Demi Melayu tubuh Suruhanjaya DiRaja siasat skandal MARA – Mahfuz

Demi Melayu tubuh Suruhanjaya DiRaja siasat skandal MARA – Mahfuz
Pedestrians walk past a logo of Majlis Amanah Rakyat (MARA) at its headquarters in Kuala Lumpur on June 24, 2015. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Demi Melayu tubuh Suruhanjaya DiRaja siasat skandal MARA – Mahfuz

Selaku Ahli Parlimen, saya memandang serius laporan yang dibuat oleh akhbar Australia “The Age” yang mendakwa berlakunya penyelewengan di dalam urusan pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang telah dibeli melebih RM13.8 juta dari harga sebenar.

2.MARA yang ditubuhkan pada 1966 di bawah Akta Majlis Amanah Rakyat 1966 (Akta 489) adalah merupakan sebuah institusi awam yang ditubuhkan memajukan, menggalakkan serta menjalankan pembangunan ekonomi dan kemasyarakatan khususnya untuk kaum bumiputra khususnya orang melayu dalam kawasan luar bandar. Sesuai dengan namanya, maka MARA berkewajipan untuk menjaga dan melindungi sepenuhnya amanah yang diberikan rakyat terutama apabila menjalankan urusniaga yang membabitkan dana awam yang bernilai jutaan ringgit seperti pembelian hartanah di Australia ini.

3.Penjelasan yang diberikan oleh Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa berhubung perkara ini pada hari ini tidak langsung membantu menjelaskan bagaimana MARA boleh membeli hartanah tersebut jauh 27% lebih tinggi dari harga sebenar. Bahkan kenyataan yang dibuat Pengerusi MARA menimbulkan persoalan yang lebih besar iaitu adakah MARA tidak langsung mendapatkan laporan dan nasihat penilai bertauliah sebelum MARA bersetuju untuk membeli hartanah tersebut pada harga RM65.4 juta padahal ianya adalah amalan yang sepatutnya dilakukan di dalam mana-mana urusan pembelian hartanah.

4.Tambah membingungkan lagi bagaimana pembelian hartanah ini yang melalui pelbaga proses tapisan dan kelulusan termasuk di peringkat Lembaga Pengarah MARA dan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, apakah tidak langsung dibangkitkan tentang keperluan mendapatkan laporan penilaian bagi melihat kemunasabahan harga yang ditawarkan? Pengerusi MARA mengakui bahawa laporan penilaian hartanah yang dilakukan firma antarabangsa mengatakan nilai RM65.4 juta tersebut lebih tinggi daripada nilai sepatutnya. Justeru, persoalan yang perlu dijawab bilakah penilaian tersebut dibuat? Adakah sebelum atau selepas pembelian dilaksanakan?

5.Jika pembelian diluluskan MARA dan Majlis Ekonomi tanpa bersandarkan kepada sebarang laporan penilaian atau diluluskan dengan tidak mempedulikan laporan penilaian yang dibuat, maka jelas berlaku pelanggaran undang-undang dan juga kecuaian yang teruk (gross negligence) yang membabitkan kesemua mereka yang terlibat meluluskan pembelian tersebut di setiap peringkat termasuk Perdana Menteri, yang mana kesemua mereka ini boleh dikenakan pendakwaan jenayah atau tindakan sivil di mahkamah. Tambah mengejutkan, laporan yang sama juga menyebut bahawa MARA telah turut membeli tiga lagi hartanah lain di Australia. Kita semua berhak untuk mengetahui apakah kesemua transaksi lain tersebut turut berlaku pada harga yang sengaja dinaikkan untuk memberi keuntungan ‘atas angin’ kepada dalang yang terlibat.

6.Memandangkan pembelian hartanah yang mendatangkan kerugian jutaan ringgit kepada negara ini melibatkan MARA yang merupakan sebuah institusi awam yang lahir dari semangat Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dan turut membabitkan penglibatan Perdana Menteri di dalam proses kelulusannya, maka saya mendesak supaya supaya perkara ini disiasat oleh suatu Suruhajaya Diraja bagi membolehkan suatu siasatan yang menyeluruh, adil dan telus dapat dijalankan secara mendalam. Pada masa yang sama, amat wajar bagi Perdana Menteri dan Pengerusi MARA digantung dari menjalankan tugas mereka sementara menanti hasil siasatan yang dijalankan.

Yang benar,

YB DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena


No comments: