Projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang dianggap penting oleh Kerajaan PN Kedah belum tentu dianggap keperluan utama rakyat di negeri itu.
Pengerusi Pakatan Harapan Kedah, Datuk Mahfuz Omar sebaliknya
berkata, langkah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan projek
pengairan moden bagi membolehkan petani menanam padi 5 kali dalam 2 tahun lebih
praktikal buat majoriti penduduk.
Malah, katanya, projek KXP yang dicanang Menteri Besar Datuk Seri
Sanusi Md Nor tidak mempunyai pembiaya atau pihak swasta yang sanggup
menyediakan dana buat masa ini.
"Ini menunjukkan mereka tidak mempunyai perancangan yang
rapi. Mereka hanya membina (KXP) atas sentimen nak bina naratif kononnya
Kerajaan Persekutuan tidak memberi kerjasama kepada usaha dilakukan mereka.
"Saya tak nampak bagaimana kita boleh mendukung sebuah
Kerajaan Negeri yang tidak memunyai idea cukup lengkap nak memacu (ekonomi) negeri.
Adakah KXP diperlukan atau pun sistem pengairan padi yang perlu dibaiki?
"Sebab itu Datuk Seri Anwar lebih melihat kepada persoalan
realiti. Realiti di Kedah ialah pengairan untuk padi. Sebab negeri ini jelapang
makanan negara," katanya kepada Suara Keadilan.
Mahfuz melawat penduduk kurang sihat dalam kempen
Tegas Mahfuz, dua idea tersebut perlu dibezakan oleh pengundi
menjelang 12 Ogos ini. Mana satukah akan memberi lebih keuntungan kepada
mereka, sama ada meningkatkan hasil padi atau projek lapangan terbang yang
belum tentu mereka boleh bekerja dalam sektor terbabit.
"45% padi untuk dijadikan beras dalam negara kita datang dari
negeri Kedah. Jadi kalau tak dijaga yang ini, dia akan merosot.
"Oleh itu kita nak upgradekan hasil padi Kedah untuk
memastikan keterjaminan makanan. Ini kita nampak perbezaan antara Datuk Seri
Anwar dengan Sanusi yang dok tekan soal KXP.
"Orang sini (kampung) pun tak fikir (lapangan terbang). Orang
sini fikir saliran, di sesetengah tempat dah berapa musim tak boleh buat padi
(akibat masalah pengairan).
"Yang ini Datuk Seri Anwar berpijak di bumi nyata,"
katanya.
Menurut Calon DUN Alor Mengkudu itu lagi, dengan peruntukan RM3
bilion daripada Kerajaan Persekutuan maka sistem pengairan sawah di Kedah akan
sama moden dengan di Sekinchan, Selangor yang mempelopori penanaman padi 5 musim
dua tahun.
Malah kawasan bendang yang bermasalah di Alor Mengkudu sejak
sekian lama, katanya, boleh diusahakan semula asalkan Kerajaan Negeri dan
Persekutuan diperintah oleh parti yang sama bagi memudahkan urusan mendapat
peruntukan.
"Di Alor Mengkudu ada dua tempat (bendang bermasalah), di
Titi Liverpool dan Titi Gerigih. Di Titi Liverpool (jambatan) perlu diangkat
jadi lebih tinggi untuk saliran air. Jambatan rendah menyebabkan keadaan sawah
tenggelam dengan laluan air, tersangkut dengan pokok pokok yang tumbuh
terapung.
"Isu itu saya jumpa MADA, melawat dengan bot dan MADA dulu
luluskan peruntukan RM500,000 tetapi tak cukup dan projek tidak diteruskan,
jadi hal ini kita perlu angkat semula.
"(Sekarang) tidak ada masalah, Menteri Pertanian Datuk Seri
Mohamad Sabu (satu parti), jadi saya rasa lebih mudah untuk mengatasi masalah
dihadapi oleh petani di sini," katanya lagi.