Design kapal LCS tak selesai sejak era BN
Skandal pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang dimainkan mantan Perdana Menteri Najib Razak sebagai kesalahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana menangguhkan projek tersebut hari ini dijawab oleh pemimpin tinggi PH.
Dalam kenyataan bersama, mantan Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan mantan Timbaan Menteri Pertahanan Liew Ching Tong, dinyatakan dengan jelas projek pembinaan tersebut telah bermasalah sejak diluluskan pada era Najib.
Menurut mereka, tidak benar projek LCS terbengkalai kerana ia ditangguhkan pada September 2019. Atau projek LCS hanya dapat diteruskan semula pada April 2022 setelah selesai pandemik Covid-19 sebagaimana dakwaan Najib sebelum ini.
Sebaliknya, pembinaan kapal berjalan agak perlahan sejak kontrak diberikan kerajaan untuk memulakan pembinaan pada 2011. Antara penyebab kelewatan, kata mereka, adalah kerana rekabentuk kapal tersebut masih tidak diselesaikan setelah bertahun tahun.
“Pembinaan kapal tempur pesisir LCS melibatkan fasa concept design, diikuti basic design dan akhirnya detailed design. Menurut persetujuan di antara Naval Group Perancis dan kontraktor Boustead Naval Group (BNS), detailed design perlu diluluskan oleh Naval Group selaku design authority sebelum pembinaan kapal.
“Fasa concept design bermula pada 4 Jun 2012 dan sepatutnya dimuktamadkan pada 28 Januari 2013. Namun, ia hanya dimuktamadkan pada 24 September 2013, lewat 238 hari atau 8 bulan.
“Basic design bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya dimuktamadkan pada 31 Januari 2015 tetapi hanya disiapkan sepenuhnya pada 20 Januari 2016, lewatan 17 bulan 20 hari.
“Menurut kontrak asal, fasa detailed design sepatutnya dilaksanakan dari 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016. Namun, fasa ini berterusan sehingga hari ini dan masih belum selesai,” kata mereka.
Mereka juga menyertakan garis masa pembinaan kapal tersebut yang lari jauh daripada jadual asal apabila 49.12% sepatutnya siap pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟭𝟲 tetapi hanya siap 39.67%; 59.35% pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟭𝟳 tetapi hanya siap 46.99%; 70.53% pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟭𝟴 tetapi hanya siap 50.15%; 82.41% pada 𝗝𝗮𝗻𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟬 tetapi hanya siap 56.39%
Bagi tujuan kawan mutu pula, kata keduanya, reka bentuk LCS yang dihasilkan oleh syarikat BNS tertakluk kepada kelulusan oleh Naval Group sebagai design authority, diikuti pemeriksaan dan pengesahan oleh Bureau Veritas, sebuah badan bebas antarabangsa yang memastikan reka bentuk kapal perang menepati syarat, seperti yang ditetapkan dalam kontrak.
Mohamad dan Chin Tong juga memetik kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Ambrin Buang kepada Jawatankuasa Kira-kira Raya (PAC) bahawa:
“…what is glaring is pada keadaan biasa, sepatutnya kita sudah finalized the design before you sign the contract. You cannot sign the contract when you do not know what is the design. Itu menjadi masalah sehinggakan berpusing-pusing isu ini.” (Laporan PAC, mukasurat 15)
Selain itu, wakil JKSTUPKK yang dibentuk kerajaan PH, Guna Arulalan David pernah memaklumkan PAC bahawa BNS gagal membayar hutang sebanyak RM198 juta kepada Naval Group.
Manakala Pada 27 September 2021, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Sri Muez Abdul Aziz memaklumkan PAC bahawa detailed design pada masa itu siap lebih kurang 80%. Beliau juga berkata bahawa selepas BNS menyiapkan detailed design, Naval Group memerlukan minima 12 bulan daripada tarikh pembayaran dibuat untuk menyiapkan pengesahan sebagai design authority
“Apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein membuat pengumuman pada April 2022 bahawa projek LCS telah dihidupkan semula, apa yang sebenarnya berlaku adalah BNS diberi tempoh 6 bulan untuk mencari dana mobilisasi untuk memulihkan projek. Dana ini akan digunakan untuk membayar Naval Group dan original equipment manufacturers (OEM) yang lain.
“Memandangkan detailed design yang sepatutnya dimuktamadkan pada November 2016 hanya siap lebih kurang 80% dan Naval Group belum lagi dibayar, maka pengumuman Hishammuddin di Dewan Negara semalam bahawa kapal pertama LCS “akan siap dalam satu atau dua tahun” langsung tidak realistik,” kata mereka lagi.