Di sebalik Zahid Hamidi telah cuba melakukan
macam-macam perkara untuk terus memperjuangan pengampunan penuh bagi Najib
Razak, penyokong-penyokong bekas Perdana Menteri itu nampaknya masih “berbulu
hati” terhadap Presiden UMNO itu.
Selain dikatakan ada penyokong kuat Najib
tidak menghadirkan diri dalam mesyuarat khas MT UMNO pada pagi Sabtu, sejumlah
Ketua Bahagian pula dilihat semacam memboikot program taklimat tertutup yang
diadakan petang Ahad lalu.
Menurut laporan, daripada 191 Ketua Bahagian
yang masih hidup dan segar bernafas dalam UMNO ketika ini, hanya 145 orang saja
yang menghadirkan diri dalam taklimat tersebut.
Ini bermakna, seramai 46 Ketua UMNO Bahagian
tidak hadir dengan sebahagian besarnya adalah penyokong-penyokong Najib.
Selain ada yang memberi alasan tidak berminat
untuk hadir, ada juga yang berbuat demikian kerana kecewa dengan keputusan
Lembaga Pengampunan.
Dalam perbualan antara Ketua Bahagian Bahagian
UMNO dengan beberapa kenalan mereka, luahan kecewa itu bukanlah disebabkan
mereka membantah keputusan Lembaga Pengampunan itu, malah mula bertukar kepada
rasa marah.
Mereka kecewa dan marah kerana percaya UMNO,
khususnya Zahid Hamidi, tidak memberi tekanan yang cukup kuat kepada kerajaan
dan Perdana Menteri untuk memastikan Najib diberi pengampunan penuh.
Difahamkan ada yang berkata, kalau untuk
dirinya sehingga beroleh DNAA dalam kes mahkamah yang sedang dihadapinya,
sepatutnya Zahid Hamidi berbuat seribu daya juga untuk memperjuangkan
pengampunan penuh buat Najib.
Dalam hal yang dilihat mungkin berkaitan,
seorang ahli MT UMNO, Dr Puad Zarkashi berkata, parti itu tidak mungkin boleh
“move on” jika pemimpinnya hanya mementingan diri sendiri saja.
Kata beliau, UMNO sememangnya wajib “move on”,
namun tidak boleh mengabaikan pandangan ataupun perasaan akar umbi parti.
“Tetapi UMNO tidak boleh “move on” jika
pemimpin pentingkan dirinya. Asalkan dia selamat dan tidak diganggu.
“Sebab itu jangan pandang ringan perasaan akar
umbi. Jika mereka berkecil hati dan membuat protes senyap, parti tidak boleh “move
on.
“UMNO tidak perlu pemimpin raja formula.
Formula hanya untuk dia sahaja yang bangkit tetapi bukan untuk partinya yang
bangkit,” ujar beliau dalam catatan di media sosialnya.
Sebagai penyokong kuat Najib, apakah tulisan
Dr Puad itu mewakili rasa kecewa penyokong-penyokong Bossku terhadap Zahid
Hamidi?
Persoalan kini, ke manakah sudahnya akan
berlabuh kemarahan penyokong-penyokong Najib itu?
Di waktu yang sama, Zahid Hamidi lewat petang
semalam menggesa parti-parti dalam kerajaan agar menegur anggota masing-masing
yang mengkritik keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Najib.
Bahkan, beliau melabelkan mereka itu sebagai
“kacang hantu”.
Mengakui dalam UMNO sendiri turut ada “kacang
hantu”, Zahid Hamidi berkata, selain ketua parti perlu membuat teguran, ahli
parti yang berkenaan juga perlu menarik balik tulisan mereka dan seterusnya
mohon maaf atas keterlanjuran yang telah dilakukan.
“Saya harap perkara ini dapat meredakan
keadaan”, ujar Zahid Hamidi.
Bolehkah Zahid Hamidi sebutkan siapa “kacang
hantu” dalam UMNO itu apakah gelaran tersebut ditujukan khusus kepada
penyokong-penyokong Najib? – ShahbudinHusin 06/02/2024.