FELDA: FORENSIK DAN PEMULIHAN MELALUI HALA TUJU BARU

 







FELDA: FORENSIK DAN PEMULIHAN MELALUI HALA TUJU BARU
1. Sejak FELDA mengalami era keruntuhan dari 2012 hingga 2017, bermacam-macam tindakan telah diambil. Usaha ini berjalan dari zaman Najib Razak, Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin sehinggalah Ismail Sabri.
2. Kita lihat pelbagai jawatankuasa ditubuhkan. Ada Lab FELDA, pembentangan Kertas Putih pada 2019, dan penubuhan Pasukan Petugas Khas. Berbilion ringgit wang kerajaan disuntik.
3. Masalahnya, keempat-empat Perdana Menteri sebelum ini tidak membawa satu hala tuju perniagaan dan pengurusan yang baharu. Pendekatan yang diguna masih model lama. Kerajaan sekadar beri duit, terbit sukuk dan hapus hutang. Akhirnya ia tidak memberi kesan penyelesaian yang membumi.
4. Kini di era PMX Anwar Ibrahim , langkah siasatan forensik secara tertutup dibuat. Tujuannya untuk menyiasat ketirisan RM10 bilion. Ini langkah pembersihan yang disokong penuh sementalah ianya juga sebahagian titah YDP Agong.
5. Tetapi PMX perlu hadirkan forensik ini bersama-sama hala tuju yang baharu. Forensik tanpa perniagaan yang menguntungkan serta kecekapan pengurusan kewangan ladang tidak akan menyelamatkan FELDA mahupun peneroka.
6. PMX pernah menekan FELDA untuk hantar kertas hala tuju baharu. Pada April 2025, FELDA sememangnya telah menyerahkan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 kepada kerajaan. Antara inisiatif di atas kertas adalah langkah FELDA menguasai lebih 90 peratus saham FGV bagi menyatukan operasi dan membuang pertindihan kuasa. Namun, apa isi pelan ini untuk orang di bawah? Bila mahu dilaksana sepenuhnya di ladang? Rakyat dan peneroka tertanya-tanya.
7. Hala tuju baharu ini tidak boleh bersifat kosmetik di peringkat korporat sahaja. Ia mesti membumi. Ketirisan hasil dan hutang sebenarnya bermula di ladang. Peneroka urus sendiri boleh hasilkan 20 hingga 25 tan per hektar setahun. Tetapi di bawah pengurusan FELDA, hasilnya sekadar 17 hingga 19.5 tan. Ini bukti pengurusan tidak cekap. Tanam semula bermasalah, hasil rendah, kos tinggi, dan hutang terus meningkat.
8. Masalah tanam semula masih kuat kedengaran di tanah rancangan. Jadual tertangguh, kualiti anak benih rendah, dan proses penanaman banyak kepincangan. Suara peneroka dan generasi pewaris tidak didengari. Perjanjian dipertikai, FELDA gagal urus, tetapi apabila peneroka tuntut hak, mereka pula yang ditekan.
9. Langkah seperti inisiatif Pusat Mengumpul Sawit (PMS) Damar Berkat juga bukan penyelesaian tuntas. Ia hanya menambah kos pengangkutan dan mewujudkan rantaian ambil untung secara berperingkat oleh kontraktor dan KPF.
10. Jika mahu bantu, FELDA patut beri kebenaran kepada peneroka urus sendiri untuk membuka akaun menghantar hasil terus ke kilang FELDA. Potong orang tengah sepenuhnya. Sistem bayaran sebulan sekali juga sudah lapuk. FELDA sepatutnya bayar secara harian atau mingguan untuk bersaing di pasaran.
11. Peneroka dan generasi baharu hanya mahu melihat hasil yang adil. Jika ladang diurus FELDA, hasil perlu tinggi dan hutang perlu rendah. Bagi yang urus sendiri, mereka mahu diiktiraf dan dipermudahkan urusan. FELDA perlu bantu semua pihak, bukan hanya memilih mereka yang menunduk akur. Sesiapa yang tidak sehaluan seolah-olah dilayan seperti sudah terkeluar dari Akta GSA.
12. Pemerkasaan KPF juga masih jauh dari realiti. Ahli Lembaga Koperasi (ALK) masih dipengaruhi politik kepartian. Prestasi perniagaan rendah. Bayaran penebusan saham ahli tertangguh. Banyak aset beku tidak dapat dicairkan kerana pengurusan lama beli pada harga jauh lebih tinggi dari pasaran. Penstrukturan semula KPF ini pun dijangka kerajaan hanya akan selesai pada hujung tahun 2026.
13. Kos operasi juga wajib distruktur semula. Selama ini FELDA berbelanja mewah. Program-program kerap dibuat di hotel. Selama tiga tahun ia dipimpin oleh orang politik. Jentera FELDA dikerah menjadi alat politik dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Kemaman, DUN Simpang Pelangai, Pilihan Raya Negeri dan juga di Sabah. Kerja hakiki memastikan ladang peneroka dijaga dengan baik terus terabai.
14. Pembaziran ini menekan kos dan masa. Mantan Pengerusi yang lepas orang politik. Kerjanya untuk undi. Sudah dapat undi, peneroka dan generasi masij tagih janji. Kini, FELDA mempunyai Pengerusi baharu dari kalangan teknokrat dan pakar kewangan. Beliau bukannya orang politik. Beliau perlu bertindak segera membetulkan keadaan perbelanjaan yang bocor ini.
15. Kesimpulannya, PMX memerlukan langkah serampang dua mata. Di satu tangan, teruskan forensik untuk hukum perompak dana FELDA. Di satu tangan lagi, dedahkan dan laksanakan segera Pelan Strategik 2025-2030 yang mampu menyelesaikan masalah ekonomi peneroka di ladang serta meningkatkan pendapatan sebenar FELDA. Menggemparkan rakyat dengan isu jenayah lampau tanpa penyelesaian ekonomi menyeluruh tidak akan membawa FELDA, peneroka dan generasi ke mana-mana.
Generasi ke 2 dan ke 3 FELDA
17 Ogos 2026











No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.