PMX TEGASKAN TITAH ADENDUM TIDAK SAH SEBAB TAK DIPUTUS DALAM MESYUARAT LEMBAGA PENGAMPUNAN

 

Meneliti kenyataan PMX sebagaimana dilaporkan Berita Harian, apa yang dapat disimpulkan ialah sebarang keputusan mengenai titah adendum oleh Agong ke-16 berhubung tahanan rumah kepada Najib Razak hanya dianggap sah jika ia diputuskan oleh mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Berikut adalah kenyataan PMX berkaitan titah adendum itu seperti mana dilaporkan oleh Berita Harian:-

[Sebarang keputusan berhubung Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkaitan tahanan di rumah kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mesti diputuskan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak mahu mencampuri urusan berkenaan, biarpun ditohmah dan dilempar dengan pelbagai kritikan kononnya tidak berbuat apa-apa.

“Saya sebutkan, ini menyinggung peranan Lembaga Pengampunan dan wewenang Agong. Itu jawapan bagi saya mengikut perbincangan dengan Peguam Negara dan maklumat dari Sultan dan Agong, itu sebaiknya.

“Kita tak cuba meringankan apa-apa keputusan yang dibuat hakim. Tapi cara kita lakukan itu yang tidak disenangi sesetengah pihak dałam parti sekutu atau sebaliknya, dalam kalangan yang lain di luar.

“Itu bukan kita persoalkan. Tapi pendirian kita tuntas, bahawa keputusan mesti dibuat dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan dan keputusan muktamad (oleh) Agong (mesti juga) dałam mesyuarat Lembaga Pengampunan,” katanya.]

Berita penuh laporan Berita Harian itu di sini – https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1237249/keputusan-titah-adendum-mesti-diputus-dalam-mesyuarat-lembaga

Dalam erti kata lain, berdasarkan kenyataan PMX dalam laporan tersebut, kiranya titah adendum itu tidak diputuskan melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan, maka ia dianggap tidak sah dan tidak boleh dilaksanakan.

Sebagaimana kita sedia maklum, mesyuarat Lembaga Pengampunan sebelum ini bermesyuarat pada 29 Januari 2024 dan titah adendum oleh Agong ke-16 berkaitan tahanan rumah, sebagaimana disebut Zahid Hamidi dalam afidavitnya, juga bertarikh 29 Januari 2024.

Tetapi, dalam kenyataan media Lembaga Pengampunan yang dikeluarkan pada 2 Februari 2024, apa yang dinyatakan hanyalah berkaitan pengurangan hukuman penjara kepada Najib daripada 12 tahun kepada 6 tahun dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Tiada langsung disebut berkenaan tahanan rumah dalam kenyataan media oleh Lembaga Pengampunan pada 2 Februari itu.

Ini memberi gambaran, titah adendum itu tidak diumumkan dalam kenyataan media pada 2 Februari itu kerana ia diangap tidak sah lantaran tidak diputuskan melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan.

Kiranya titah adendum itu diputuskan melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan, sudah tentu ia diumumkan dalam kenyataan media Lembaga Pengampunan pada 2 Februari itu.

Kesimpulannya di sini dan berdasarkan apa yang dinyatakan PMX itu, pihak kerajaan sebenarnya tahu tentang kewujudan titah adendum tersebut.

Jika kerajaan tahu dan telah menyimpulkannya sebagai tidak sah kerana tidak melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan, lalu tidak disebut dalam kenyataan media Lembaga Pengampunan pada 2 Februari itu, bermakna Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi juga berkemungkinan besar tahu berkenaan perkara tersebut.

Sedemikian itu, kiranya sudah diketahui pendirian kerajaan ialah memutuskan titah adendum itu sebagai tidak sah kerana ia tidak diputuskan melalui mesyuarat Lembaga Pengampunan, untuk apa Zahid Hamidi setuju mengemukakan afidavit bagi menyokong semakan kehakiman yang difailkan Najib?

Inikah juga yang menyebabkan PMX, sebagaimana disebut peguam Najib, Shafee Abdullah sebelum ini, tidak memberi sebarang respon balas terhadap pertanyaan yang dikemukakannya melalui surat untuk mengetahui berkenaan kewujudan titah adendum itu?

Soalnya, kenapa selama ini titah adendum itu hanya didiamkan dan kerajaan tidak beterus-terang sebelum Najib memfailkan kes ke mahkamah?

Bukankah jika surat peguam Najib itu dijawab, beliau tidak perlu memfailkan semakan kehakiman di mahkamah dan isu tidak jadi kalut seperti sekarang? – ShahbudinHusin 21/04/2024.