Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, hari ini sekali lagi menegaskan bahawa kementeriannya bertindak pantas dalam menangani isu gejala kesihatan yang berlaku di Pasir Gudang, Johor.
Menurut beliau, ratusan pegawai kerajaan dari pelbagai jabatan telah bertungkus lumus mengambil bacaan kualiti udara di daerah tersebut sejak hari pertama insiden berkenaan dikenal pasti.
“Saya hendak katakan di sini bahawa tindakan (dari kementerian) tidak lambat, tetapi kita tidak dapat lagi mengenal pasti punca spesifik,” katanya pada sidang Parlimen, hari ini.
Sejak 20 Jun, katanya, sebanyak 172 premis industri telah diperiksa, di mana 98 kompaun telah dikeluarkan, 46 notis arahan dan sembilan premis telah ditahan operasi, manakala sebanyak dua syor tindakan mahkamah telah dikeluarkan.
Kementerian bersama-sama Kerajaan Negeri Johor juga katanya, telah merangka enam tindakan segera seperti berikut:
- Memperkasakan pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Otomatik (real time gas detector) melalui pembangunan stesen pengawasan udara;
- Pembelian alat pengukuran gas toksik bergerak seperti GASMET untuk tujuan penguatkuasaan dan pemantauan;
- Membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan daya dukung (carrying capacity) udara di kawasan perindustrian Pasir Gudang;
- Memandangkan Pasir Gudang telah menjadi hub industri terpenting di Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang juga akan diwujudkan bagi meningkatkan pengawal seliaan dan penguatkuasaan di kawasan ini;
- MESTECC melalui JAS akan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baharu kepada premis industri di kawasan Pasir Gudang yang antara lain menetapkan agar premis industri memasang alat pemantauan pelepasan secara berterusan (Continous Emission Monitoring System – CEMS); dan
- MESTECC akan mengadakan program sekolah angkat oleh industri terutamanya untuk sekolah berisiko tinggi yang dekat dengan kilang kilang, di mana kemudahan seperti alat pengesan gas dan alat pembersih udara dibekalkan oleh pihak industri kepada sekolah angkat.
Beliau berkata demikian menjawab persoalan yang dibangkitkan ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa kononnya kerajaan seolah-olah lambat bertindak menangani isu berkenaan.
Kajian terperinci diperlukan
Bee Yin yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP turut membangkitkan cabaran yang dihadapi kementerian dalam mengenal pasti punca sebenar gejala kesihatan di Pasir Gudang yang menurutnya berbeza dengan apa yang berlaku dalam insiden pencemaran Sungai Kim Kim.
“Pertama, punca pencemaran di Sungai Kim Kim dan lokasi mangsa-mangsa adalah berpadanan dengan air dispersion model yang men-simulasi penyebaran gas mengikut hala tuju dan kelajuan angin.
“Tetapi untuk insiden ini, lokasi kes-kes adalah sangat jauh antara satu sama lain dan simulasi menunjukkan lokasi mangsamangsa tidak dapat pin-point kepada satu punca pencemaran.
Tambahnya lagi, bahan kimia yang dikesan dalam sampel darah dan urin mangsa pencemaran Sungai Kim Kim berpadanan dengan punca pencemaran Acrolynitrile, namun dalam insiden Pasir Gudang ujian toxikologi setiap 85 sampel daripada 42 pelajar adalah negatif.
“Ketiga, pelajar-pelajar pada awal insiden Sg Kim Kim menunjukkan simptom apabila bacaan alat pengesan gas adalah tinggi.
“Manakala untuk insiden kali ini, kebanyakan pelajar menunjukkan simptom sesak nafas dan loya walaupun bacaan hari sebelum ataupun pada masa yang sama pada lokasi yang sama adalah normal,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Bee Yin yang juga Ahli Parlimen Bakri berkata, kajian saintifik yang lebih terperinci diperlukan termasuk mengkaji faktor daya dukung (carrying capacity) bagi mengenal pasti punca sebenar insiden berkenaan.
“Walaubagaimanapun, untuk membuat kesimpulan yang konklusif, kajian carrying capacitydiperlukan dan ia akan mengambil masa 6 minggu untuk diselesaikan,” ujarnya.
Jelas beliau, terdapat 2,005 kilang berlesen di Pasir Gudang dan 250 darinya adalah kilang berasaskan bahan kimia.
“Oleh itu, boleh dikatakan persekitaran udara di Pasir Gudang adalah tepu dan sebarang anamoli akan memberi kesan kepada kumpulan yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan penghidap asthma.
“Tambahan lagi, kekurangan zon penampan (buffer zone) antara kilang kimia dengan sekolah juga menjadi cabaran,” katanya.
Katanya lagi, pemantauan berterusan akan dijalankan dan sebanyak 11 sekolah akan dibekalkan dengan alat pengesan gas bagi tujuan kualiti udara.