ZULKAFPERI BUTA FAKTA DESAK MOHAMAD SABU LETAK JAWATAN



1. Desakan Ahli Parlimen BERSATU Zulkafperi Hanapi untuk Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu meletakkan jawatan adalah tidak berasas. Di bawah pimpinan Mohamad Sabu, isu-isu makanan asas seperti telur, sayuran, beras dan ayam telah berjaya distabilkan hanya dalam beberapa minggu atau bulan. Mohamad Sabu juga semakin berjaya membetulkan segala kegagalan yang ditinggalkan oleh Menteri Pertanian terdahulu, Datuk Seri Ronald Kiandee daripada parti Zulkafperi sendiri.


2. Buktinya, inflasi kategori daging telah jatuh ke 5.8% pada Ogos 2023, berbanding 12% pada Julai 2022 bawah Ronald. Inflasi kategori ikan dan makanan laut jatuh ke 1.5% pada Ogos 2023 berbanding 4.2% (Julai 2022). Manakala, inflasi kategori telur, susu dan keju jatuh ke 4% berbanding 9.1% (Julai 2022). Tekanan harga makanan akan terus berkurang jika usaha-usaha Mohamad Sabu dan kementeriannya diteruskan.


3. Kita semua tahu bahawa Malaysia telah jatuh ke dalam krisis bekalan makanan sejurus ekonomi dibuka semula selepas COVID-19. Ronald dan Muhyiddin Yassin daripada BERSATU ketika itu gagal merancang strategi bekalan makanan jangka sederhana, dan ini menyebabkan kekurangan makanan dan harga makanan meningkat. Bukan itu sahaja, kelemahan Malaysia mengukuhkan pengeluaran makanan asas tempatan dalam tempoh 6 dekad lepas juga salah satu punca utama masalah yang kita hadapi ketika ini.


4. Mohamad Sabu dan pasukannya memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan masalah-masalah berkaitan keterjaminan makanan. Mana mungkin masalah 6 dekad diselesaikan dalam tempoh 10 bulan sahaja? Oleh itu, adalah tidak berasas untuk menghukum Mohamad Sabu dipandu pegawai KPKM sedangkan pegawai KPKM hanya memberi maklumat dan fakta yang membolehkan beliau membuat beberapa keputusan yang berjaya menyelesaikan isu makanan yang berbangkit. Dakwaan Zulkafperi ini seolah-olah mempertikaikan kewibawaan penjawat awam. Sikap pembangkang seperti ini merencatkan pembangunan negara. 


5. Hanya dalam 10 bulan lepas, banyak kejayaan dicapai oleh Datuk Seri Mohamad Sabu. Misalnya, apabila isu telur timbul hujung tahun lepas hasil tinggalan Perikatan Nasional, masalah itu diselesaikan dalam hanya 2 bulan di mana bekalan melebihi permintaan. LPP telah dimobilisasi sesegera mungkin untuk mengatasi isu ini termasuk di negeri-negeri pembangkang.


6. Apabila isu beras timbul sebulan lepas, beberapa langkah juga telah diambil. Bermula 5 Oktober 2023, kerajaan memutuskan agar harga beras putih import (BPI) diserap oleh kerajaan bagi membolehkan BPI diperolehi dengan harga runcit RM31 bagi setiap 10 kilogram (kg). Pengusaha restoran diberikan lesen borong supaya dapat membeli BPI bersubsidi. FAMA dan LPP juga telah diarahkan menghantar beras putih tempatan ke kawasan luar bandar dan kedai runcit buat sementara waktu dan kerajaan menanggung kos pengangkutan. Harga beras tempatan kekal murah, yang meningkat adalah beras import kerana India menghentikan jualan eksportnya. 


7. Dalam menjaga pengguna, Kerajaan MADANI juga menjaga kebajikan pesawah dan petani. Misalnya, pada bulan Ogos, PM Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan kenaikkan kadar subsidi harga padi ke RM500 setiap tan berbanding RM360 sebelumnya. PM10 juga mengumumkan peruntukan RM3 bilion bagi menaiktaraf infrastruktur di kawasan MADA sebagai langkah panjang meningkatkan hasil padi. Idea penanaman padi ala-Sekinchan yang menghasilkan padi yang lebih banyak menunjukkan kehendak politik (political will) yang ada pada Mohamad Sabu dalam merubah daya saing dan SSL makanan negara terutama beras. 


8. Jelas sekali Zulkafperi buta fakta dalam membuat serangan terhadap Mohamad Sabu. Momentum Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sektor pertanian perlu diteruskan dan Mohamad Sabu adalah tokoh politik yang kompeten untuk memacu momentum ini.


FAIZ FADZIL

12 Oktober 2023


#MalaysiaMADANI #KerajaanPerpaduan #deminegara #demianakkita #PakatanHarapan #DemiPertiwi #AmanahProgresifPeduli