Budaya Hidup Damai Antara Sesama Muslim



Marwan Bukhari


Selain ta'ayush atau budaya hidup damai antara Muslim dan bukan Muslim yang banyak diwacana, ada juga ta'ayush antara Muslim berlainan aliran. Malah hal ini sama atau lebih mustahak kerana melibatkan hak-hak Muslim sesama saudaranya sama ada hak untuk dibantu, kehormatan darah, harta dan maruah dan sebagainya.


Selain itu, jika ada kebebasan beragama bagi bukan Muslim, ada juga kebebasan beragama dalam kalangan Muslim berlainan aliran sepertimana disebut oleh Imam Ibn 'Ashur dalam Usul al-Nizam al-Ijtima'i, malah juga Shaykh al-Buti dalam Yughalitunak idh Yaqulun yang menyebut ciri jaminan kebebasan antara aliran Islam dalam sejarah Islam. 


Kebebasan dan budaya hidup damai bersama ini tentulah tidak menolak untuk memelihara pilihan beragama zaman berzaman masyarakat Muslim di sesuatu tempat. Shaykhna al-Raysuni memberi contoh kepentingan masyarakat Muslim di Magharibah untuk memelihara tiga unsur utama pilihan beragama mereka iaitu mazhab Fiqh Maliki, Akidah Ashairah dan Tasawuf al-Junaid. (Lihat al-Ikhtiyarat al-Maghribiyya fi al-Tadayyun wa al-Tamadhhub). Dalam konteks Malaysia pula, beliau mengajukan cadangan kepada anak muridnya untuk turut memelihara tiga unsur yang sama iaitu Mazhab Shafi'i, Akidah Ashairah dan Tasawuf al-Ghazali. Kepentingan pemeliharaan ini tidak bercanggah dengan keterbukaan wacana Islam dan keperluan untuk ijtihad kontemporari dalam menghadapi cabaran semasa. Shaykhna al-Raysuni mengulas lebih lanjut topik ini dalam bukunya al-Ikhtiyarat al-Diniyyah al-Kubra Li al-Ummah.


Tapi semua itu dilihat dalam kerangka yang luas tentang hubungan sesama Muslim yang punya sangat banyak persamaan meskipun ada tidak sedikit perbezaan. Perbezaan dalam bingkai kesatuan umat, atau perselisihan yang memelihara hak-hak sesama Muslim. Dalam konteks ta'ayush antara aneka aliran ini juga, antara yang mustahak untuk dijaga tentulah adab sewaktu berbeza, tetap bersaudara walau berbalas pandangan, kembali kepada pandangan yang benar walau keluar dari mulut lawan, boleh bersatu dalam perkara penting seperti isu nasional melibatkan kepentingan negara atau antarabangsa melibatkan Palestin, dan sebagainya. Kesatuan umat juga tentu sekali tidak boleh diguna sebagai alasan untuk menutup pintu perselisihan atau kritikan selagimana didasari hujah ilmiah. Antara buku bagus yang mengulas tentang dimensi ta'ayush antara aliran ini ialah Fi al-Tariq Ila al-Ulfah al-Islamiyyah oleh Shaykh Dr Abdul Fattah al-Yafi'i dan al-Muhkamat oleh Shaykh Dr al-Sharif Hatim al-'Awni.


أقول هذا، وأستغفر الله لي ولكم