Kayu pengukur pendidikan tidak seharusnya sekadar gred purata, abjad A-F

Akui atau tidak, antara masalah pendidikan adalah disebabkan oleh jurang sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia, ujar Farah Najihah. 

“SPM 2016: GPN lebih baik, 8,647 calon dapat semua A.” Begitulah tertulisnya tajuk utama berita oleh portal Bernama berkenaan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 2016.
Bagaimana kita mengukur kecemerlangan anak muda dalam pendidikan? Adakah sekadar menjadikan abjad A hingga F dan indeks Gred Purata Nasional (GPN) sebagai kayu pengukur?
Indikator pendidikan tidak seharusnya terhenti kepada penilaian angka semata-mata tanpa mengambil kira aspek lain yang menyumbang kepada kecemerlangan seseorang. Jika disingkap dengan lebih mendalam, saya melihat bahawa aspek sosio-ekonomi sering dipandang sepi oleh pihak yang bertanggungjawab dalam membuat penilaian.
Akui atau tidak, antara masalah pendidikan adalah disebabkan oleh jurang sosio-ekonomi yang wujud di Malaysia. Perbincangan tentang pendidikan tidak dapat dipisahkan dengan soal jurang sosio-ekonomi kerana kedua-dua aspek ini saling melengkapi.
Pendidikan penting bagi pertumbuhan ekonomi sesebuah negara; sebaliknya keadaan ekonomi yang stabil membantu dalam meningkatkan kualiti pendidikan. Masalah jurang sosio-ekonomi yang tidak diperhalusi dan diatasi akan merencatkan kualiti pendidikan.
Memetik pendapat penganalisis dari Institute of Strategic and International Studies (ISIS), Dr Abdul Wahed Jalal dalam artikelnya yang bertajuk “Rethinking our education”, beliau melihat bahawa Malaysia terperangkap dalam lingkaran pendapatan sederhana.
Oleh itu, sebilangan rakyat di Malaysia kurang mampu untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti kepada anak-anak mereka. Pelajar dari sekolah-sekolah berprestasi rendah kebiasaannya berlatarkan keluarga yang berhadapan dengan keadaan sosio-ekonomi yang mencabar.
Lebih menyedihkan apabila ada antara mereka yang tidak dapat menghabiskan zaman persekolahan. Rangka Tindakan Pendidikan Nasional 2013-2025 melaporkan bahawa satu daripada lima pelajar di Malaysia tidak berjaya menamatkan pengajian di peringkat sekolah menengah.
Antara kesan kepada perkara ini adalah hasil lanjutan kitaran ganas kemiskinan yang menghantui sebahagian populasi di Malaysia. Mereka yang terperangkap dalam kitaran ganas kemiskinan ini beranggapan bahawa kegagalan dilihat sebagai sesuatu yang normal. Sesetengah ibu bapa mengambil sikap tidak ambil peduli terhadap perihal pembentukan masa hadapan anak-anak mereka.
Pengalaman saya ketika berkhidmat sebagai tenaga pengajar sambilan selepas waktu persekolahan di sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang menimbulkan rasa yang tidak enak terhadap masa hadapan anak-anak muda yang berhadapan dengan situasi ini.
Beberapa pelajar Tingkatan Empat masih lagi tidak tahu membaca dan menulis dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris walhal mereka hanya mempunyai waktu yang singkat untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lebih menggusarkan apabila ada di antara mereka yang perlu bekerja usai waktu persekolahan untuk membantu menyara keluarga.
Sikap segelintir pihak yang menjadikan pendidikan sebagai ruang untuk mengaut keuntungan lebih memburukkan keadaan yang sedia ada.
Kita seharusnya sedar bahawa pendidikan tidak hanya tertumpu kepada kecemerlangan pelajar dalam subjek yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan semata-mata. Pendidikan secara adilnya mestilah bersifat holistik merangkumi literasi, pembangunan kendiri, pembentukan masa hadapan dan penjanaan nilai kritis dan kreatif.
Namun, sesetengah pihak melihat perkara ini sebagai alasan untuk menyediakan program pendidikan yang boleh membawa keuntungan yang lumayan kepada mereka. Hal ini menyebabkan ramai pelajar tidak mampu untuk melibatkan diri dalam program-program pendidikan yang sepatutnya boleh memberikan manfaat kepada mereka akibat kekangan kewangan.