Ahli Parlimen pembangkang seharusnya memainkan peranan semak dan
imbang Belanjawan Madani 2023.
Namun perbahasan Presiden Pas, Hj Hadi Awang semalam meleset
daripada tujuan sebenar kewujudan pembangkang di Dewan Rakyat.
Bagi KEADILAN Cabang Kemaman, pemimpin Pas itu langsung tidak
menunjukkann kualiti perbahasan sebagai pembangkang yang berwibawa apabila
hanya menimbulkan isu 'menjatuhkan' Kerajaan Perpaduan dalam sesi bahas.
"KEADILAN Kemaman menyelar ucapan Presiden Pas Tan Sri Abdul
Hadi Awang ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat
semalam.
Menurut Presiden Pas itu, Kerajaan sekarang tidak patut
menyalahkan pihak pembangkang jika tumbang oleh kerana (kerajaan berada dalam
keadaan) atap bocor dan dindingnya pecah.
"Ucapan ini jelas membuktikan Presiden Pas sebenarnya tidak
layak untuk berada di Dewan Rakyat kerana ucapan ini jelas berbentuk ancaman
serta provokasi terhadap Kerajaan memerintah," kata Biro Penerangan dan
KEADILAN Kemaman dalam kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, ruang perbahasan Rang Undang-undang
Perbekalan seharusnya digunakan sebagai ruang menambah baik Belanjawan 2023.
Malangnya, Hj Hadi terlepas peluang mencadangkan pembaikan atau
kritikan dalam dewan.
"Yang ada hanyalah tuduhan melulu dan persepsi buruk yang
dicipta untuk memburukkan Kerajaan Perpaduan.
"Ini sekali lagi membuktikan bahawa pembangkang sebenarnya
tidak layak untuk mentadbir negara. Mereka hanya pandai berselindung di sebalik
sentimen agama dan bangsa, namun tidak ada satu hala tuju yang jelas untuk
mentadbir negara dengan lebih baik," ujar kenyataan itu lagi.