Usaha kerajaan melalui Bank Negara (BNM)
secara kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat
pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dilihat membawa impak positif dan membantu
mengukuhkan nilai ringgit, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan. Semasa
sesi penggulungan di Dewan Rakyat, beliau berkata langkah koordinasi antara BNM
bersama GLC dan GLIC itu dilihat berjaya menggalakkan aliran masuk yang
berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing. Menurutnya, Kementerian Kewangan
dan BNM telah mengambil tindakan bersepadu dan terselaras bagi membawa masuk
aliran wang ke dalam pasaran pertukaran mata wang asing. Antaranya termasuklah,
menggalakkan GLIC dan GLC membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan menukar
pendapatan tersebut kepada ringgit dengan lebih konsisten “Ketika GLC dan GLIC
meraih keuntungan daripada pulangan pelaburannya yang mungkin lebih baik,
mereka boleh memulangkan keuntungan pelaburan, kita menggalakkan (untuk mereka)
memulangkan. “.. dan kita telah nampak (hasil) usaha bersama BNM, GLC dan GLIC
dalam satu setengah minggu ini, ringgit telahpun mengukuh,” katanya. Amir
berkata, BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh
syarikat pengeksport selain terus menggalakkan penggunaan mata wang tempatan
bagi penyelesaian eksport supaya kebergantungan terhadap dolar Amerika dapat
dikurangkan. Selain itu, bank pusat juga terus memantau pasaran kewangan dan
mengambil langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing
untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan. Beliau berkata dasar
yang diambil kerajaan dalam menangani nilai ringgit mengambil kira
ketidaktentuan cabaran luaran yang menjadi faktor utama dalam pergerakan
ringgit. Setakat 8 Mac, nilai ringgit berada pada tahap lebih baik berbanding
minggu-minggu sebelumnya iaitu pada RM4.68 ringgit berbanding dolar Amerika.
Sementara itu, Amir berkata keyakinan pelabur asing untuk melabur di dalam
negara juga dilihat semakin baik sekali gus dapat mengukuhkan lagi ekonomi
Malaysia pada masa depan. “Biarlah kerajaan berusaha dengan cara-cara yang ada
ini, kita sambut dengan apa yang telah ada dalam negara sekarang, kita sambut
juga keyakinan yang nampak daripada pelabur asing untuk melabur dalam negara
dan inilah akan mengukuhkan negara lebih elok pada masa depan,” katanya.
Menyentuh mengenai cadangan meningkatkan had statutori hutang, beliau berkata,
kerajaan tidak berhasrat untuk menaikkan had hutang tersebut memandangkan
langkah dan komitmen adalah untuk melaksanakan pembaharuan fiskal mengawal
tahap hutang dan defisit. Malah, katanya, kerajaan komited untuk menurunkan
paras hutang seperti sasaran di bawah Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab
Fiskal 2023 (FRA) iaitu tidak melebihi 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) dalam jangka masa sederhana. Amir berkata jumlah pinjaman baharu tahunan
kerajaan mula menunjukkan trend penurunan pasca pandemik ekoran langkah
mengurangkan defisit daripada 5.6% pada 2022 kepada 5.0 peratus daripada KDNK
pada 2023 dan menyasarkan 4.3% pada 2024. Sumber Video/Berita 1. https://www.freemalaysiatoday.com/cat... 2. YT Parlimen Malaysia