Rohingya: Buktikan Islam Penyelamat, Menjaga Hak Asasi dan Menegakkan Keadilan



Oleh: Mohamad Sabu

Persoalan kemanusiaan, undang-undang dan hak asasi manusia mesti dilihat secara menyeluruh walaupun adakalanya ia perlu dilihat secara berasingan.

Pemerdagangan manusia bukan perkara baru malah telah berlaku sejak ribuan tahun dahulu.

Kita melihat bagaimana 'black' dari Afrika dibawa dan dilelong dengan harga murah untuk dijadikan buruh dan pekerja bawahan di Amerika Syarikat.

Mereka ditindas dan diperguna oleh tauke-tauke yang terlibat dalam perlombongan, perladangan dan juga industri minyak.

Mereka yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia ini telah menjadi kaya-raya manakala mereka yang ditindas itu pula hidup melarat sekian lama.

Sehinggalah munculnya pejuang-pejuang kemanusiaan dan kebebasan di Amerika Syarikat seperti George Washington dan lain-lain yang akhirnya golongan tersebut dapat hidup  dengan baik di sana.

Begitu juga pemerdagangan manusia dan buruh asing di Malaysia yang jumlahnya mencapai angka juta.

Mereka datang untuk bekerja dan mendapatkan gaji, tetapi yang kaya-raya  adalah sindiket yang menjalankan pemerdagangan manusia tersebut.

Sindiket ini telah mengaut keuntungan dan wang yang banyak di atas penderitaan para pekerja tersebut yang mencari rezeki dan sesuap nasi bagi keluarga mereka di negara asal.

Demikianlah juga apa yang berlaku kepada pelarian Rohingya. Akibat penindasan yang berlaku di Myanmar khususnya umat Islam di sana, mereka terpaksa melarikan diri demi menyelamatkan nyawa dan ahli keluarga mereka.

Konteks kemanusiaan dan perundangan perlu dilihat bersama dalam hal ini dan pada masa yang sama jenayah pemerdagangan manusia ini mesti terus diperangi habis-habisan.

Kerjasama dengan pelbagai agensi keselamatan dalam negara termasuklah usaha sama antara negara-negara ASEAN, UNCHR dan sebagainya perlu diperkasakan.

Walau apapun keadaan, membiarkan orang mati dalam kelaparan adalah perkara yang amat menyedihkan dan menggambarkan nipisnya nilai perikemanusiaan.

Oleh itu, kita hendaklah memiliki keseimbangan antara kemanusiaan, hak asasi manusia dan perundangan.

Kerajaan perlu lebih tegas melaksanakan seruan di peringkat antarabangsa seperti ASEAN dan PBB serta bekerjasama dengan NGO yang terlibat dalam usaha memerangi jenayah pemerdagangan manusia ini.

Namun pada masa yang sama, soal hak asasi manusia perlu dipertahankan.

Kita mesti ingat, jutaan umat Islam diterima di negara-negara Eropah seperti Jerman dan mereka dilindungi dan diberi hak yang sewajarnya sebagai pelarian.

Malahan sebahagian daripada mereka telah menjadi warganegara di sana khasnya selepas Perang Dunia Ke-2.

Sebab itu, kita mengecam Eropah dalam isu-isu tertentu seperti sokongan mereka terhadap kerajaan yang tidak menghormati demokrasi dan hak asasi  tapi pada masa yang sama, terdapat kebaikan yang dilaksanakan oleh mereka di negara mereka.

Ramai pemimpin-pemimpin gerakan Islam di sebahagian negara Timur Tengah yang ditekan dan dipenjara serta yang dihukum bunuh. Sebahagian mereka ini diselamatkan dan diberi perlindungan oleh negara-negara Eropah.

Oleh demikian, kita sedar adakalanya kerja kebajikan yang diseru oleh agama Islam telah dilaksanakan oleh mereka yang bukan Islam. Sebaliknya negara umat Islam pula menjadi pengeksport pelarian.

Dalam isu Rohingya, kita mengharapkan OIC memainkan peranan sewajarnya bagi membuktikan Islam adalah agama penyelamat, agama yang memenuhi hak asasi manusia dan agama yang menegakkan keadilan. Begitu juga di dalam negara kita, usaha memerangi pemerdagangan manusia mesti digiatkan tanpa mengira mereka yang terlibat berada di pihak kerajaan ataupun pembangkang.