Oleh: Abdullah Zaid
Mahkamah Persekutuan menetapkan 9 Februari ini bagi membacakan
keputusan dua wanita Islam yang mencabar isu Perlembagaan membatalkan 18
peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah I Kelantan 2019.
Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Terengganu, Md Asyraf
Zulfadhly Md Zainudin menggesa semua pihak termasuk Pas bekerjasama memperbaiki
institusi syariah di negara ini, bukannya menyalahkan Kerajaan Persekutuan
semata mata.
Malah cabaran mahkamah berkenaan, katanya, bermula sewaktu
pemerintahan kerajaan PN pada Mei 2022 dan tentunya tidak wajar dipolitikkan.
"Pada pandangan saya kerjasama semua pihak terutamanya Pas
wajar dibuat bagi memastikan tiada jurang dalam perundangan syariah agar tiada
pihak yang boleh mengambil kesempatan.
"Dalam erti kata lain reformasi menyeluruh perlu digerakkan
dalam perundangan syariah, bagi memastikan kepentingan agama dapat
dipelihara," katanya kepada Suara Keadilan.
Jelasnya, sikap menggunakan isu tersebut sebagai modal politik dan
hanya menyalahkan Kerajaan Madani pada ketika ini tidak mungkin boleh
menyelesaikan isu terbabit.
"Apa yang saya nak tegaskan, mempertahankan perundangan
syariah itu perlu dibuat secara bersama.
"Ia bukan soal mahu mempolitikkan isu dan menyelar pemimpin
Kerajaan tetapi sebaliknya kita semua mesti bertindak perkukuhkan lagi
institusi syariah agar lebih efektif," katanya.
Sebelum ini, Nik Elin Zurina dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha
mengemukakan cabaran cabaran Perlembagaan berhubung 20 peruntukan kesalahan
dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1).
Dakwa mereka 20 peruntukan yang terkandung dalam Enakmen Kanun
Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 adalah tidak sah kerana terdapat
undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan yang sama.
Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang
melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN
hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.
Justeru, kedua-duanya mahu pihak mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan
tersebut batal dan tidak sah.
Pas Kelantan pula pada 1 Februari lalu mengarahkan 45 DUN di
negeri itu menyediakan sebuah bas bagi setiap DUN untuk mengangkut penyokong
berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman di Putrajaya pada 9 Februari ini,
tarikh hakim akan membacakan keputusan cabaran undang undang berkenaan.