Anak Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Nik Abduh semalam mengumumkan beliau mahu berpuasa daripada politik untuk satu tempoh yang tidak ditetapkan.
Kata Nik Abduh, apa yang sedang dihadapi sekarang merupakan detik yang paling sukar dalam kehidupan dirinya dan keluarga.
“Saya puasa dan berehat daripada politik tanah air untuk satu tempoh. Ia tempoh paling sukar untuk saya dan bonda,” katanya dalam hantaran di media sosial miliknya.
Walaupun tidak menyebut sebab mengapa keputusan berpuasa itu diambilnya, tetapi tidaklah sukar menyelami bahawa ini adalah berikutan namanya tidak tersenarai sebagai calon dalam PRN Kelantan yang kempennya sedang berjalan sekarang ini.
Selepas digugurkan pada PRU15 lalu dan tempatnya di Parlimen Bachok diambil alih oleh Syahir Sulaiman, Setiausaha Politik kepada Hadi Awang, barangkali harapan Nik Abduh di PRN inilah tersedia tempat ganti untuknya.
Berikutan tidak tersenarai itu, bapa saudara Nik Abduh iaitu Nik Din Nik Mat lantas mendakwa, semua ini adalah perancangan Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan.
Dakwanya, Hadi Awang telah bersetuju untuk meletakkan Nik Abduh sebagai calon, tetapi Mohd Amar yang tidak memasukkan nama anak saudaranya itu.
Lantas itu, melalui sebuah video, Nik Din menyeru agar Mohd Amar dikalahkan pada PRN 12 Ogos ini.
Sementara Mohd Amar menafikan penglibatannya dalam mengenepikan Nik Abduh dan menganggap segala tuduhan Nik Din itu adalah fitnah terhadapnya, persoalan lain ialah mengapa Hadi Awang tidak berusaha menyenaraikan semula anak Tok Guru Nik Aziz itu sebagai calon setelah diketahui namanya diketepikan?
Bukankah pemgumuman calon Pas Kelantan diadakan dua hari sebelum hari penamaan calon?
Menukar calon setelah majlis pengumuman adalah perkara biasa dan banyak parti telah selalu melakukannya.
Bahkan dalam PRN kali ini pun ada juga beberapa parti menukar nama calon mereka pada saat-saat akhir srbelum hari penamaan calon.
Tidak mustahilkah sebenarnya, entah-entah Hadi Awang juga mungkin tidak berapa berkenan dengan Nik Abduh dijadikan calon?
Apa pun, kepada Nik Abduh yang tinggi ilmu agamanya, anggap sajalah tidak dicalonkan ini sebagai suratan tiada rezeki untuknya daripada Tuhan Yang Maha Esa.
Terlepas jadi calon dan terlepas rezeki adalah kejadian lumrah yang berlaku tiap-tiap hari dalam kehidupan manusia kerana ia adalah rahsia Tuhan ybg tidak berbaloi untuk kita pening-pening kepala memikirkannya.
Yang penting, terus berusaha adalah perkara yang seharusnya kekal menjadi milik kita sepanjang kehidupan ini.
Dalam perjuangan, tiada ada istilah berpuasa, rehat seketika atau tidak mahu berusaha lagi selepas terlepas sesuatu rezeki.
Apabila Nik Abduh mengambil keputussn untuk bepuasa untuk sstu tempoh yang tidak dinyatakan, lebih-lebih lagi apabila difahami sebabnya keputusan tersebut diambil adalah kerana tidak terpilih sebagai calon, ia dengan sendirinya memperlihatkan beliau tidak nemiliki jiwa yang kental dalam perjuangan.
Tidak keterlaluan, Nik Abduh sebetulnya bukan orang perjuangan berdasarkan keputusan diambilnya ini.
Orang perjuangan, jangankan tidak terpilih sebagai calon, dalam penjara pun jiwa mereka untuk terus berjuang tetap bergelora.
Buat Nik Abduh – daripada berpuasa, lebih baiklah terus saja bersara!! – ShahbudinHusin 01/08/2023.