GST VS SST...JOM KITA FAHAM.








PMX Jawab Di Dewan Rakyat Kenapa Tidak Mahu Laksana GST!




“Guru dengar lah cakap rakyat, kembalikan GST!” – Presiden Umno Zahid Hamidi







 




GST Kurang Sesuai Dilaksanakan – Kementerian Kewangan

 


IMG_1854

GST cenderung bersifat regresif kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk penggunaan, berbanding golongan berpendapatan lebih tinggi.

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kurang sesuai dilaksanakan buat masa ini, ketika tahap pendapatan rakyat belum tinggi mencapai nilai ambang dan cabaran kos sara hidup menjadi isu utama.

Menurut MOF, kerajaan sedia maklum mengenai kelebihan GST dari segi kecekapan kutipan, ketelusan dan mekanisme kredit cukai input, namun pilihan sistem percukaian yang dilaksanakan mesti mengambil kira kemampuan rakyat.

“GST cenderung bersifat regresif kerana golongan berpendapatan rendah membelanjakan bahagian yang lebih besar daripada pendapatan mereka untuk penggunaan, berbanding golongan berpendapatan lebih tinggi.

Walaupun tanpa jumlah tambahan itu, jumlah SST yang diunjurkan Kementerian Kewangan (MOF) mencecah RM46.7 bilion bagi 2025, lebih tinggi berbanding kutipan di bawah Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada 2017 sebanyak RM44.3 bilion.

“Justeru, kerajaan berpandangan pelaksanaan GST pada masa ini kurang sesuai,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.

Kementerian itu menjawab soalan Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai pendirian rasmi terkini kerajaan berhubung cadangan untuk menggabungkan kedua-dua elemen GST dan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap sistem percukaian negara, serta bagaimana kementerian ingin memastikan rakyat dan peniaga tidak menjadi mangsa percubaan dasar percukaian yang tidak mempunyai hala tuju yang jelas.

Malah, MOF menjelaskan, mekanisme sistem SST yang dilaksanakan ketika ini berbeza dengan GST kerana tidak memindahkan beban cukai secara automatik kepada pengguna akhir.

Sebaliknya, pihak peniaga mempunyai fleksibiliti untuk menentukan sama ada mahu menyerap sebahagian kos berkenaan atau memindahkannya kepada pembeli.

“Sistem ini sedia ada mengambil kira ciri-ciri terbaik daripada SST dan GST.

“Objektif penambahbaikan sistem SST adalah untuk mengurangkan kesan cukai berganda,” katanya.

Untuk mencapai objektif berkenaan, kerajaan sudah mengambil langkah secara bersasar untuk mengurangkan kesan cukai berganda, antaranya melalui penambahbaikan kemudahan layanan Cukai Jualan (CJ) dan layanan Cukai Perkhidmatan (CP).

Justeru katanya, kerajaan berpegang untuk mengekalkan SST kerana ia memberi ruang untuk menetapkan skop percukaian secara bersasar, yang mana barang dan perkhidmatan asas yang lazimnya digunakan majoriti rakyat, secara amnya tidak dikenakan cukai.

“Kerajaan akan terus melaksanakan penambahbaikan SST dari semasa ke semasa melalui penilaian bantuan teknikal daripada organisasi antarabangsa dan sesi libat urus dengan pemegang taruh pakar percukaian tempatan untuk mendapatkan cadangan penambahbaikan dasar sistem cukai negara bagi melindungi dan meminimumkan impak kepada rakyat, industri dan peniaga,” katanya.



PMQT: Kerajaan Tidak Sebar Dokumen Pengampunan Bersyarat Najib – PM Anwar

 


IMG_1849

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Kerajaan tidak menyebarkan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia kepada umum, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri turut menafikan dokumen pengampunan bersyarat Najib Razak itu disebarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

Menjelaskan perkara berkenaan ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Anwar berkata, AGC sebaliknya menyahklasifikasikan sebahagian dokumen berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai persediaan menghadapi kes di mahkamah.

“Jadi siapa (menyebarkan dokumen terbabit) patut disiasat, jangan buat tohmahan mengatakan kerajaan edarkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

“Tidak ada. Tidak benar kerana yang berlaku adalah keputusan Peguam Negara untuk mempersiapkan kes jawapan di mahkamah, itu sahaja,” katanya.

Anwar menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang bertanya mengenai dakwaan kerajaan menyahklasifikasikan dokumen pengampunan bersyarat Najib dan mendedahkannya kepada umum.

Persoalan berkenaan boleh diajukan kepada pihak berkuasa sama ada siasatan boleh dilakukan atau sebaliknya.




PMQT: PM Anwar Arah Siasat Ahli Parlimen Isu Sensitiviti Agama

 


IMG_1853

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Tanpa melindungi sesiapa, seorang Ahli Parlimen yang didakwa membuat kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan ketika melawat Terengganu baru-baru ini, terbuka untuk siasatan pihak berkuasa, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun tidak menamakan Ahli Parlimen berkenaan, Perdana Menteri menegaskan, tiada pihak terkecuali daripada tindakan penguatkuasaan sekiranya membangkitkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

Mengakui tidak bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen terbabit yang dilapor mempersoalkan penutupan premis perniagaan bagi memberi laluan kepada solat Jumaat, Anwar berkata, permohonan maaf segera telah pun dibuat tetapi keputusan dibuat pihak berkuasa.

“Kenyataan Ahli Parlimen terbabit, saya tidak bersetuju. Itu jelas.

“Walaupun kini sudah minta maaf, itu saya serah kepada siasatan… apakah kenyataan dibuat selepas mohon maaf, itu keputusan PDRM (Polis Diraja Malaysia),” katanya pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

Beliau menjawab soalan tambahan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai tindakan ke atas seorang Ahli Parlimen yang didakwa mengeluarkan kenyataan menggugat sensitiviti keagamaan.




PMQT: Turkiye Belum Sedia Terima 10,000 Pelarian Rohingya Dari Malaysia – PM Anwar

 


IMG_1853

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Permohonan Malaysia untuk menghantar 10,000 pelarian Rohingya dari negara ini, belum mendapat persetujuan Kerajaan Turkiye, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penjelasan tersebut dimaklumkan Perdana Menteri semasa sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) seraya berkata, beliau menerima penjelasan dan pengesahan daripada republik itu berhubung permohonan tersebut, dua hari lalu.

“Malaysia seperti yang disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memohon dipertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

“Tetapi pihak Turkiye secara rasminya belum bersedia menimbangkannya atas alasan sedang menanggung lebih empat juta pelarian dari Negara Teluk, Arab dan beberapa negara jiran,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) pada sesi berkenaan ekoran kenyataan Ahmad Zahid yang menarik balik pengumuman beberapa hari lalu.

Hassan meminta penjelasan sama ada benar Kerajaan Turkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 24 November 2026. Foto Parlimen Malaysia

Anwar berkata, keputusan Kerajaan Turkiye itu sudah dimaklumkan kepada Ahmad Zahid dan akan dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, Jumaat ini.

“Menteri Luar dan Kementerian Luar juga sudah sedia maklum tentang perkara ini, iaitu dasar kita adalah betul, tetapi ada negara yang belum bersedia,” katanya.

Dalam sesi sama, Anwar turut menjawab soalan Hassan mengenai sama ada Malaysia berasa bersalah kerana menjemput Ketua Kerajaan Junta Myanmar ke Malaysia baru-baru ini, susulan keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, pada 19 November lalu yang memutuskan Pasukan Keselamatan Myanmar membunuh beribu-ribu orang awam Rohingya di negara itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing pada sidang media bersama di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8 Oktober 2026. Foto RTM

Anwar berkata, keputusan untuk mengundang pemimpin Myanmar dibuat sebelum keputusan ICJ diumumkan.

Beliau menegaskan pendirian Malaysia adalah jelas, iaitu mempertahankan hak asasi rakyat mana-mana negara serta menghormati keputusan ICJ.

“Adakah dengan mengundang Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing, ke Malaysia dapat membantu menyelesaikan masalah negara? Jawapannya, ya.

“Usaha mengharapkan negara ketiga untuk menyelesaikan masalah ini tidak berhasil. Begitu juga mengharapkan mereka dibawa pulang dengan mudah pun tidak berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing sejurus selepas Min Aung diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 8 Oktober 2026. Foto PMO

“Jadi, kita memilih untuk berunding. Hasil rundingan ini, kita berjaya mencapai persetujuan yang selari dengan keputusan ICJ, iaitu menjamin kepulangan secara selamat dan bermaruah. Itulah istilah yang digunakan dalam penghakiman ICJ,” katanya.




Saifuddin Nasution Bertemu Abang Johari Bincang Hubungan Persekutuan-Sarawak

 


IMG_1860

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak di Kuching pada 23 November 2026. Foto Saifuddin Nasution Ismail

KUCHING, 24 Nov – Kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan terus memperkukuh persefahaman dan kerjasama dari semasa ke semasa dan ia menjadi keutamaan pada masa ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kedua-dua elemen berkenaan merupakan antara perkara yang dibincangkan ketika pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini semalam.

Menerusi hantaran di media sosial, Saifuddin Nasution berkata, pertemuan turut menyentuh beberapa perkara berkepentingan bersama melibatkan aspek keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam konteks politik nasional, saya menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negara,” katanya hari ini.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua pihak penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berada di wilayah ini bagi memberi taklimat berhubung usaha yang dilakukan kementerian bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara selain bertukar-tukar pandangan tentang isu semasa.




PM Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada A Samad Said

 

IMG_1889

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menziarahi jenazah allahyarham Datuk Seri Dr A Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar As-Saddiq, Bangsar pada 24 November 2026.

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Masjid Saidina Abu Bakar As-Saddiq, Bangsar, malam ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr Abdul Samad Muhammad Said atau dikenali sebagai A Samad Said.

Perdana Menteri tiba di masjid itu pada jam 10.45 malam, sebelum bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham.

Kenderaan membawa jenazah allahyarham tiba dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dibawa ke masjid berkenaan bagi membolehkan upacara penghormatan terakhir dilakukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berduka atas pemergian allahyarham Datuk Seri A. Samad Said pada 24 November 2026.

Anwar bersama ahli keluarga Allahyarham dan jawatankuasa pengurusan masjid kemudian turut meluangkan masa menghadiahkan bacaan surah Yassin sebelum menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.

Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkongsi rasa hiba dan sayu sebaik menerima khabar pemergian A Samad Said.

“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato’ A. Samad Said ketika majlis makan malam di Port Dickson pada 1 Oktober 2018

“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan.

“Azizah dan saya menzahirkan rahmat ke atas ruh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan. Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan ruhnya diberi tempat istimewa disisi-Nya,” ujar Anwar menurut hantaran di media sosial.

A Samad Said, 91, menghembuskan nafas terakhir di HKL, jam 6.05 petang tadi.

Berita itu disahkan oleh anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di media sosial lewat petang tadi.

Jenazah dijangka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, pagi esok (25 November 2026).




Anwar dan Nik Aziz, dua tokoh penting dalam sejarah Pakatan Rakyat

 



Hubungan erat antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat merupakan antara faktor penting dalam pembentukan dan kelangsungan Pakatan Rakyat yang ditubuhkan pada 2008.

Kedua-dua pemimpin memainkan peranan penting dalam memperkukuh kerjasama antara PKR, Pas dan DAP meskipun terdapat perbezaan ideologi serta pendekatan politik dalam kalangan parti komponen.

Sebagai Mursyidul Am Pas, Nik Aziz mempunyai pengaruh besar dalam mempertahankan penyertaan parti itu dalam Pakatan Rakyat, manakala Anwar berperanan sebagai pengantara dalam menangani perselisihan antara parti.

Hubungan mereka turut terserlah menerusi kunjungan Anwar ke Pulau Melaka, Kelantan, termasuk pada Mac 2014 apabila beliau meminta Nik Aziz mendoakan kesejahteraan dan kekuatannya dalam menghadapi cabaran politik.

Nik Aziz juga secara terbuka menyatakan pendiriannya menentang cadangan pembentukan kerajaan bersama Umno dalam satu wawancara dengan Harakah pada Mei 2013.

Bagaimanapun, pemenjaraan Anwar pada 10 Februari 2015, disusuli pemergian Nik Aziz pada 12 Februari tahun sama, memberikan kesan besar terhadap kedudukan Pakatan Rakyat.

Gabungan tersebut akhirnya berpecah pada Jun 2015 susulan pertikaian antara Pas dan DAP, sebelum menyaksikan penubuhan Amanah pada September tahun berkenaan.

Perkembangan politik selepas itu menyaksikan Pas mengambil pendekatan kerjasama yang berbeza apabila memeterai Piagam Muafakat Nasional bersama Umno pada September 2019.




Empat tahun jadi PM, Anwar ingatkan satu perkara lebih penting daripada jawatan

 


“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela, dan martabat negara mesti terus diangkat,” demikian penegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika genap empat tahun menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.

Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 berkata, empat tahun memimpin Kerajaan MADANI bukan suatu perjalanan mudah, terutama ketika negara berdepan tekanan ekonomi, kekangan kewangan serta peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, ketika mula menerima amanah tersebut, negara turut berdepan kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang telah lama berakar, sekali gus memerlukan keberanian untuk melaksanakan perubahan.

“Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekad saya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat. Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Anwar berkata, sepanjang empat tahun pentadbirannya, kerajaan berusaha membina asas ekonomi yang lebih kukuh melalui penambahbaikan kedudukan kewangan negara, pengukuhan tatakelola, reformasi institusi dan peluasan bantuan kepada rakyat.

Berdasarkan infografik pencapaian yang dikongsikan beliau, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, manakala pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama 2026 mencatatkan 5.6 peratus selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.5 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Infografik sama menunjukkan kadar inflasi berada pada paras 1.8 peratus pada September 2026, manakala kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, yang dinyatakan sebagai antara paras terendah dalam tempoh 10 tahun.

Dari sudut kewangan, kerajaan turut mengetengahkan pengukuhan nilai ringgit daripada RM4.75 bagi setiap dolar Amerika Syarikat pada November 2022 kepada RM3.95 pada Mei 2026, selain pengurangan defisit fiskal daripada 5.6 peratus kepada 3.6 peratus dalam tempoh perbandingan yang dipaparkan.

Anwar turut berkongsi pencapaian penjimatan RM15.5 bilion menerusi beberapa langkah penyusunan semula subsidi, termasuk subsidi diesel bersasar, rasionalisasi subsidi RON95, penyesuaian subsidi elektrik serta penamatan subsidi telur ayam.

Menurut infografik tersebut, peruntukan pendidikan meningkat daripada RM52.6 bilion pada 2022 kepada RM66.2 bilion pada 2026, manakala peruntukan kesihatan bertambah daripada RM32.4 bilion kepada RM46.5 bilion dalam tempoh sama, dengan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut meningkat daripada RM8 bilion kepada RM15 bilion.

Kerajaan MADANI juga mengetengahkan lebih 35 pelan strategik nasional yang dilancarkan sejak 2022, termasuk kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) serta Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Bagaimanapun, Anwar mengakui perjalanan membangunkan negara masih panjang dan menegaskan ukuran sebenar kemajuan bukan semata-mata berdasarkan angka ekonomi, tetapi sejauh mana setiap keluarga menikmati kehidupan lebih baik, pendapatan lebih terjamin dan masa depan anak-anak terus terbela.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan rakyat sepanjang empat tahun kepimpinannya, selain berikrar mencurahkan segala kemampuan untuk melaksanakan amanah yang diberikan kerana baginya, kepentingan rakyat dan martabat negara mesti terus dipertahankan tanpa mengira siapa yang memegang jawatan Perdana Menteri.


ANALISIS │SG4 impikan ekonomi RM723 bilion, gaji rakyat rendah, masalah air belum selesai

 




TEAM EDITORIAL

Di sebalik sasaran mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) gabungan sebanyak RM723.75 bilion menjelang 2050, empat negeri di bawah kerjasama SG4 masih berdepan cabaran ekonomi dan penyediaan kemudahan asas kepada rakyat.

Sasaran yang diketengahkan menerusi Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 itu melibatkan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis, berdasarkan senario pertumbuhan ekonomi tahunan sehingga tujuh peratus.

Bagaimanapun, statistik terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan dua daripada empat negeri berkenaan mencatatkan median upah bulanan pekerja sektor formal paling rendah di Malaysia.

Sehingga Jun 2026, Kelantan merekodkan median upah bulanan sebanyak RM1,827, diikuti Perlis sebanyak RM1,864, berbanding median upah nasional sebanyak RM3,000.

Sebagai perbandingan, Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan sebanyak RM4,245, Selangor RM3,245 manakala Pulau Pinang RM3,000.

Selain jurang pendapatan pekerja, masalah bekalan air yang berlarutan di Kedah dan Kelantan turut menjadi cabaran dalam usaha menarik pelaburan serta memperluas kegiatan perindustrian.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir pada 27 Oktober lalu menyuarakan kebimbangan mengenai kedudukan margin rizab air Kedah yang berada pada paras sifar peratus.

Beliau menegaskan sasaran pertumbuhan ekonomi SG4 perlu disokong dengan keupayaan pelaksanaan projek pembangunan serta penyelesaian masalah infrastruktur asas, khususnya bekalan air.

Di Kelantan pula, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin pada 1 November lalu mendedahkan kadar air tidak berhasil (NRW) masih berada pada paras 53 peratus.

Beliau turut memaklumkan lebih 4,000 kilometer paip lama perlu diganti, sedangkan kerja penggantian paip ketika ini hanya melibatkan kira-kira 150 kilometer setahun.

Kerajaan Kelantan bagaimanapun menjangkakan negeri itu mempunyai lebihan kapasiti pengeluaran air selepas semua projek loji rawatan air yang dirancang siap menjelang 2031.

Dalam pada itu, Akmal ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 29 Oktober mendedahkan peruntukan pembangunan Persekutuan kepada empat negeri SG4 pada 2025 berjumlah RM7.7 bilion, iaitu 6.8 kali ganda berbanding peruntukan pembangunan gabungan kerajaan negeri berkenaan.

Menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Kerajaan Persekutuan turut meluluskan 1,487 projek pembangunan melibatkan kos keseluruhan RM71.52 bilion bagi empat negeri terbabit.

Sementara itu, penganalisis dasar awam, Tricia Yeoh menerusi artikel bertajuk SG4: A Bid for Economic State Power in Malaysia yang diterbitkan pada 18 November turut mengenal pasti kemampuan menarik bakat dan tenaga kerja mahir sebagai antara cabaran utama pembangunan perindustrian SG4.

Beliau turut membangkitkan cabaran hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan empat kerajaan negeri berkenaan dalam merealisasikan agenda pembangunan ekonomi SG4




Soalan : "Dulu SLEP di Sepanggar boested yang buat atau bousted buat apa ?












Sebutannya bukan Bousted tapi Boestead. 


Apapun soalan ni ramai yang keliru, sebab nama dia asyik bertukar-tukar.


Jawapan pendek : Ya, Boustead yang buat. Tapi bukan Boustead sendiri.


Yang sebenarnya buat kerja di Sepanggar


Kerja kapal selam Scorpene di Teluk Sepanggar tu dibuat melalui syarikat joint venture :


- Boustead DCNS Naval Corporation (BDNC)

JV antara Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC) dengan DCNS — DCNS ni sekarang dah jadi Naval Group, pembina asal Scorpène.

- Nisbah JV masa awal dulu lebih kurang 60:40 — Boustead pegang majoriti, DCNS/Perancis bawa teknologi.


Jadi bila orang kata “Boustead buat”, betul. Bila orang kata “Perancis pun terlibat”, pun betul. Sebab BDNC tu memang gabungan dua-dua.


Sekarang nama yang lebih kerap muncul ialah :

- BHIC Submarine Engineering Services Sdn Bhd (BSES)

- Ini anak syarikat BHIC yang uruskan In-Service Support (ISS) dan upkeep fasiliti kapal selam TLDM.

- BSES jugalah yang serahkan 3 LoI kepada Naval Group, Thales dan Safran untuk MLU baru-baru ni.


Satu pembetulan istilah penting


Istilah SLEP tu sebenarnya lebih sinonim dengan kapal permukaan, contohnya KD Lekir yang memang pernah siap SLEP oleh Boustead Naval Shipyard pada 2014.


Untuk Scorpene, istilah yang lebih tepat dalam rekod ialah :

> Refit

> In-Service Support (ISS)

> MRO (Maintenance, Repair & Overhaul)


Bukan SLEP macam kapal permukaan.


Jadi Boustead buat apa sebenarnya di Sepanggar ?


Menurut BHIC sendiri, kerja di Teluk Sepanggar merangkumi :


- Submarine MRO

- In-Service Support (ISS)

- Refit works untuk dua buah Scorpene Kelas Perdana Menteri


Pecahan kerja penyelenggaraan pula termasuk :

- Assisted Maintenance Period (AMP)

- Docking for Essential Defects (DED)

- Continuous Corrective Maintenance masa kapal dalam tempoh operasi


Senang cerita : dari tukar bateri, enjin, sistem, baiki kerosakan, sampai naik dok untuk refit 8 tahun sekali — semua tu dibuat di Sepanggar, bukan hantar balik Perancis.


Ada laporan kata refit Scorpene dibuat setiap 8 tahun, dan refit pertama yang dibuat dalam negara oleh BHIC/BDNC tu dianggap pencapaian besar sebab TLDM masa tu baru pertama kali operasikan kapal selam.


Malah untuk MLU akan datang ni, BSES anggar overhaul akan ambil lebih kurang 2.5 tahun untuk setiap kapal selam, dan kerja akan dibuat di dry dock Teluk Sepanggar jugak.


Begitulah yer

Oleh Salman Al Farisy


#uniformsoriginal

#salmanalfarisy

#aviationnavalarmour

#UOCG





BUKAN KAMUKAH YANG NAK BUANG YTB ?

 



MYNADI | POLITIK & SEMASA






ZAHID, TOK MAT DAN ASYRAF WAJDI DIJANGKA MENGHADAP TUANKU KHAMIS INI! BN BAWA KEPUTUSAN PARTI, KEMELUT NEGERI SEMBILAN MASIH BERGANTUNG?


SEREMBAN, 24 NOVEMBER 2026 – Tiga pemimpin tertinggi Barisan Nasional (BN) dijangka menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, Seremban pada Khamis ini.


Mereka ialah Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Pengerusi BN merangkap Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


Menurut sumber yang dipetik media, pertemuan itu bertujuan mempersembahkan keputusan parti yang dicapai dalam mesyuarat khas di Wisma UMNO Negeri Sembilan pada malam Jumaat lalu.


Bagaimanapun, perkembangan itu masih berdasarkan maklumat sumber dan belum boleh dianggap sebagai penyelesaian rasmi kepada kemelut politik negeri berkenaan.


24 ADUN BN-PN SUDAH BERI KATA SEPAKAT, APA KEPUTUSAN YANG AKAN DIBAWA?


Sebelum ini, seramai 24 ADUN daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) dilaporkan mencapai kata sepakat untuk akur kepada arahan serta ketetapan kepimpinan parti masing-masing dalam usaha menyelesaikan krisis politik Negeri Sembilan.


Kemelut semakin menjadi perhatian selepas Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim, mendakwa beliau tidak pernah bersetuju supaya surat peletakan jawatannya bertarikh 16 November diserahkan kepada Tuanku Muhriz.


Beliau turut mendakwa hanya mengetahui mengenai pengumuman peletakan jawatan itu melalui laporan media.


Dalam perkembangan berkaitan, sumber turut memaklumkan bahawa ADUN BN diarahkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kemelut berkenaan bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.


MYNADI: MENGHADAP TUANKU BUKAN SEKADAR BAWA KEPUTUSAN PARTI


Pertemuan yang dijangka berlangsung Khamis ini pastinya menjadi perhatian kerana rakyat Negeri Sembilan mahu melihat kemelut politik yang berpanjangan ini diselesaikan mengikut lunas perlembagaan.


Keputusan parti boleh dibincangkan di meja mesyuarat, tetapi urusan pentadbiran negeri perlu mengambil kira peruntukan undang-undang dan kedudukan institusi diraja.


Persoalan paling besar sekarang: apakah keputusan yang akan dipersembahkan oleh kepimpinan BN kepada Tuanku Muhriz?


Adakah ia bakal membuka jalan penyelesaian, atau sekadar satu lagi episod dalam kemelut yang belum berkesudahan?


Rakyat bukan mahu dengar siapa menang percaturan politik. Rakyat mahu tahu siapa yang akan mentadbir negeri dan memastikan urusan mereka terus berjalan.


Negeri Sembilan perlukan kepastian, bukan teka-teki politik yang berpanjangan.


#MYNADI #NegeriSembilan #AhmadZahidHamidi #MohamadHasan #AsyrafWajdi #TuankuMuhriz #UMNO #BN #PN #PolitikMalaysia