Menganggap Anwar Ibrahim melemahkan PH dan pada masa sama menguatkan Umno, Sangeet Kaur Deo menggesan DAP menilai semula hubungan dengan Pengerusi PH itu.




 Menganggap Anwar Ibrahim melemahkan PH dan pada masa sama menguatkan Umno, Sangeet Kaur Deo menggesan DAP menilai semula hubungan dengan Pengerusi PH itu.

Sangeet berkata dia kesal terhadap apa yang disifatkannya sebagai kegagalan kerajaan menunaikan janji, termasuk membanteras rasuah.
“Saya minta CEC kita menilai semula secara serius hubungan kita dengan Anwar Ibrahim.
“Daripada menyatukan rakan-rakan gabungan, apa yang dia lakukan? Dia memecah-belahkan kita, melaga-lagakan kita sesama sendiri, memperkasakan Umno. Kenapa?
"Kita tidak boleh mengabaikan perkara itu,” katanya.





Konspirasi Tabung Haji







 Konspirasi Tabung Haji

Yang paling menarik dalam isu Tabung Haji bukan sekadar bagaimana RM13 bilion boleh lesap, tetapi bagaimana UMNO dan PAS memesongkan fokus daripada punca sebenar masalah.
Apabila aset bermasalah TH dipindahkan ke Urusharta Jamaah, mereka sibuk menjadikan Lim Guan Eng dan DAP sebagai sasaran kerana kononnya aset TH “dijual”.
Sedangkan persoalan sebenar ialah: siapa yang menyebabkan aset² itu menjadi bermasalah sejak awal?
Mereka alihkan perhatian daripada pengurusan, pelaburan bersilang dan pertindihan lembaga pengarah perkara yang kini turut disentuh dalam laporan RCI.
Akhirnya, yang buat kerosakan tidak dibicarakan, yang membersihkan pula dipersalahkan.
Itulah politik UMNO-PAS, bila tak mampu jawab punca, tukar cerita dan cari kambing hitam



ADAKAH KERAJAAN ISLAM BOLEH MENGUTIP CUKAI ARAK DAN JUDI DARIPADA BUKAN ISLAM..?

 Miqdad Zakaria

 

Memahami persoalan cukai arak dan judi dalam Islam serta bagaimana Malaysia menguruskannya.
Ada satu persoalan yang sering ditimbulkan; “Kalau arak dan judi haram dalam Islam, bagaimana sebuah kerajaan yang mendakwa berpegang kepada Islam boleh menerima cukai daripada arak dan judi..?”
Jawapannya memerlukan kita membezakan antara hukum PERBUATAN dengan hukum PENGURUSAN hasil negara.
Arak dan judi tetap haram bagi orang Islam, titik..!
Allah SWT berfirman:
«يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ»
“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah kotor daripada perbuatan syaitan. Maka jauhilah ia agar kamu berjaya.” Surah al-Ma'idah ayat 90
Jadi, Islam tidak pernah menghalalkan arak atau perjudian kepada orang Islam.
JAKIM juga menegaskan pengharaman arak dan judi berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah.
Tetapi apabila berhadapan dengan masyarakat bukan Islam yang mempunyai agama, kepercayaan dan undang-undang tersendiri, fiqh Islam mempunyai perbahasan yang lebih luas mengenai hak mereka serta cara sebuah kerajaan mengurus masyarakat majmuk.
Oleh itu, bagaimana kerajaan mengurus masyarakat bukan Islam yang melakukan aktiviti yang tidak diharamkan oleh agama mereka..?
Di sinilah fiqh siyasah dan fiqh muamalat mempunyai perbahasan tersendiri.
Bukan Islam mempunyai ruang tertentu dalam agama dan kehidupan mereka.
Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan pernah menjawab persoalan yang hampir tepat dengan isu ini dalam Al-Kafi #257: Cukai Judi dan Arak.
Pandangan yang diberikan ialah, sekiranya sesuatu perkara itu dibenarkan dalam agama bukan Islam, kerajaan boleh membenarkannya dalam ruang lingkup mereka, dengan syarat-syarat tertentu.
Antaranya:
Hanya melibatkan orang bukan Islam.
Dikawal dan tidak dibiarkan berleluasa.
Orang Islam tidak dibenarkan terlibat.
Kerajaan tetap mempunyai tanggungjawab menghalang orang Islam daripada melakukan perkara tersebut.
Dan yang sangat penting, Mufti Wilayah menyatakan bahawa cukai yang dikenakan ke atas arak dan judi adalah dibenarkan, tetapi terdapat khilaf ulama tentang bagaimana hasil tersebut hendak diuruskan.
Ini bermaksud isu tersebut bukan sesuatu yang boleh dihukum secara mudah dengan mengatakan “haram kerana duit itu datang daripada arak dan judi.”
Dalam karya fiqh klasik seperti Ahkam Ahl al-Dhimmah oleh Ibn al-Qayyim, terdapat perbahasan mengenai hasil daripada arak dan khinzir yang dimiliki dan diniagakan oleh bukan Islam.
Antara riwayat yang dibincangkan ialah tindakan Saidina Umar bin al-Khattab RA.
Apabila para pegawai mengambil arak dan khinzir daripada bukan Islam sebagai sebahagian daripada hasil negara, Umar RA mengarahkan, “Jangan kamu mengambilnya daripada mereka, tetapi biarkan mereka menjualnya dan ambillah daripada hasil jualannya.”
Riwayat dan perbahasan ini menjadi asas kepada perbezaan pandangan fuqaha mengenai pengambilan hasil daripada transaksi yang dianggap haram bagi orang Islam tetapi merupakan harta yang diiktiraf dalam urusan sesama bukan Islam.
Ibn al-Qayyim turut menghimpunkan pandangan fuqaha Hanafi, Maliki, Syafi‘i dan Hanbali mengenai persoalan ini.
Jadi, sesiapa yang mengatakan, "dalam negara Islam, mengambil hasil daripada arak dan judi secara mutlak pasti haram dan tiada langsung khilaf ulama,”
kenyataan itu terlalu simplistik.
Mengharuskan pengurusan hasil yang haram tidak sama dengan menghalalkan perbuatan tersebut.
Kerajaan tetap wajib:
Menghalang orang Islam daripada meminum arak.
Menghalang orang Islam daripada berjudi.
Mengawal premis.
Menghadkan lesen.
Memastikan aktiviti tersebut tidak menyasarkan orang Islam.
Menguatkuasakan undang-undang.
Mencegah mudarat kepada masyarakat.
Mufti Wilayah sendiri ketika membincangkan penggunaan hasil daripada lesen judi dan arak menegaskan bahawa keharusan menggunakan hasil tersebut bukan bermaksud kerajaan boleh menjadikan maksiat sebagai sesuatu yang digalakkan atau dibiarkan berkembang tanpa kawalan.
Malaysia bukan sebuah negara yang hanya mempunyai orang Islam.
Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.
Perkara 11 pula memberikan kebebasan kepada setiap orang untuk menganut dan mengamalkan agamanya, tertakluk kepada peruntukan Perlembagaan.
Sebab itu Malaysia mempunyai pendekatan undang-undang yang berbeza antara Muslim dan bukan Muslim dalam beberapa perkara agama.
Dalam isu arak dan perjudian, orang Islam TIDAK diberikan kebebasan untuk berjudi atau meminum arak mengikut Enakmen Jenayah Syariah di setiap negeri.
Perkara itu sudah sedia ada, dan ia sangat jelas.
Tetapi aktiviti tertentu yang dilakukan oleh bukan Islam dikawal melalui undang-undang dan lesen kerajaan.
Kerajaan mengenakan cukai, duti dan levi yang berkaitan dengan aktiviti tersebut sebagai sebahagian daripada sistem hasil negara.
Ini bukan bermaksud kerajaan mengatakan “Arak halal” atau “Judi halal”, tidak..!
Sebaliknya, kerajaan mengurus realiti masyarakat majmuk melalui undang-undang, kawal selia, lesen dan percukaian.
Timbul satu soalan, "mengapa tidak sahaja kerajaan mengharamkan semuanya..?"
Ini persoalan dasar yang berbeza daripada persoalan hukum.
Kalau sebuah negara mempunyai masyarakat yang pelbagai agama dan undang-undang negara memberikan ruang tertentu kepada bukan Islam, kerajaan perlu menentukan bagaimana aktiviti tersebut dikawal supaya tidak merebak kepada umat Islam dan masyarakat secara keseluruhan.
Salah satu pendekatan ialah melalui kawalan dan penguatkuasaan, dikenakan lesen, dihadkan, dipungut cukai, dan cegah orang Islam daripada terlibat dengan undang-undang jenayah syariah.
Ini lebih hampir kepada konsep pentadbiran dan maslahah daripada membiarkan aktiviti tersebut berlaku secara haram tanpa kawalan.
Dalam fiqh, pemerintah mempunyai tanggungjawab mengurus perkara yang berlaku dalam masyarakat berdasarkan kemaslahatan dan mengelakkan mudarat yang lebih besar.
Oleh yang demikian, "ke mana hasil cukai tersebut boleh digunakan..?"
Di sinilah terdapat khilaf ulama.
Mufti Wilayah menyebut dua pandangan utama berkaitan hasil cukai arak dan judi.
Pandangan pertama, hasil tersebut diasingkan daripada hasil yang halal dan digunakan untuk maslahat tertentu, khususnya berkaitan orang bukan Islam.
Pandangan kedua, hasil tersebut tidak semestinya diasingkan dan boleh digunakan untuk maslahat umum.
Malah, Mufti Wilayah dalam perbincangan lain menyatakan bahawa hasil kewangan tidak patuh syariah seperti hasil daripada lesen judi dan arak boleh digunakan untuk kebajikan dan kemaslahatan, dengan syarat ia tidak menjadi alasan untuk menggalakkan atau menyuburkan aktiviti maksiat tersebut.
Apa yang kita selaku muslim wajib fahami adalah:
PERTAMA
Hukum individu Muslim.
Arak dan judi adalah haram.
KEDUA
Hak dan urusan bukan Islam.
Dalam fiqh dan juga sistem perundangan Malaysia, terdapat ruang tertentu bagi bukan Islam untuk mengurus perkara yang tidak dibenarkan kepada Muslim.
KETIGA
Tanggungjawab kerajaan.
Kerajaan boleh mengenakan cukai dan mengawal aktiviti tersebut berdasarkan undang-undang serta kemaslahatan awam.
Justeru, mengutip cukai daripada aktiviti arak atau judi bukan bermakna kerajaan menghalalkan arak dan judi.
Begitu juga, membenarkan aktiviti tertentu untuk bukan Islam tidak bermaksud Islam mengiktirafnya sebagai halal untuk umat Islam.
Inilah sebabnya kita perlu berhati-hati apabila menggunakan perkataan “Kalau kerajaan kutip cukai arak dan judi, bermakna kerajaan menghalalkan arak dan judi.”
Kesimpulan seperti itu tidak tepat dari sudut fiqh.
Malah, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan sendiri telah menjawab secara khusus bahawa cukai arak dan judi dibenarkan dengan perincian dan khilaf dalam cara penggunaannya.
Prinsipnya mudah, arak haram dan judi juga haram.
Tetapi pengurusan negara terhadap aktiviti bukan Islam mempunyai hukum dan perbahasan yang berbeza daripada hukum perbuatan itu sendiri.
Dan dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia, pendekatan kerajaan ialah menggabungkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, kebebasan beragama, undang-undang sivil, kawal selia dan percukaian, supaya hak rakyat yang berbeza agama dapat diurus tanpa memaksa hukum agama Islam ke atas semua orang secara sama rata.
Inilah beza antara memahami Islam sebagai agama dan mengurus sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang agama.
WAllahu A'lam.
Sekian.

BANYAK KALI DAH DISIARKAN. SUPAYA KITA MARHAEN PAHAM PARTI MELAYU KONONNYA LARI DARI BERBAHAS.

 


7 Pelaburan Tabung Haji rugi 100 peratus, Al-Rawda catat kerugian paling teruk






Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan jawapan bertulis Parlimen berkenaan isu Suruhanjaya Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) yang mengesahkan tujuh daripada 14 pelaburan bermasalah organisasi itu mengalami kerugian penuh 100 peratus.


Menurut dokumen bertarikh 11 Ogos 2026 itu, jawapan bertulis daripada Menteri menyatakan bahawa kesemua tujuh pelaburan berkenaan telah dibuat peruntukan rosot nilai sepenuhnya.


Berikut merupakan senarai tujuh syarikat yang dilapor mengalami kerugian 100 peratus:


1. Putrajaya Perdana Berhad (PPB)

2. Al-Rawda Real Estates

3. Trurich Resources Sdn. Bhd.

4. Emvail Sdn. Bhd.

5. Wellspring Worldwide Ltd.

6. Abraq Sdn. Bhd.

7. Al-Fareeda Residential Fund


Mengulas jawapan bertulis berkenaan, Syed Saddiq menerusi hantaran di media sosialnya memberitahu bahawa kerugian paling serius melibatkan Al-Rawda Real Estates.


Beliau mendakwa lebih RM1.5 bilion telah dibayar secara pendahuluan (upfront) kepada Al-Rawda yang bertindak sebagai orang tengah, namun pelaburan itu tidak mempunyai sebarang jaminan bank serta kawalan ketelitian (due diligence) yang lemah.


"Perlindungan TH cuma nota janji yang dijamin secara peribadi. Manfaat penginapan untuk jemaah pula tidak diterima seperti dirancang dan kutipan sewa terhenti bertahun-tahun," katanya.


Tambah beliau, jawapan rasmi Parlimen itu menunjukkan jumlah pelaburan bernilai bilion ringgit telah dikeluarkan tanpa memberi sebarang hasil pulangan kepada pihak Tabung Haji.




MENARIK KRITIKAN INI. DI MANA SIKAPNYA KERAJAAN INI.

 



Norman Daud


2 hari Kongres Parti KEADILAN berlangsung dan tengah hari tadi ia melabuhkan tirai.






Suasananya memang gemilang.


Dewan yang indah, kereta-kereta mewah bertaburan di tempat letak kereta. Alphard dan Vellfire dengan nombor pendaftaran satu atau dua angka megah di ruang VVIP.


Sebagai orang kampung seperti saya, memang menakjubkan melihat semua itu.


Sepanjang kongres, wakil-wakil negeri dan pimpinan diberi ruang untuk menyampaikan pandangan dan membahaskan ucapan dasar DS Anwar Ibrahim  .


Pelbagai isu dibangkitkan.


Isu parti, isu rakyat dan isu kepimpinan bergema di dalam dewan.


pada hari terakhir ini juga, kami dibekalkan sebuah buku yang bagi saya lebih penting daripada sekadar bahan bacaan.


Buku itu bertajuk Temu Fikrah penulisan bersama oleh ketua AMK Kamil Munim 


Di dalamnya dijelaskan kembali asas perjuangan Parti KEADILAN sejak penubuhannya pada tahun 1999.


Saya tertarik dengan kata-kata dalam mukadimah yang ditulis oleh PMX:


“(Perjuangan) ini tidak lahir sebagai kebetulan semata, jauh sekali daripada mengejar takhta dan kuasa, ia lahir dari jeritan nurani marhaen yang mendambakan keadilan, menegak hakikat karamah insaniah (kemuliaan insan) serta mendesak pembaikan struktur (islah) secara menyeluruh.”


Saya berhenti sejenak membaca ayat itu.


Inilah asas perjuangan KEADILAN.


Parti ini lahir daripada suara rakyat. Daripada mereka yang merasakan ketidakadilan. Daripada mereka yang mahu maruah manusia dipertahankan dan struktur kehidupan rakyat diperbaiki.


Tetapi hari ini, kita perlu berani bertanya kepada diri sendiri.


Kalau asas perjuangan kita masih sama, kenapa rakyat yang menjadi sasaran perjuangan kita semakin menjauh?


Kenapa rakyat seperti menolak kita?


Saya rasa kita tidak boleh salahkan rakyat.


Mereka telah memberikan peluang kepada kita untuk memegang amanah.


Persoalannya, adakah kita benar-benar telah menunaikan amanah itu?


Empat tahun kita mentadbir.


Pelbagai pencapaian ekonomi boleh kita bentangkan. Angka pertumbuhan, pelaburan, hasil kerajaan, pengurangan defisit dan pelbagai lagi data yang membanggakan.


Kita melihat angka-angka itu dan kita yakin rakyat sepatutnya gembira.


Tetapi rakyat tetap boleh mempunyai pandangan yang berbeza.


Kenapa?


Mungkin kerana kita terlalu banyak bercakap tentang angka, tetapi terlalu sedikit menyentuh hati rakyat.


Kita kurang turun bertemu mereka.


Kita kurang mendengar rintihan mereka.


Batang hidung kita kadang-kadang hanya kelihatan apabila pilihan raya semakin dekat.


Kita bangga menaiki kenderaan yang selesa dan mewah, tetapi berapa ramai antara kita yang benar-benar pernah menurunkan tingkap, berhenti di tepi jalan dan bertanya kepada rakyat bagaimana kehidupan mereka?


Kita lupa dalam nama parti kita ada perkataaan RAKYAT. 


Inilah yang mungkin kita terlupa.


Dasar kerajaan yang baik tidak akan memberi makna jika rakyat tidak memahaminya.


Bantuan yang sampai kepada rakyat tetapi tidak diterangkan dengan baik, akhirnya orang lain yang akan mengambil kreditnya.


Reformasi yang kita lakukan tetapi gagal kita jelaskan, akhirnya dianggap tidak berlaku.


Dan apabila fitnah datang bertalu-talu, kita pula hanya diam.


Kita biarkan orang lain membentuk persepsi rakyat.


Kemudian apabila keputusan pilihan raya tidak memihak kepada kita, kita mula mencari alasan.


Kita salahkan media.


Kita salahkan pembangkang.


Kita salahkan fitnah.


Kita salahkan sentimen.


Mungkin ada benarnya semua itu.


Tetapi kita juga perlu berani melihat kelemahan diri sendiri.


Jangan sampai kita terlalu sibuk memberitahu rakyat betapa baiknya prestasi kerajaan sehingga kita terlupa bertanya kepada rakyat:


“Adakah tuan benar-benar merasainya?”


Kerana akhirnya, sentimen boleh mengatasi prestasi.


Kita boleh menunjukkan angka yang cantik di atas kertas.


Tetapi kalau rakyat tidak merasakan perubahan itu dalam kehidupan mereka, angka tersebut tidak akan memenangkan hati mereka.


Lebih malang lagi kalau rakyat tidak tahu apa yang telah kerajaan lakukan kerana kita sendiri gagal menerangkannya.


Dan di sinilah peranan ahli parti.


Tidak cukup hanya hadir kongres.


Tidak cukup hanya bersorak ketika pemimpin berucap.


Tidak cukup hanya aktif apabila pilihan raya semakin dekat.


Ahli KEADILAN mesti menjadi mata, telinga dan suara parti di tengah-tengah masyarakat.


Kalau ada dasar kerajaan yang baik, kita terangkan.


Kalau ada fitnah, kita jawab dengan fakta.


Kalau rakyat marah, kita dengar.


Kalau rakyat mengadu, kita turun.


Kalau kerajaan tersilap, kita jangan takut menegur.


Kita bukan diwujudkan untuk mempertahankan jawatan.


Kita diwujudkan untuk mempertahankan perjuangan.


Dan mungkin selepas dua hari kita duduk di dalam dewan yang indah ini, kita perlu kembali kepada persoalan paling asas


Adakah KEADILAN hari ini masih menjadi parti yang lahir daripada “jeritan nurani marhaen”?


Atau kita sudah terlalu selesa sehingga tidak lagi mendengar jeritan itu?


Saya tidak menulis ini kerana kecewa dengan parti.


Saya menulis kerana saya masih percaya kepada perjuangan ini.


Tetapi kalau kita benar-benar percaya kepada asas perjuangan yang ditulis dalam Temu Fikrah, kita mesti berani melakukan muhasabah.


Rakyat bukan musuh kita.


Rakyat juga tidak pernah berjanji untuk memilih kita selama-lamanya.


Mereka hanya memberikan amanah.


Dan apabila mereka merasakan kita sudah jauh daripada mereka, mereka berhak memilih siapa yang mereka percaya.


Tugas kita bukan memarahi mereka kerana pilihan itu.


Tugas kita ialah kembali kepada mereka.


Turun ke bawah.


Dengar suara mereka.


Fahami kehidupan mereka.


Terangkan apa yang kita lakukan.


Dan buktikan bahawa perjuangan KEADILAN masih lagi berpijak di bumi yang sama tempat ia dilahirkan pada tahun 1999.


Perjuangan ini bukan tentang siapa yang mendapat jawatan.


Bukan tentang siapa yang menaiki kereta paling mewah.


Perjuangan ini tentang manusia.


Tentang maruah.


Tentang keadilan.


Tentang memperbaiki kehidupan rakyat.


Dan kalau kita benar-benar mahu rakyat kembali percaya kepada kita, mungkin kita tidak perlu bermula dengan angka.


Kita perlu bermula dengan mereka.


Dengan rakyat.





TERMENUNG SINDIR AUKU. NETIZEN TERMENUNG LIHAT STESEN BAS.

 


Seorang pemimpin Pemuda PAS, Ahmad Fahmi Mokhtar mengakui dirinya “termenung” selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) akan dimansuhkan sepenuhnya.






Menurutnya, beliau masih ragu-ragu sama ada pengumuman tersebut boleh dipercayai kerana AUKU belum benar-benar dimansuhkan dan perkara itu diumumkan di pentas politik.


“Nak gembira tapi Anwar yang cakap, tak jadi gembira. Tengok AUKU akan dimansuh, rasa happy, tengok gambar Anwar, tak jadi pula,” tulisnya.


Namun, hantaran itu mengundang pelbagai sindiran netizen yang memintanya turut termenung memikirkan projek stesen bas baharu Kota Bharu yang masih belum siap.


“Saya lagi termenung dan waswas bila KB Sentral tak siap bertahun-tahun lamanya. Kalau projek sekecil ini pun gagal, tolonglah jangan bermimpi nak perintah negara,” tulis seorang pengguna.


Seorang lagi menyindir, projek berkenaan seperti hanya tinggal cerita kerana “haram tiang pun tiada”.


Netizen lain turut meminta beliau memikirkan janji PAS sendiri termasuk pelaksanaan RUU355, hudud dan projek pembangunan di Kelantan, bukannya hanya meragui setiap pengumuman kerajaan.





DEDAHKAN LAPORAN RCI TH KE SEGENAP PENJURU ALAM







Laporan RCI TH perlu didedahkan ke pelosok alam untuk menepis tanggapan kerajaan sengaja peram laporan tersebut demi untuk elak dari Kerajaan Madani jatuh. 


Semua jentera penerangan kerajaan dan parti perlu didedahkan dapatan sebenar RCI tersebut. Selain itu SPRM hendaklah bertindak segera mendakwa pelakunya.




LAPORAN POLIS TERHADAP KENYATAAN DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI BERKAITAN TABUNG HAJI...JOM PAKAT REPORT




Pada [TARIKH], kira-kira jam [MASA], saya telah menonton satu rakaman video tular di TikTok yang memaparkan Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempertikaikan isu kerugian, pembayaran hibah, kedudukan aset dan liabiliti serta dakwaan manipulasi akaun Lembaga Tabung Haji.


Kenyataan tersebut dibuat selepas dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Tabung Haji diumumkan.


Dalam ucapannya, beliau antara lain mendakwa bahawa isu Tabung Haji hanyalah perbezaan kaedah dan interpretasi perakaunan, tidak mempunyai kaitan dengan penyelewengan, penyimpangan atau manipulasi akaun serta menuduh kerajaan semasa memanipulasi fakta untuk menyalahkan kerajaan terdahulu.


Kenyataan ini amat serius kerana ia bukan sekadar pandangan politik biasa, tetapi secara terbuka mempertikaikan dan memberi gambaran yang bercanggah dengan dapatan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja.


Perbuatan menyampaikan kenyataan sedemikian berpotensi mengelirukan rakyat, memutarbelitkan fakta, menjejaskan keyakinan pendeposit serta mencemarkan kewibawaan dapatan rasmi RCI yang melibatkan kepentingan wang umat Islam.


Sehubungan itu, saya meminta pihak Polis Diraja Malaysia segera menyiasat Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berhubung asas, bukti dan kesahihan setiap dakwaan yang dibuatnya.


Sekiranya beliau mempunyai bukti bahawa dapatan RCI atau penjelasan kerajaan adalah palsu dan dimanipulasi, beliau hendaklah menyerahkan bukti tersebut kepada pihak berkuasa. Namun, sekiranya kenyataan beliau didapati palsu, tidak berasas atau sengaja dibuat untuk mengelirukan masyarakat, tindakan tegas hendaklah diambil mengikut undang-undang tanpa mengira kedudukan politiknya.


Saya membuat laporan ini demi mempertahankan kebenaran, menjaga kepentingan para pendeposit Tabung Haji dan memastikan dapatan RCI tidak diputarbelitkan sesuka hati untuk kepentingan politik.


Saya menyerahkan rakaman video dan transkrip kenyataan tersebut kepada pihak polis bagi membantu siasatan.


Sekian laporan saya.


Nama :


No. Kad Pengenalan :


No. Telefon :


Tarikh :


Balai Polis :