Padu ayat Azri Walter ni...
Riuh rendah di parlimen minggu ini pasal laporan RCI Tabung Haji. Angka kerugian yang keluar bukan calang-calang, RM10 bilion hingga RM12.6 bilion lebur sebab salah urus dan pelaburan pelik sebelum ini.
Bila pendeposit bising, jawapan rasmi kerajaan sentiasa sama, jangan risau, kerajaan sudah buat pelan penyelamatan dan duit pendeposit selamat dijamin kerajaan.
Betul, dari segi teknik, duit pendeposit memang selamat. Kerajaan sudah suntik dana bailout lebih RM10 bilion untuk tampung lubang yang bocor itu.
Tetapi sebagai rakyat marhaen, kita kena pakai logik asas.
Duit bailout RM10 bilion yang kerajaan guna untuk tampung kesilapan orang atas itu datang dari mana?
Duit itu bukan jatuh dari langit. Itu duit cukai rakyat. Itu hasil pendapatan negara. Itu dana awam yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain.
Kalau tadbir urus dana macam ini terus dibiarkan dan menjadi perkara biasa, sampai bila kerajaan dan dana rakyat terpaksa jadi penyelamat? Berapa lama lagi kantung negara mampu bertahan untuk tanggung beban kebodohan pengurusan orang lain?
Saya bagi analogi mudah untuk semua orang faham.
Bayangkan mak dan ayah kau ada satu akaun simpanan khas. Duit dalam akaun itu mereka simpan sikit demi sikit setiap bulan. Niat mereka cuma satu, duit itu untuk bayar yuran universiti kau, baiki kereta yang selalu rosak dan renovate dapur rumah yang dah uzur.
Tiba-tiba, abang sulung kau pergi buat bisnes pelik tanpa usul periksa. Bisnes dia melingkup dan dia berhutang keliling pinggang sebanyak RM10,000 dengan kawan-kawan dia.
Sebab tak nak abang kau kena tangkap atau memalukan nama keluarga, mak dan ayah kau terpaksa korek akaun simpanan khas tadi. Mereka ambil RM10,000 daripada tabung itu untuk bayar hutang abang kau.
Hutang abang kau memang selesai. Dia selamat.
Tetapi apa jadi pada kau dan adik beradik lain? Yuran universiti kau terpaksa ditangguh, kereta mak ayah kekal rosak dan dapur rumah terus uzur tak baiki sebab duit simpanan yang sepatutnya untuk kebajikan satu keluarga sudah habis disedut untuk selamatkan kesilapan seorang individu.
Sama macam isu Tabung Haji. Keadaan dia sebiji macam tu. Tabung Haji tersalah labur dan rugi. Nak bagi selamat dan tak nak rakyat panik, kerajaan luluskan untuk ambik duit daripada peruntukan tempat lain, lalu tampung lubang di situ.
Dengan RM10 bilion duit tempat lain tu, kita sepatutnya boleh bina beratus sekolah baru yang daif di pedalaman. Kita boleh naik taraf berpuluh hospital awam yang sesak dengan mesin perubatan yang usang.
Kita boleh salur subsidi terus ke poket pesawah, nelayan dan golongan yang tengah tersepit.
Malah mengikut kiraan pakar, RM10 bilion itu sebenarnya cukup untuk menampung subsidi haji penuh bagi semua jemaah muassasah B40 untuk tempoh lebih 20 tahun.
Sebab tu kita marah bila ada unsur sakau, ketirisan dan salah tadbir. Impak dia bukan sekadar angka di atas kertas laporan RCI.
Impak sebenar ialah setiap kali orang atas buat silap, seluruh rakyat Malaysia yang menanggung akibatnya.
Bajet pembangunan yang sepatutnya turun ke bawah untuk mudahkan hidup rakyat, terpaksa dipenjuru ke atas untuk selamatkan maruah institusi yang dirosakkan oleh tangan-tangan tidak bertanggungjawab.
Benda ini bukan sekadar isu salah urus atau sakau. Ini isu amanah dan hak rakyat yang secara tidak langsung memberi kesan berpanjangan.
Bila aliran tunai kerajaan problem, cukai pula dinaikkan supaya hasil negara bertambah. Akhirnya rakyat juga yang kena hadap kesilapan golongan atasan.
Setiap kali kerajaan kata tiada peruntukan untuk bantu sekolah, tiada bajet untuk baiki jalan berlubang, atau terpaksa tarik subsidi ruji, ingatlah jumlah berbilion ringgit yang telah lebur untuk menutup lubang kegagalan masa lalu.
Selepas banyak siri kegagalan tadbir urus seperti ini, sudah tiba masanya kita bertegas. Institusi yang menjaga kepentingan rakyat mesti dipandu oleh individu yang berintegriti, cekap, amanah dan handal.
Mana-mana individu yang duduk di atas sana, yang rasa diri mereka tak berguna dan tak handal, sila letak jawatan. Jangan susahkan poket rakyat hanya semata-mata untuk menahan ego jawatan kau.
Fikir-fikirkan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.