Empat tahun jadi PM, Anwar ingatkan satu perkara lebih penting daripada jawatan

 


“Perdana Menteri boleh datang dan pergi, tetapi nasib rakyat mesti terus dibela, dan martabat negara mesti terus diangkat,” demikian penegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika genap empat tahun menerajui negara sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.

Anwar yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 November 2022 berkata, empat tahun memimpin Kerajaan MADANI bukan suatu perjalanan mudah, terutama ketika negara berdepan tekanan ekonomi, kekangan kewangan serta peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, ketika mula menerima amanah tersebut, negara turut berdepan kelemahan tatakelola dan amalan rasuah yang telah lama berakar, sekali gus memerlukan keberanian untuk melaksanakan perubahan.

“Sejak hari pertama melangkah masuk ke Perdana Putra, tekad saya adalah untuk memulihkan negara dan memperbaiki kehidupan rakyat. Bukan suatu perjalanan yang mudah, tetapi amanah ini mesti terus digalas dengan penuh kesungguhan,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Anwar berkata, sepanjang empat tahun pentadbirannya, kerajaan berusaha membina asas ekonomi yang lebih kukuh melalui penambahbaikan kedudukan kewangan negara, pengukuhan tatakelola, reformasi institusi dan peluasan bantuan kepada rakyat.

Berdasarkan infografik pencapaian yang dikongsikan beliau, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2 peratus pada 2025, manakala pertumbuhan bagi sembilan bulan pertama 2026 mencatatkan 5.6 peratus selepas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat 5.5 peratus pada suku ketiga tahun ini.

Infografik sama menunjukkan kadar inflasi berada pada paras 1.8 peratus pada September 2026, manakala kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus, yang dinyatakan sebagai antara paras terendah dalam tempoh 10 tahun.

Dari sudut kewangan, kerajaan turut mengetengahkan pengukuhan nilai ringgit daripada RM4.75 bagi setiap dolar Amerika Syarikat pada November 2022 kepada RM3.95 pada Mei 2026, selain pengurangan defisit fiskal daripada 5.6 peratus kepada 3.6 peratus dalam tempoh perbandingan yang dipaparkan.

Anwar turut berkongsi pencapaian penjimatan RM15.5 bilion menerusi beberapa langkah penyusunan semula subsidi, termasuk subsidi diesel bersasar, rasionalisasi subsidi RON95, penyesuaian subsidi elektrik serta penamatan subsidi telur ayam.

Menurut infografik tersebut, peruntukan pendidikan meningkat daripada RM52.6 bilion pada 2022 kepada RM66.2 bilion pada 2026, manakala peruntukan kesihatan bertambah daripada RM32.4 bilion kepada RM46.5 bilion dalam tempoh sama, dengan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) turut meningkat daripada RM8 bilion kepada RM15 bilion.

Kerajaan MADANI juga mengetengahkan lebih 35 pelan strategik nasional yang dilancarkan sejak 2022, termasuk kerangka Ekonomi MADANI, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) serta Rancangan Malaysia Ke-13 bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Bagaimanapun, Anwar mengakui perjalanan membangunkan negara masih panjang dan menegaskan ukuran sebenar kemajuan bukan semata-mata berdasarkan angka ekonomi, tetapi sejauh mana setiap keluarga menikmati kehidupan lebih baik, pendapatan lebih terjamin dan masa depan anak-anak terus terbela.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kesabaran, teguran, doa dan kepercayaan rakyat sepanjang empat tahun kepimpinannya, selain berikrar mencurahkan segala kemampuan untuk melaksanakan amanah yang diberikan kerana baginya, kepentingan rakyat dan martabat negara mesti terus dipertahankan tanpa mengira siapa yang memegang jawatan Perdana Menteri.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.