Saifuddin Nasution Bertemu Abang Johari Bincang Hubungan Persekutuan-Sarawak

 


IMG_1860

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak di Kuching pada 23 November 2026. Foto Saifuddin Nasution Ismail

KUCHING, 24 Nov – Kerajaan Persekutuan dan Sarawak akan terus memperkukuh persefahaman dan kerjasama dari semasa ke semasa dan ia menjadi keutamaan pada masa ini.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, kedua-dua elemen berkenaan merupakan antara perkara yang dibincangkan ketika pertemuan beliau dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di sini semalam.

Menerusi hantaran di media sosial, Saifuddin Nasution berkata, pertemuan turut menyentuh beberapa perkara berkepentingan bersama melibatkan aspek keselamatan, politik, ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Dalam konteks politik nasional, saya menghargai komitmen dan sokongan Sarawak terhadap usaha Kerajaan Persekutuan untuk memastikan kestabilan politik serta kesinambungan pentadbiran negara,” katanya hari ini.

Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) berkata, kerjasama dan persefahaman antara kedua-dua pihak penting bagi membolehkan kerajaan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembangunan ekonomi, pelaksanaan reformasi serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berada di wilayah ini bagi memberi taklimat berhubung usaha yang dilakukan kementerian bagi memperkukuh kawalan keselamatan di sempadan negara selain bertukar-tukar pandangan tentang isu semasa.




No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.