𝗞𝗦𝗡 𝗽𝘂𝗷𝗶 𝘀𝗶𝗸𝗮𝗽 𝗣𝗠𝗫 𝘆𝗴 𝗺𝗲𝗺𝗯𝗲𝗿𝗶 𝗸𝗲𝗽𝗲𝗿𝗰𝗮𝘆𝗮𝗮𝗻 𝘀𝗲𝗽𝗲𝗻𝘂𝗵𝗻𝘆𝗮 𝗸𝗲𝗽𝗮𝗱𝗮 𝗽𝗲𝗻𝗷𝗮𝘄𝗮𝘁 𝗮𝘄𝗮𝗺





Mohd Zuki berkata, sikap Perdana Menteri memberi kepercayaan kepada penjawat awam mewujudkan rasa selesa dalam kalangan kakitangan. Apa jua pandangan penjawat awam, akan dihargai dan diminta pandangan. Itu yang saya lihat satu perkara besar dibawa.


Langkah kerajaan tidak lagi bergantung kepada perunding luar dalam menasihat pentadbiran berhubung dasar dan strategi atau melaksanakan projek pembangunan memberi impak besar serta nilai tambah kepada penjawat awam.


Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata langkah terbabit bukan sahaja memberi penjimatan kepada kerajaan, malah mengamanahkan kepercayaan kepada penjawat awam untuk mempamerkan bakat mereka.


Mohd Zuki berkata ia sejajar dengan kepercayaan tinggi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memimpin Kerajaan Perpaduan terhadap keupayaan penjawat awam dalam melaksanakan projek dan agenda pembangunan, daripada bergantung kepada khidmat perunding luar.


“Sebab itu perdana menteri selalu sebut dulu di peringkat awal kita sering kali melantik perunding untuk menjalankan tugas (tetapi) dia selalu berkata, tidak, tidak, tidak.


“Kamu semua (penjawat awam) ada keupayaan untuk melaksanakan tugasan, jadi diberikan kita (penjawat awam) peranan untuk membangunkan negara,” katanya dalam wawancara sempena setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Mohd Zuki berkata pelaksanaan projek pembangunan kerajaan yang melibatkan kumpulan penjawat awam sepenuhnya dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelaksanaan kerana perunding luar dibayar sehingga mencecah ratusan ribu ringgit terutamanya jika melibatkan perunding dari luar negara.


Sekarang ini, katanya, kerja-kerja rundingan membabitkan projek pembangunan dilakukan sepenuhnya oleh penjawat awam termasuk membuat rangka tindakan yang membuktikan kumpulan penjawat awam berkeupayaan untuk melaksanakan tanggunjawab yang diberikan.


Katanya lagi, menggunakan khidmat perunding dalaman juga dapat mempercepatkan pelaksanaan projek dengan kerjasama penjawat awam rentas kementerian yang akan bekerja sebagai satu pasukan.


“Contohnya projek sekolah daif di SK (Sekolah Kebangsaan) Bandar Baru Bangi yang berjaya disiapkan dalam tempoh 22 hari sahaja berbanding jangkaan awal mungkin mengambil masa hampir setahun.


“Dulu kalau nak bina sekolah-sekolah ini kena lantik perunding luar bagi khidmat arkitek, jurutera, juruukur bahan dan sebagainya, tetapi sekarang semua kita buat dalaman, ada pegawai teknikal iaitu seperti pasukan perunding dari Jabatan Kerja Raya sendiri, ” katanya.


Ini kerana pelbagai prosedur yang menjadi kekangan contohnya seperti proses perolehan bagi projek menaik taraf sekolah daif mengambil masa lama sehingga tiga bulan, sedangkan sekolah tersebut perlu diperbaiki dengan cepat, katanya lagi.


Mohd Zuki berkata penjawat awam seharusnya bersedia untuk menjalani latihan untuk menimba pengetahuan dan mempunyai kepakaran dalam bidang yang diperlukan dalam projek pembangunan trersebut.


Menurutnya, perdana menteri amat menggalakkan penjawat awam mengikuti kursus-kursus bersifat jangka sederhana di syarikat konglomerat yang besar dan berjaya seperti menerusi Program Penempatan Silang.


“Sudah ada yang dihantar ke Petronas, dan dia (Anwar) meminta lebih ramai lagi (dihantar)… kalau boleh peringkat kedua. Makanya, pelapis-pelapis yang akan menjadi ketua di masa akan datang lebih bersedia untuk melaksanakan tanggungjawab. Kita kena buktikan dengan memberikan perkhidmatan,” katanya.


Pada masa sama, Mohd Zuki berkata penggunaan khidmat kepakaran dalaman juga merupakan satu langkah untuk mengelakkan pertindihan kerja antara perunding luar dengan kakitangan dalam projek-projek yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada kerajaan.


Mohd Zuki berkata menerusi inisiatif Bitara Madani yang menggunakan pendekatan keseluruhan kerajaan oleh Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (Star) yang dipengerusikannya juga bertindak mempercepatkan pelaksanaan projek penyelenggaraan kecil berkepentingan rakyat.


“Untuk pelaksanaan sesebuah projek contohnya kita perlu rujuk 10 agensi, jadi kenapa kita tidak wujudkan pusat sehenti? Jadi di sini Star sebagai pemudah cara, semua agensi berkaitan bekerja sebagai satu pasukan, ia akan mempercepatkan (pelaksanaan),” katanya.


Dia berkata kerjasama rentas kementerian merupakan satu manifestasi kejayaan Star tanpa menggunakan khidmat perunding dalam pembangunan negara.


Ditanya mengenai perancangan pada tahun hadapan, Mohd Zuki berkata perdana menteri akan memfokuskan terhadap perihal seperti penyelenggaraan lif, penyediaan gerai bagi membantu komuniti setempat menjalankan perniagaan, menyediakan lebih banyak kemudahan.


https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/12/1183915/kerajaan-perpaduan-letak-negara-di-trajektori-tepat-ksn



No comments: