LGBT: Kenyataan PM dan timbalan menteri Pas bercanggah?
Kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan trangender (LGBT) dan saranan perdana menteri semalam dikatakan bercanggah.
Bagaimanapun, Ketua Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh berpendapat sebaliknya.
Nuridah yang juga anggota Dewan Negara daripada PAS melihat cadangan Ahmad Marzuk berhubung isu berkaitan golongan LGBT di negara ini lebih kepada tindakan kasih sayang untuk menyelamatkan golongan terbabit.
“Kedua-dua kenyataan perdana menteri dan YB timbalan menteri tu tidak bercanggah.
“PM mahu ambil sikap tegas kepada mereka yang bersikap kebencian dan permusuhan.
“Apa yang dicadang oleh timbalan menteri adalah usaha atau tindakan kasih sayang untuk menyelamatakan mereka daripada terus terjebak dengan kekeliruan gender dan dosa,” katanya .
Semalam, ketika ucaptama sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Digital Asean Pertama (ADGMIN1), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyarankan agar Asean mengambil sikap yang lebih tegas terhadap ucapan berunsur kebencian, termasuk gangguan berdasarkan jantina atau orientasi seksual serta mempromosi keganasan melalui platform digital.
Dia berkata undang-undang itu boleh dipertimbangkan untuk memaksa platform media digital bertindak terhadap ucapan berunsur kebencian.
Kenyataannya itu muncul selepas Ahmad Marzuk dilaporkan berkata kerajaan persekutuan tidak menolak kemungkinan untuk meminda undang-undang lebih tegas dalam penguatkuasaan terhadap golongan LGBT.
Menurut Ahmad Marzuk, ini supaya ia lebih memberi kesan terhadap usaha membanteras setiap aktiviti dan salah laku golongan berkenaan.
Ia mengundang kecaman kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) yang mengatakan pemimpin PAS itu menggunakan komuniti LGBT untuk mengalih perhatian daripada masalah sebenar yang dihadapi rakyat dan negara.
Perlu cakap serupa bikin
Anggota jawatankuasa pilihan khas parlimen (PSC) berkenaan hal ehwal wanita dan kanak-kanak dan pembangunan sosial, Alice Lau bersetuju supaya tindakan tegas dikenakan terhadap mereka yang mengeluarkan sentimen kebencian terutamanya berkaitan jantina.
Bagaimanapun, Lau yang juga ahli parlimen Lanang mempunyai pandangannya tersendiri berhubung ucaptama Muhyiddin itu.
“Di Malaysia sering terdapat berat sebelah. Saya ingin menggesa kerajaan Perikatan Nasional supaya cakap serupa bikin dan tiada layanan berat sebelah,” katanya.
Lau berkata amalan tersebut perlu dimulakan di Dewan Rakyat dengan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli parlimen yang mengeluarkan ucapan kebencian berkaitan jantina.
Kemudian, katanya negara memerlukan pengawasan media sosial untuk meningkatkan kesedaran tentang kempen ucapan kebencian berkaitan anti-seksis dan kempen ucapan kebencian terhadap jantina, terutamanya di kalangan generasi muda.
Mengulas mengenai kenyataan Ahmad Marzuk, Lau berkata sebarang ucapan kebencian atau tindakan berunsur keganasan harus dikutuk.
“Semua orang layak dilayan dengan rasa hormat seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Bagaimanapun, Fuziah Salleh yang juga merupakan anggota PSC berkata setakat ini jawatankuasa itu hanya menumpukan terhadap wanita, kanank-kanak, orang kurang upaya dan orang asli.
“Transgender tidak termasuk… unfortunately (malangnya),” katanya.
Jelasnya, jawatankuasa tersebut masih belum menggariskan secara terperinci mengenai ucapan kebencian bagi golongan yang dikategorikan dalam PSC.
“Kita belum gariskan lagi secara teliti. Tetapi (ia) khusus untuk wanita. Saya percaya ia akan berkaitan dengan diskriminasi. Ucapan kebencian akan berada dalam kategori itu saya fikir,” katanya.
Tangani buli siber
Sementara itu, Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata dia mengalu-alukan pendirian Muhyiddin itu tetapi menegaskan supaya perdana menteri kelapan itu melaksanakan pendirian tersebut di negara ini juga.
“Sehingga kini kita tidak mempunyai sebarang peraturan atau undang-undang untuk menangani buli siber yang merangkumi ucapan kebencian – yang mensasarkan etnik, jantina, agama, kewarganegaraan dan orientasi seksual tertentu.
“Menteri Komunikasi dan Multimedia mensasarkan tahun 2021 menjadi tahun untuk mengemukakan undang-undang baru untuk menangani masalah buli siber tetapi dengan proklamasti darurat ini, ahli parlimen bukan sahaja terlepas satu sesi Dewan Rakyat di tetapi dua sidang parlimen jika darurat berlangsung sehingga Ogos,” katanya.
Selain itu katanya, peluang untuk memerangi isu pelacuran dan pornografi kanak-kanak di sesawang gelap (dark web) juga akan tergendala.
Mengulas lanjut mengenai ucaptama Muhyiddin pada sidang menteri Asean, Kasthuri berkata dia percaya isu-isu yang dibangkitkan Muhyiddin perlu ditangani perdana menteri di Malaysia.
“Adakah perdana menteri akan meletakkan komitmen untuk menggunakan jentera kerajaan hari ini terutamanya di media sosial dan media konvensional untuk mengemukakan idea yang lebih progresif yang tidak homofobik (benci golongan homoseksual), xenofobik (benci orang asing), seksis, perkauman dan taksub,” soal Kasthuri.