Meskipun sudah dua hari berlalu, tapi belum terdengar lagi apa-apa kenyataan atau respon daripada Muhyiddin Yassin dan mana-mana menteri kabinet kerajaan berhubung titah Yang Di-Pertuan Agong membenarkan sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.
Berbeza ketika Agong mengisytiharkan perkenan baginda mengenai perlaksanaan darurat sebelum ini, tidak sampai berapa jam saja kemudiannya Muhyiddin terus mengadakan perutusan khas secara langsung menjunjung kasih untuk memperincikan tentang darurat yang dilaksanakan, sambil memberi amaran akan bertindak tegas kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat usaha kerajaan menangani Covid19 dalam tempoh darurat yang diperkenankan itu.
Kenapa kali ini Muhyiddin diam seribu bahasa saja?
Adakah berdiam diri itu tanda beliau tidak setuju dengan titah Agong membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat?
Begitu juga dengan menteri-menteri kabinet tebuk atap yang sebelum ini lantang bersuara menyokong darurat dan penggantungan Parlimen serta menganggap mereka yang mempertikaikannya sebagai derhaka, di mana semua mereka sekarang ini?
Sekarang, siapa sebenarnya yang derhaka?
Apa pun, perkara penting yang tersirat di sebalik titah Agong membenarkan Parlimen bersidang ketika darurat ininadalah petunjuk jelas betapa baginda amat mementingkan kestabilan politik negara.
Politik negara yang tidak stabil bukan saja meresahkan rakyat, malah memberi kesusahan kepada mereka kerana politik yang tidak stabil secara langsung menjunamkan situasi ekonomi yang akan menyebabkan ruang mencari makan semakin terhimpit jadinya.
Lebih buruk, rakyat yang lapar perutnya adalah umpama bom jangka yang boleh menyebabkan letusan tanpa amaran pada bila-bila masa.
Salah satu sebab ketidakstabilan politik kerajaan PN sekarang adalah kerana keabsahan Muhyiddin sentiasa diragui, selain kegagalan dan ketidakwibaannya mengurus negara dengan lebih baik, tangkas serta boleh memberi keyakinan kepada rakyat.
Untuk itu, titah Agong membenarkan Parlimen bersidang ketika tempoh darurat, selain menekankan perkenan baginda berkenaan perlaksanaan darurat sebelum ini hanya untuk membendung Covid19, tanpa keraguan menunjukkan Agong ingin mengembalikan semula kestabilan politik negara.
Walaupun Muhyiddin sebelum ini ada memaklumkan bahawa PRU akan diadakan sebaik wabak Covid19 reda, namun oleh kerana belum dipastikan bila ia sepenuhnya akan reda, sedangkan keadaan politik terus kacau dan tidak stabil sebelum PRU boleh diadakan, di sinilah pentingnya titah Agong ini difahami semua.
Bersandar kemungkinan wabak Covid19 terus berpanjangan tempohnya, bukan saja mengadakan PRU adalah merbahaya kepada kesihatan rakyat, malah dengan tidak dapat dipastikan bila wabak akan reda, bermakna ketidakstabilan politik juga akan terus berlanjutan lantaran PRU sendiri tiada kepastikan bila boleh diadakan.
Dengan yang demikian, sebelum kestabilan politik boleh diperolehi selepas rakyat membuat pilihan mandat dalam PRU15, Agong dalam hal ini ternampak mahukan politik yang stabil dijelmakan terlebih dahulu melalui Parlimen.
Maka itulah barangkali maksud Agong menitahkan agar Parlimen dibenarkan bersidang.
Muhyiddin selaku Perdana Menteri tidak harus dilihat derhaka dengan hanya berdiam diri atau buat-buat bisu terhadap titah Agong kali ini.
Jika sebelum ini Muhyiddin selalu pantas menjunjung kasih atas sebarang titah Agong, kali ini bukan saja tidak terkecuali, malah beliau sepatutnya tidak berlengah lagi menghadap ke Istana Negara bagi menentukan tarikh Parlimen dibuka dengan segera.
Apabila Parlimen dibuka, sesuai dengan keabsahan Muhyiddin yang semakin diragui, perkara pertama yang harus dijadikan agenda oleh Speaker ialah membenarkan majoriti undi Perdana Menteri diuji terlebih dahulu.
Tanpa membenarkan keabsahan diuji, apa pun cakap Muhyiddin dalam Parlimen tidak akan dipercayai, malah ucapannya, walau berdoa mengenai Covid19 sekali pun, ia sama saja tarafnya dengan ucapan perutusan khas di kaca TV yang membosankan seumpama seseorang nak termuntah sebaik terpandang nasi yang sudah basi, di samping kecelaruan politik dalam negara akan berpanjangan lagi.
Keprihatinan Agong membenarkan sidang Parlimen diadakan yang bermaksud untuk mewujudkan kestabilan politik negara, menentukan kedudukan Perdana Menteri yang sah adalah kunci utamanya.
Selepas kedudukan Perdana Menteri selepas diuji, sama ada Muhyiddin kekal lagi atau dijatuhkan dan Perdana Menteri baru ditentukan kemudiannya, kestabilan politik secara autimatik akan menjelma.
Lihat keadaan di Perak setelah Ahmad Faizal Azumu atau Peja ditumbangkan melalui usul undi percaya di DUN negeri, segala-galanya kini sudah jadi tenang bak air di kali.
Politik yang tenang bukan saja membolehkan ketua kerajaan mentadbir dengan lebih baik, bahkan menyenangkan hati rakyat untuk cari makan, meski bukan semua bertuah mampu merobek projek bernilai bilion-bilion ringgit.
Lebih tepat atau mudah difahami, dengan titah Agong ini, hasrat membubarkan Parlimen atau mengadakan PRU hendaklah ditangguhkan dahulu bagi memberi laluan kestabilan politik diwujudkan melalui Parlimen yang tidak memberi ancaman merebaknya Covid19 lantaran telah dipersetujui semua Ahli Parlimen akan disuntik vaksin tidak lama lagi.
Lagi pun, setelah setahun berlalu yang menampakkan terlalu banyak kegagalan dan kecelaruan, bukan bermakna ketika ini menukar kerajaan melalui PRU tidak penting, tetapi jauh lebih penting didahulukan adalah meletakkan seorang Perdana Menteri baru yang lebih berwibawa dan punya hubungan antarabangsa bagi memberi keceriaan kepada rakyat sebelum mereka turun membuat pilihan dengan lapang dada melalui peti undi sebelum tempoh matang pada 2023 akan datang.
(Shahbudindotcom 26/02/2021)