BN gagal basmi kemiskinan Melayu selepas 58 tahun
Walau lebih 5 dekad Malaysia membawa satu nama yang menaungi tanah Semenanjung – dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya – dan negeri Borneo, kaum yang menjadi asas nama negara itu sendiri, ketika ini masih terpinggir dan mundur dari segi ekonomi, kata seorang tokoh perniagaan Melayu.
Bekas pengerusi Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Datuk Seri Abdul Rahman Maidin berkata, Malaysia selepas 52 tahun masih gagal menyelesaikan masalah kemiskinan di kalangan rakyatnya, terutama orang Melayu.
Menyifatkan orang Melayu bersifat inklusif “sejak azali”, beliau berkata, faktor utama penyumbang kepada kemunduran dan kemiskinan mereka ialah, komuniti yang satu ini masih di takuk lama.
Katanya, meskipun kaum Melayu membentuk kelas menengah paling ramai di Malaysia, namun strukturnya amat berbeza dengan kaum lain, terutamanya Cina.
“Menengah Melayu masih terikat. Kerangka kita, di atas mesti ada majikan. Kalau zaman dahulu, kerangkanya ialah pembesar istana.
“Sebagai contoh, Melayu golongan menengah hanya makan gaji, berbeza dengan Cina yang menjalankan perniagaan sendiri. Mereka (Cina) tidak bergantung,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan The Malaysian Insider sempena sambutan Hari Malaysia hari ini.
Beliau yang juga pengerusi Institut Kesedaran Rakyat memberi contoh, mengaitkannya dengan orang Melayu yang menurutnya membentuk peratusan paling ramai dalam sektor awam.
Mereka, katanya, hanya bekerja makan gaji dan menerima suapan rezeki setiap bulan daripada majikan.
Bukan itu sahaja, sektor swasta juga katanya, memperlihatkan orang bukan Melayu mengatasi kaum majoriti itu.
Tidak menafikan ada golongan kaya dibarisi orang Melayu, Rahman yang kini 30 tahun bersama DPMM itu berkata, ia masih lagi tidak mampu menandingi kaum lain.
“Ya, benar, ada Melayu yang kaya. Kita lihat pada senarai terkaya Malaysia, adalah satu dua nama.
“Saya tidak mahu sebut siapa, tetapi kalau kaya hanya bergantung projek daripada kerajaan. Itu amat berbeza dengan Cina dan India yang kita tahu mereka ada banyak tunai.
“Melayu kita yang kaya itu sebenarnya hutangnya melebihi asetnya. Saya tahulah, kerana dulu saya dalam dunia korporat,” katanya.
Justeru, beliau yang merupakan calon PAS di Pulau Pinang pada pilihan raya umum ke-13 itu berkata, Malaysia yang dibentuk pada 1963, hingga kini masih gagal menyelesaikan isu pokok, iaitu kemiskinan Melayu.
Bagi mengatasi masalah ini, Rahman menyarankan, kerajaan dan semua pihak perlu menggembleng tenaga mendidik anak bangsa agar mereka bangkit melawan “virus kemiskinan”.
“Asas pendidikan perlu diperbaiki. Jangan biar anak Melayu keciciran. Pendidikan akhirnya akan memberikan ekonomi yang lebih baik, seterusnya kepada kesihatan, dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata, kesedaran terhadap bahayanya kemiskinan amat penting kerana ia kunci kepada penghapusan kemiskinan.
Kerajaan katanya perlu berhenti menyuap rakyat dengan pertolongan jangka pendek seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) contohnya, tetapi sebaliknya harus mendidik rakyat bagaimana untuk berusaha memperoleh pendapatan yang lebih stabil.
Katanya, selagi perkara ini tidak diselesaikan, maka Malaysia hanyalah perjanjian atas kertas tanpa dapat merasai gabungan sebenar ketiga-ketiga tanah itu – Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Walaupun kita duduk sebagai satu negara, saya tidak nampak kenegaraan. Malaysia bukan satu negara, hanyalah kawasan Semenanjung dan pulau Borneo yang dicantum dan hanyalah satu perjanjian tidak meresap kepada inti masyarakat.
“Bila sebut kenegaraan, kita tidak boleh berasaskan kontrak kepada kertas. Ia perlu datang daripada sanubari, jati diri,” katanya.
Rahman berkata, kemerdekaan juga bermakna rakyat Malaysia punya rasa kasih sayang terhadap satu sama lain di kalangan berbilang bangsa dan agama.
“Apabila datang Hari Malaysia, timbul pelbagai perkara. Maknanya, 16 September bukan satu kegembiraan tapi dengan penuh kekecewaan, perasan masyarakat yang tidak kena,” katanya melahirkan kekesalan dengan keadaan negara ini walaupun selepas lebih 50 tahun penubuhannya.