Kerajaan Perpaduan bertindak pantas untuk menyambut kemakmuran
ekonomi dan pelaburan berikutan pembukaan ibu negara baharu Indonesia,
Nusantara di Borneo.
Menurut Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli (PH - Pandan),
peruntukan lebih RM10 bilion untuk dua negeri dan tambahan RM1 bilion yang
dijanjikan dalam Belanjawan 2023 baru baru ini bakal menyediakan kemudahan
terbaik di pintu sempadan Malaysia - Indonesia serta kemudahan jalan raya ke
pekan pekan terdekat Sabah dan Sarawak dalam menyambut kemakmuran ekonomi
Indonesia yang diharap menyediakan limpahan pelaburan.
"Kerajaan (dalam hal ini) mengambil maklum perancangan
kerajaan Indonesia untuk menubuhkan ibu kota baharu Nusantara di Kalimantan
Timur, Indonesia dan kerajaan percaya bahawa pembangunan ibu kota baharu itu
bukan sahaja mengeratkan pembangunan kedua negara tetapi merancakkan ekonomi di
kedua dua belah pihak, khususnya di Sabah dan Sarawak.
"Dengan tujuan tersebut, ada dua aspek diberi penekanan,
pertama untuk memastikan ketersambungan insfrastruktur dan juga memperkukuhkan
keselamatan sempadan serta maritim, untuk memastikan kita mendapat limpahan
yang sama dari pembanguna ibu kota Nusantara itu
"Selain RM5.8 bilion peruntukan untuk 1,142 projek yang
sedang berjalan di Sabah mengikut rolling plan 2 bagi tahun 2023 ini kerajaan
telah menyemak semula dan mengemaskini keperluan projek pembangunan di Sabah,
memastikan aspek insfrastruktur dan keselamatan.
"Ini ekoran dari beberapa siri mesyuarat pertama di antara
Yang Amat Berhormat Tambun dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo, seterusnya
beberapa keputusan dibuat di Mesyuarat Majlis Tindakan Perlaksanan Perjanjian
Malaysia 1963,.
"Ekoran pengumuman PM peruntukan tambahan RM1 bilion untuk
insfrastruktur sempadan pula, projek ini sedang dimuktamadkan dan dibawa RP
4," kata Rafizi menjawab soalan Ahli Parlimen Datuk Andi Mohamad Suryady
Bandy (PH - Kalabakan).
Menurut beliau, keutamaan diberikan untuk membina kompleks kastam,
imigresen dan kuarantin di Kalabakan dengan kos keseluruhan RM819 juta dan
rundingan masih berjalan antara Kementerian Ekonomi dan Kementerian Dalam
Negeri untuk projek berkenaan.
Begitu juga, katanya, pos sempadan di Long Pasia melibatkan kos
projek RM25 juta, pos keselamatan dinaiktaraf PGA Pagar Lugas, pos di Tawau
dengan kos RM5 juta dan pembinaan 27 landing pad.
"Dengan perancangan projek begini dan tambahan diumumkan,
kita berharap dengan prasarana disediakan. Kita juga berharap limpahan ekonomi
itu akan memberi manafaat kepada penduduk di sepanjang sempadan bila Nusantara
itu beroperasi kelak," kata Rafizi lagi.