HADI NI NAK KELENTONG LAGI ATAU MANA SATU YANG BETUL..ZAHID KATA HADI YANG KELUPOQ KIOK NAK JUMPA DIA.....

 

Zahid minta nak jumpa saya tapi dekat media kata saya nak jumpa dia: Hadi

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutarbelit fakta berhubung pertemuan sebelum ini dengan mengatakan kononnya beliau yang meminta untuk berjumpa.

Hadi mendedahkan Presiden UMNO itu yang sebenarnya meminta untuk berjumpa dengan beliau bagi membincangkan berhubung bentuk kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bagaimanapun sebaliknya memberitahu media perkara yang tidak benar.

“Yang mutakhir dia jemput saya jumpa. Bukan saya jemput dia. Dia jemput saya jumpa.

“Dia sebut dalam media, saya minta nak jumpa dia… Terbalik, tapi tak apalah kita pergi,” katanya semasa Himpunan Penyatuan Ummah yang diadakan di Kelantan malam tadi.

Untuk rekod, ia bukan kali pertama Zahid memutarbelitkan cerita, malah sebelum ini pernah kantoi dalam satu klip audio rakaman perbualan dengan cikgunya yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zahid pada awalnya menafikan rakaman tersebut palsu tetapi Anwar sebaliknya mengakui berhubung perbualan dalam klip audio tersebut yang merancang untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Semasa pertemuan dengan Zahid tersebut, Hadi berkata Zahid memberinya kata dua sama ada memilih kerjasama dengan UMNO atau Bersatu, malah memberi tempoh beberapa hari kepada parti Islam itu untuk membuat keputusan.

“Bila pergi jumpa, dia beri syarat. Kalau nak masuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), mesti putus dengan Bersatu. Dia (Zahid) panggil hari Rabu, dia beri tempoh sehingga hari Jumaat pukul 12 malam. Ooh sedap, dia nak ajar kita PAS.

“kita bincang-bincang takkan kita nak berpisah dengan Bersatu rakan kita yang pertama kita ajak. Sebab itu kita ajak, kita sama-sama perpaduan ummah mesti melibatkan semua bukan PAS dengan UMNO saja,” katanya lagi.

Selepas membuat pertimbangan susulan syarat diletak UMNO, Hadi berkata PAS memilih untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu bersama-sama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan menolak Barisan Nasional (BN) serta Pakatan Harapan (PH).

“Kalau PAS dengan UMNO sahaja bukan perpaduan ummah kerana ia mesti melibatkan semua.

“Akhirnya kita ambil keputusan, ringkas ceritanya kita tolak PH kita tolak BN kita bersama dengan Bersatu dengan rakan-rakan parti lain,” katanya lagi.

Hadi menjelaskan langkah menolak PH disebabkan terdapat parti dalam gabungan itu yang menolak Islam secara terang-terangan dan mahu Malaysia menjadi sebuah negara sekular dan liberal.

Sementara BN pula, Hadi menyifatkan UMNO masih terdapat pemimpinnya yang terpalit dengan kes rasuah dan masih tidak insaf.