Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan harga
dan bekalan ayam di pasaran kini adalah stabil.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia adalah hasil
pemantauan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) yang dibuat secara
bulanan.
"Bekalan ayam juga pada masa kini adalah stabil dan faktor
ini turut menyumbang kepada kestabilan harga ayam semasa," katanya di
Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH-Bayan
Baru) sama ada harga ayam naik mendadak atau menghadapi kekurangan bekalan di
pasaran selepas pemansuhan subsidi dan kawalan harga.
Dalam pada itu, Mat Sabu berkata, purata harga ayam di ladang yang
direkodkan di seluruh Semenanjung Malaysia pada November 2023, adalah RM5.85
sekilogram dan Disember pula RM6.39 sekilogram.
Manakala Januari 2024 katanya, purata harga ayam adalah RM6.13
sekilogram dan pada Februari 2024 adalah RM6.03 sekilogram.
"Oleh itu, kerajaan berpandangan subsidi serta kawalan harga
bagi telur ayam gred A,B dan C diteruskan dengan menggunakan mekanisme sedia
ada," ujarnya.
Justeru, katanya, sebarang perubahan dasar akan mengambil kira
semua faktor khususnya trend bekalan semasa.
"Kerajaan juga akan sentiasa memantau pengeluaran di
peringkat ladang bagi memastikan bekalan telur mencukupi, khususnya ketika
musim perayaan.
"Kerajaan juga akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi
memastikan bekalan telur di ladang berada dalam keadaan stabil dan tidak
membebankan rakyat," ujarnya lagi.
Pada 30 Oktober tahun lalu, beliau berkata Kementerian Pertanian
dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mengumumkan subsidi dan kawalan harga ayam di
tamatkan sepenuhnya bermula pada 1 November 2023, mengambil kira situasi dan
trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula
stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran pada kadar yang munasabah.
Pada 1 November 2023 lalu kerajaan mengumumkan subsidi dan kawalan
harga ayam dimansuhkan sepenuhnya.
Tindakan itu mengambil kira trend semasa bekalan serta harga
ladang dan kos pengeluaran ayam yang telah stabil, sekali gus menyumbang harga
pasaran pada kadar yang munasabah.