Royalti petroleum: Kerajaan PN tidak bayar, Kelantan tidak bantah - Dr Agus






Serangan ditujukan kepada Kerajaan Perpaduan kononnya menyekat royalti petroleum di negeri Melayu khususnya Kelantan dan Terengganu dalam Belanjawan 2023 sangat tidak tepat.



Bagi Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dr Mohammad Agus Yusoff, serangan tersebut sengaja memesongkan pemahaman rakyat daripada fakta yang sebenar.



Katanya sepanjang tuntutan royalti petroleum dari Kelantan ke atas Kerajaan Persekutuan, termasuk saman di mahkamah, istilah royalti masih belum berjaya dikenakan secara rasmi merujuk kepada 'hasil minyak di kedua dua negeri'.



Menurut Agus lagi, bagi kes Kelantan, pada 2019 semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH), kerajaan negeri telah menarik balik saman mahkamah setelah kerajaan pusat membayar Kelantan RM400 juta dalam apa yang dikenali sebagai bayaran "sekali sahaja".



Bagaimanapun katanya, ketika Perikatan Nasional (PN) memerintah Menteri Kewangan gabungan itu Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sendiri menegaskan di Dewan Rakyat bahawa Petronas tidak akan membayar royalti kepada mana-mana negeri di Semenanjung kerana kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri masing-masing.



"Zafrul membuat kenyataan ini berdasarkan kepada peruntukan Akta Laut Wilayah 2012 yang menetapkan negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika dari pesisir pantai sahaja.



"Semasa kerajaan PN juga, Menteri Undang-Undang Datuk Seri Takiyuddin Hassan tidak membawa Akta Wilayah Laut 2012 ke Parlimen untuk dimansuhkan dan tidak juga membayar royalti kepada Kelantan dan Terengganu, hanya sekadar wang ehsan sahaja.



"Menariknya, Kerajaan Negeri tidak bising dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada waktu ini mereka berada dalam kerajaan Keluarga Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.



Tambah Dr Agus, menjadi masalah apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said menegaskan hal tersebut di Dewan Rakyat pada 24 Februari 2023, bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima royalti tunai.



Kenyataan itu digunakan pihak pembangkang untuk menuduh Kerajaan Perpaduan menganiaya orang Melayu, sedangkan keputusan berkenaan adalah selari dengan amalan pada era pemerintahan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi PM.



Hal itu, katanya, menimbulkan persoalan seluas manakah hak perairan kerajaan negeri ke atas medan petroleum? Sejauh manakah peruntukan Perlembagaan berkaitan hak negeri ke atas galian yang ditemui di kawasan mereka? Salahkah tindakan kerajaan perpaduan menafikan hak negeri Kelantan dan Terengganu ke atas royalti petroleum atau sejauh manakah penafian berkenaan bertentangan dengan prinsip federalisme?



"Pertanyaan ini sukar dijawab kerana pihak yang layak mengesahkan kedudukannya ialah mahkamah. Isunya ialah mengapakah kerajaan negeri menarik balik samannya pada tahun 2019?



"Dengan latar ini, wajarkah pihak oposisi menyatakan Kerajaan Perpaduan menafikan hak orang Melayu hanya kerana menolak membayar royalti petroleum kepada dua negeri Melayu ini?



"Jawapannya tentulah tidak wajar kerana tindakan Kerajaan Perpaduan tidak mencabul keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya.



Justeru, tegas mantan profesor di UKM itu, selagi tindakan Kerajaan Perpaduan mengikut lunas undang-undang maka tidak bermakna Kerajaan Perpaduan menganiaya orang Melayu Kelantan dan Terengganu.



"Nasihat saya kepada pihak pembangkang janganlah terus meniupkan sentimen perkauman untuk menentang sesuatu keputusan kerajaan yang mereka tidak bersetuju kerana ini boleh mengancam keharmonian hubungan kaum sesama kita.



"Dalam kes royalti petroleum, gunalah saluran undang-undang dan lain-lain tindakan diplomasi supaya kita dapat sama-sama mengangkat Malaysia Madani bagi mewujudkan negara yang stabil, makmur dan bahagia," katanya lagi.