Penyertaan MUDA Dalam PH Untung Atau Merugikan?




Oleh: Mohd Fauzi Fadzil


ULASAN: Peribahasa Melayu ada menyebut ‘Bagai Pacat Ingin Menjadi Ular’, peribahasa tersebut mungkin sesuai untuk dikiaskan terhadap tindak-tanduk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang menyatakan hasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH).


Hasrat tersebut sememangnya murni namun kejengkelan wujud terhadap sikap MUDA yang belum memulakan perbincangan dengan Majlis Presiden PH telah pun menyatakan tuntutan terhadap 15 kerusi parlimen yang ingin mereka tandingi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.


Sikap tersebut dibidas oleh Adam Adli selaku Ketua Angkatan Muda KEADILAN, sikap MUDA tersebut dianggap sebagai tidak tertib oleh Adam kerana beliau sendiri masih belum dimaklumkan berkenaan sebarang permohonan MUDA untuk menyertai PH.


Peraturan pembahagian kerusi


Presiden MUDA mungkin tidak mengetahui bahawa PH mempunyai model dan aturan untuk menentukan pembahagian kerusi antara parti komponennya, antara ciri paling penting untuk sesebuah parti komponen mendapat hak bertanding di sesebuah kerusi parlimen (ataupun Dewan Undangan Negeri) adalah jumlah ahli berdaftar parti tersebut di sesebuah lokaliti.


Jumlah pendaftaran ahli yang tinggi menjadi justifikasi untuk memenangkan calon sesebuah parti di kerusi parlimen atau Dewan Undangan Negeri. Persoalannya adakah MUDA yang baru berdaftar pada 23 Disember 2021 itu mempunyai jumlah ahli yang mencukupi untuk menuntut mana-mana kerusi parlimen atau Dewan Undangan Negeri daripada parti komponen PH yang lain?


MUDA pernah bertembung KEADILAN PRN Johor


Peribahasa Melayu juga ada menyebut ‘Jika Kepalanya Ular, Takkan Ekornya Belut’, peribahasa ini sangat sesuai untuk dikiaskan kepada kepimpinan MUDA. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor awal tahun ini KEADILAN telah menawarkan 3 kerusi untuk ditandingi oleh MUDA. Tawaran tersebut bukan sahaja ditolak, malah calon daripada MUDA telah bertembung dengan calon KEADILAN di kerusi Dewan Undangan Negeri Larkin.


Keadaan ini menyebabkan kerusi tersebut terlepas ke tangan Barisan Nasional (BN). Perbuatan tersebut boleh dianggap sebagai sabotaj, sedangkan sebelum PRN Johor bermula, MUDA telah menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan PH sebagai sebuah blok.


Persoalan yang paling besar perlu dijawab oleh Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman adalah kesanggupan beliau untuk menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai satu-satunya calon Perdana Menteri daripada PH menjelang PRU ke-15 nanti.


Rekod yang tertulis di dalam buku ‘Angkatan Muda Keadilan: Menongkah Arus Pengkhianatan’ telah mencatatkan tindakan agresif Syed Saddiq (ketika beliau dalam Bersatu) dalam setiap Mesyuarat Pemuda Pakatan Harapan untuk menolak perlantikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-8.


Nyatakan sikap terhadap Anwar


Kedudukan Datuk Seri Anwar yang telah dipersetujui di dalam manifesto PH untuk menggantikan Tun Dr Mahathir tidak pernah diperakui oleh Syed Saddiq, malah wakil Angkatan Muda KEADILAN yang berterusan mempertahankan kedudukan Datuk Seri Anwar telah diminta berundur daripada terus menganggotai kepimpinan Pemuda PH oleh Syed Saddiq.


Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga mempunyai sejarah kontroversi dengan kepimpinan pertubuhan belia di Malaysia. Beliau pernah berkonfrantasi dengan kepimpinan Majlis Belia Malaysia (MBM), juga isu sebelum Pindaan Akta 668 (Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia) dibawa ke Parlimen pada tahun 2019, yang dibantah oleh persatuan belia kerana tidak dirujuk kepada mereka.


Reputasi Syed Saddiq yang tercalar ini mungkin menyukarkan PH. Rakyat terutama golongan belia akan menjauhi PH dengan kehadiran MUDA pada PRU ke-15 sekiranya parti tersebut dibenarkan menjadi sebahagian komponen.


_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Cabang Pandan





 

No comments: