Demi rakyat PMX terus gigih menawan hati pelabur Jerman



 

Oleh: Noraini Nordin



ULASAN BERITA: Jadual yang padat di Jerman memperlihatkan sosok gigih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PMX yang konsisten menjadi 'jurujual' terulung mempromosikan Malaysia kepada pelabur negara tersebut.



Usaha Anwar mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan peneraju-peneraju industri dan perniagaan supaya para pelabur Jerman memilih Malaysia sebagai destinasi pilihan utama mereka membuahkan hasil.



Pastinya satu lagi berita baik yang ditunggu-tunggu oleh Malaysia Madani.



Malaysia telah meraih pelaburan berpotensi bernilai RM45.4 bilion dari Jerman.



Menyusuri lanjut lawatan Anwar di Jerman, sebagaimana biasa dalam semua lawatan rasmi ke luar negara, PMX sentiasa mempunyai aturcara yang padat, terutama bertemu pelabur dan peneraju industri perniagaan.



Tidak terkecuali dalam lawatan ke Jerman ketika ini yang kebetulan diadakan pada bulan puasa, kepadatan jadual beliau dalam konteks tersebut tidak langsung berbeza.



Tujuannya tidak lain untuk memastikan Malaysia terus menjadi tapak pelaburan asing yang sentiasa berkembang dan diminati.



Ketika bertemu rakan sejawatnya, Canselor Olaf Scholz di Berlin, Anwar mengalu-alukan lebih banyak perniagaan Jerman untuk memanfaatkan lokasi Malaysia yang strategik di Asia Tenggara dan infrastrukturnya yang dibangunkan, sebagai destinasi pelaburan pilihan.



"Dalam Kesatuan Eropah (EU), sudah tentu, Jerman adalah rakan dagang terbesar kami dan anda telah melabur jumlah yang cukup besar iaitu hampir AS$15 bilion (RM70.24 bilion)," katanya.



Fokus latihan pelajar



Sehubungan itu, katanya Malaysia berharap kepada kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang.





DS Anwar bersama ketua ketua industri Jerman



Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Malaysia turut berminat untuk memberi fokus terhadap latihan pelajar.



"Kami mempunyai kira-kira 1,000 pelajar di seluruh Jerman untuk menjalani latihan di pelbagai syarikat Jerman sebagai pendedahan awal kepada mereka," katanya.



Ketika menyampaikan ucaptama pada acara SME Future Day 2024 (Mittelstand) khusus untuk kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Anwar secara terbuka mempelawa kalangan firma Jerman serta perniagaan di serata Eropah untuk turut mengambil bahagian, melabur dan menjalin kerjasama dengan Malaysia yang menurutnya sebuah negara dinamik, strategik dan pesat berkembang.



Tawarkan latihan tenaga mahir



Beliau berkata, Malaysia juga menawarkan barisan tenaga kerja mahir, infrastruktur moden, persekitaran kawal selia yang jelas selain potensi pertumbuhan yang besar.




"Kami adalah sebuah ekonomi dinamik yang sesuai dan menepati abad ke-21, malah rakan kongsi yang sempurna untuk kalangan perniagaan Jerman," katanya dalam ucaptama di SME Future Day 2024 dianjurkan oleh Persatuan PKS Jerman (BVMW), menghimpunkan kira-kira 5,000 usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana selain turut disertai oleh wakil kerajaan dan tokoh korporat terkemuka negara itu.



Tidak terkecuali, Anwar juga turut menghadiri mesyuarat meja bulat bersama barisan peneraju industri perniagaan Jerman, selain mesyuarat peribadi dengan pengurusan atasan beberapa syarikat terpilih.



Pertemuan tersebut dihadiri wakil hampir 40 syarikat yang memfokuskan pelbagai bidang termasuklah pembuatan, automotif, angkasa dan farmaseutikal.



Ia termasuk wakil dari Schott AG; Siemens AG; B. Braun; X-Fab Silicon Foundries, Melexis, Volkswagen; Oldenburger Interior; PCC SE; Oryx Stainless; Fresenius; DELO Industries Klebstoffe; Airbus Asia Pacific serta Airbus Malaysia; Infineon Technology, DHL; Bayer AG dan lain-lain.



Pertemuan peribadi dengan Anwar



Antara yang mengadakan pertemuan peribadi bersama Anwar pula termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat semikonduktor mikro-elektrik Melexis, Marc Biron; dan Rudi de Winter yang juga CEO X-FAB Silicon Foundries, syarikat aplikasi semikonduktor analog/campuran isyarat.



Berdasarkan usaha gigih Perdana Menteri itu, nilai pelaburan berpotensi Jerman yang dijangka dibawa masuk adalah bernilai RM45.4 bilion.



Mengesahkan perkara tersebut, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaburan berpotensi itu merangkumi projek baharu serta projek peluasan dan pempelbagaian.



"Pelaburan berpotensi itu daripada pelbagai industri seperti semikonduktor, aeroangkasa, peranti perubatan, kimia dan perkhidmatan," ujarnya.



Ketika berpeluang beramah mesra dan berbuka puasa bersama rakyat Malaysia di Jerman, Anwar memaklumkan, Malaysia menerima pengiktirafan daripada para pemimpin industri dan perniagaan di Jerman dengan pelaburan berpotensi bernilai RM45.4 bilion kerana disokong kestabilan politik yang merupakan elemen penting bagi pelabur.



Anwar seterusnya mengulangi iltizam bersama rakan Jemaah Menteri untuk berkhidmat dengan lebih baik buat rakyat keseluruhannya.

_______________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat