Anwar beralih ke Tambun kuatkan PH sebelah Utara
Keputusan mengejut Pengerusi Pakatan Harapan dan bakal Perdana Menteri ke 10, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Parlimen Tambun sebagaimana diumumkan semalam dibuat bagi melonjakkan momentum sokongan di sebelah Utara Semenanjung Malaysia.
Hal itu dinyatakan oleh Anwar kepada wartawan usai Konvensyen Pakatan Harapan di Ipoh malam tadi.
“Pertama (Tambun) bukan kerusi PH (dipertahankan). Keduanya saya rasa bertanggungjawab untuk melonjakkan gerakan di Utara termasuk di Perak dan di selatan Kedah terutamanya.
Tentunya ini meneruskan pencapaian di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor,” katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi, Presiden KEADILAN itu mengesahkan hal yang dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa pembahagian kerusi di peringkat PH telah selesai. Rundingan seterusnya hanya dengan beberapa parti yang akan membentuk pakatan pilihan raya bersama PH.
“Pembahagian kerusi PH selesai, tengah runding electoral pact, Muda, PSM dan lain lain. Kita tangguh pengumuman itu.
“PH terutama DAP, Amanah, KEADILAN selesai,” katanya.
Anwar juga membayangkan parti parti sekutu akan menggunakan logo PH dalam PRU 15 bagi memaksimumkan impak menghadapi BN – PN.
“Terpulang kepada mereka, tawaran kita gunakan logo PH,” katanya lagi.