa Islamisasi perlu berlaku secara ‘bottom-up’, dan bukan sekadar mencedok model Iran, model Pakistan, atau model-model luar yang barangkali tidak cocok dengan keperluan Malaysia.

3. Pendekatan DSAI dan rakan-rakan berteraskan kepada ijtihad, bukan secara taklid dalam tradisi usrah yang memerlukan perbincangan dan diskusi dan analisis kritikal; justeru memaksakan bacaan luas daripada pelbagai perspektif, sama ada dunia Islam, dunia timur dan barat. DSAI dan rakan-rakan lebih cenderung untuk mengutamakan usaha pelaksanaan aspek kesejagatan Islam yang menyeru ke arah kebaikan seperti keadilan, berbanding sikap keterlaluan dalam mengutamakan pelaksanaan aspek perundangan.

4. Sikap pragmatik sebegini sebenarnya sangat tidak popular terutama pada akhir 70-an. Malah, dalam kalangan ahli ABIM sendiri, prinsip keterbukaan ini diamalkan, yang akhirnya menjadikan ahli-ahli ABIM sendiri banyak yang mengambil pendirian, sama ada menyertai PAS, dan ada yang mengikuti DSAI yang memilih untuk menyertai parti UMNO pada 1982 pada usia pertengahan 30-an. Namun, sudah tentu, ada yang memilih untuk kekal untuk tidak menyertai mana-mana parti politik. Prinsipnya, ‘berdakwah di jalur politik; berpolitik di jalur dakwah’; suatu prinsip yang diperkenalkan Pak Natsir, mantan PM Indonesia, yang juga pengasas pergerakan Mahsyumi, Indonesia yang sangat berpengaruh dalam gerakan Islam nusantara pada masa itu.

5. Apabila DSAI dan rakan-rakan ABIM menyertai UMNO yang pada ketika itu dipimpin TDM sebagai PM, DSAI menyatakan bahawa TDM pada ketika itu, bercakap soal reformasi, menentang rasuah, membasmi kemiskinan dan sepertinya yang mana merupakan suatu tarikan dan selari kepada agenda perubahan yang dibawanya dalam gerakan PKPIM dan ABIM; dan sebagai anak muda yang punya idealisme Islam yang mana membawa teras ‘Islam sebagai Cara Hidup’ sejak dalam gerakan kebeliaan lagi, DSAI lantas bangkit dan meneruskan perjuangan itu dalam kerajaan.

6. Inovasi yang dibawa DSAI dalam kerajaan seterusnya menjelaskan lagi sikap ini, seperti penubuhan Bank Islam, Takaful Islam, Universiti Islam, Amanah Ikhtiar, Sistem Pendidikan Islamik (Bersepadu), penerapan nilai-nilai Islam dalam kerajaan dan masyarakat dan sebagainya; Suatu inovasi ummatik yang tidak pernah berlaku sebelum itu, malah dilihat mustahil oleh sebuah kerajaan pimpinan parti yang dilihat sebagai sekular, ekstrem melayu, berorientasikan barat, dan sepertinya.

7. Jelas sekali, DSAI ialah suntikan darah muda yang diperlukan parti itu untuk melakukan pembaharuan kepada negara; Dan itulah suatu hal yang sangat ketandusan dalam parti pemerintah sekarang ini; sehingga hari ini.

8. Dalam pidatonya di Forum Demokrat Muslim Sedunia ke-3, DSAI menyatakan, “Saya berpegang dengan saranan terus terang bahawa demokrasi adalah perintah moral terkandung di dalam definisi seorang Muslim. Orang Islam diseru sebagai individu-individu agar menerima tanggungjawab berpartisipasi di dalam masyarakat untuk menegakkan kehormatan manusiawi dan bekerja membasmi kemiskinan, kemelaratan dan wabak penyakit."

9. Katanya lagi, "Orang Islam berkewajipan melaksanakan syura, bermusyawarah, menjalankan perundingan bersama bagi mendapat perkenan khalayak ramai dan untuk memastikan mereka yang berada di tampuk kuasa mempunyai akauntabiliti kepada pentadbiran dan penyampaian tata kelola baik."

10. Seterusnya, beliau menegaskan, "Menjadi seorang Muslim bermakna berjuang menegakkan prinsip akhlak dan standard etika mencangkupi seluruh ruang lingkup aktiviti manusia sama ada muamalah ekonomi sehingga kepada memelihara alam sekitar. Bagi mencapai matlamat moral melalui cara beretika, orang Islam dikehendaki bekerjasama dengan sesiapa sahaja tanpa mengira asal usul atau kepercayaan.”

11. Dalam satu ketika, DSAI juga berkata“…Saya tidak menyesali jalan yang ditempuhi kerana jejak laluan ini telah membawa saya mengalami dan menghayati kehidupan cukup mencabar dan penuh bermakna bagi saya. Dan di ruang lingkup inilah saya akan terus berperanan secara aktif dan menyertai dengan seutuhnya bagi merealisasikan cita-cita dan matlamat hidup yang lebih tinggi."

12. Selari dengan mutiara kata Pak Natsir, “Pemimpin tidak lahir di bilik-bilik kuliah, tetapi mereka lahir di tengah kancah masalah di tengah masyarakat; Lahir daripada permasalahan umat, mereka menonjol dalam kalangan rakan seangkatan seterusnya diangkat dan dijulang oleh umat”.

13. Maka, yakinlah jalan memperjuangkan kemaslahatan umat, merupakan jalan yang berliku. Itu merupakan sunnah para nabawi. Jika jalannya mudah, kita mungkin perlu lihat semula, adakah jalan yang kita lalui ini, jalan yang betul? Jalan yang diredhai Tuhan?

Terima kasih DSAI.

Radin Muhd Imaduddin

Naib Presiden

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim Pusat)