Subsidi bersasar: Langkah tidak popular selamatkan ekonomi


 

Pelaksanaan subsidi bersasar khususnya ke atas RON95 dan diesel adalah langkah bertanggungjawab kerajaan menyelamatkan ekonomi negara.



Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar berkata, kerajaan terdahulu sudah berbincang dan mempersetujui pelaksanaanya namun tidak berani melaksanakan dasar yang dianggap tidak popular itu.



"Kerajaan ini kerajaan yang berani untuk menyelamatkan ekonomi negara dan kita akan laksanakan (subsidi bersasar).

"Di mana rakyat merasakan mereka rugi dalam belanja minyak, kita tampung. Ini adalah dasar bertanggungjawab dan inilah reformasi," katanya pada ucapan di Konvensyen 25 Tahun KEADILAN di Pusat Konvensyen Shah Alam (IDCC) Shah Alam pada Ahad.



Sementara itu Anwar yang juga Menteri Kewangan memberi jaminan bahawa rakyat yang terkesan dengan penyasaran subsidi akan dibantu menerusi pemberian tunai bulanan yang kali pertama ditawarkan kepada rakyat berbanding subsidi pukal sebelum ini.

"Kalau (harga minyak) naik, kita bagi suntikan langsung kepada rakyat. (Subsidi digunakan) naik RM100 sebulan, kita bagi RM100, ada masalah ke? nak bantah sebab apa?



"Ini kaedah (pemberian tunai) kita fikir punya lama, puluh tahun dibincang, puluh tahun juga kerajaan (terdahulu) setuju, tapi tak berani dilaksanakan sebab dia takut tak popular," katanya dipetik.



Menurut Anwar lagi polisi subsidi bersasar sangat diperlukan bagi mengelakkan penyeludupan diesel di sempadan negara kerana harga bahan api itu lebih mahal di negara jiran.



Juga sekitar 4 juta pendatang asing mendapat nikmat membeli petrol RON95 bersubsidi.

Untuk rekod, pada 2023 kerajaan membelanjakan kira kira RM10 bilion bagi subsidi diesel.



Dengan pelaksanaan dasar subsidi bersasar dijangka 50% penjimatan boleh didapatkan dan dana berkenaan diguna untuk tujuan meningkatkan kemudahan sosial lainnya.