
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menziarahi jenazah allahyarham Datuk Seri Dr A Samad Said di Masjid Saidina Abu Bakar As-Saddiq, Bangsar pada 24 November 2026.
KUALA LUMPUR, 24 Nov – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tiba di Masjid Saidina Abu Bakar As-Saddiq, Bangsar, malam ini bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Seri Dr Abdul Samad Muhammad Said atau dikenali sebagai A Samad Said.
Perdana Menteri tiba di masjid itu pada jam 10.45 malam, sebelum bertemu dengan ahli keluarga Allahyarham.
Kenderaan membawa jenazah allahyarham tiba dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dibawa ke masjid berkenaan bagi membolehkan upacara penghormatan terakhir dilakukan.

Anwar bersama ahli keluarga Allahyarham dan jawatankuasa pengurusan masjid kemudian turut meluangkan masa menghadiahkan bacaan surah Yassin sebelum menatap wajah Allahyarham buat kali terakhir.
Terdahulu, Anwar dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkongsi rasa hiba dan sayu sebaik menerima khabar pemergian A Samad Said.
“Lewat ‘Salina’ (1961), Pak Samad mendekatkan kita kepada insan yang sering tersisih, agar kita turut menggarap duka dan memperjuang harapan mereka.

“Kasihnya kepada rakyat akan terus hidup dalam karya-karyanya, juga dalam kecekalannya membela bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan.
“Azizah dan saya menzahirkan rahmat ke atas ruh Pak Samad dan mengurniakan ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan. Mendoakan segala dosanya dikurniakan keampunan dan ruhnya diberi tempat istimewa disisi-Nya,” ujar Anwar menurut hantaran di media sosial.
A Samad Said, 91, menghembuskan nafas terakhir di HKL, jam 6.05 petang tadi.
Berita itu disahkan oleh anak keduanya, Helmy Abdul Samad menerusi perkongsian di media sosial lewat petang tadi.
Jenazah dijangka akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, pagi esok (25 November 2026).
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.