Pengumuman peruntukan segera
RM80 juta bagi mewujudkan Pusat Jantung Negara di Sabah bukti komitmen dan
keprihatinan kerajaan Persekutuan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji
Noor yang menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
berhubung perkara itu berkata, kewujudan pusat itu akan memastikan kebajikan
rakyat terpelihara sekali gus memperkasa kemudahan kesihatan di negeri itu.
Justeru beliau melahirkan
penghargaan dan berterima kasih kerana Kerajaan Persekutuan amat memahami
keperluan Sabah dan kepentingan rakyatnya.
"Dengan pengumuman ini,
kita (kerajaan Sabah) amat senang hati kerana ini akan memudahkan pesakit
jantung di Sabah, tidak lagi perlu dihantar ke Kuala Lumpur tetapi (rawatan)
hanya boleh dilakukan di Kota Kinabalu.
"Inilah yang kita mahukan
kerana aspek kesihatan cukup penting. Bukan sahaja kesihatan, tetapi juga
pendidikan dan sebagainya.
"Kerajaan Persekutuan amat
memahami dan ini amat kita hargai," katanya dipetik.
Perdana Menteri ketika berucap
pada Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Kebangsaan berkata Pusat
Jantung Negara di Sabah itu bakal menjadi pusat rawatan jantung kedua terbesar
negara selepas Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.
Penubuhan pusat itu berikutan
kapasiti perkhidmatan kardiologi di Sabah yang terbatas sehingga menyebabkan
ramai terpaksa mendapatkan rawatan di luar khususnya di Kuala Lumpur.