Pasca pelantikan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri
Yaakob, Pakatan Harapan (PH) sewajarnya tidak perlu lagi melayan politik
picisan pergolakan dalam kerajaan BN-Perikatan Nasional.
Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul
Karim, kerja utama PH adalah mengukuhkan gabungan dan merancang strategi
menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 yang tidak sampai dua tahun daripada
sekarang.
"Blok pembangkang, khususnya PH tidak perlu jadi budak nakal
di dalam Parlimen ataupun di luar mengganggu dan menggugat tak tentu hala PM
yang baru dilantik ini.
"Biarkan Ismail Sabri menguruskan pentadbiran negara. Jika
Ismail Sabri menghadapi asakan atau diganyang oleh saingan politiknya dari
Bersatu atau lain-lain parti dalam payung besar PN-BN, ambil sikap, itu urusan
dalam klik pemerintah sekarang. Kalau cerita penglipur lara di sebut, “ Biarkan
si Luncai, terjun dengan labu-labunya.”
"Jadi apa yang PH perlu lakukan sekarang selepas terlepas
peluang untuk kembali jadi kerajaan? Jawapannya mudah. Tumpukan segala tenaga
dan fikiran kepada PRU ke-15 yang akan datang dalam tempoh tak sampai dua tahun
lagi," katanya dalam satu kenyataan.
Tegas Hassan, dalam memperkukuh gabungan pembangkang tidak wajar
timbul suara-suara yang mempertikaikan kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim
Menurut beliau, pembangkang perlu sedar mereka hanya kekurangan 6
Ahli Parlimen untuk berjaya membentuk kerajaan minggu lalu dan jumlah tersebut
bukanlah sesuatu yang sukar untuk diperolehi dalam PRU ke 15.
"Dalam hal ini jangan campak Anwar ke bawah bas selepas gagal
persaingan PM ke-9. PH amat memerlukannya untuk menjadi komander dalam
menghadapi PRU akan datang.
"Lupakanlah segala syor dan cadangan supaya Anwar terlibat
dalam kerajaan perpaduan ataupun kerjasama bi-partisan. Kalau PH yang memimpin
kerajaan, mungkin idea kerajaan perpaduan atau kerjasama bi-partisan itu masuk
akal dan berfaedah. Tetapi kalau PH ibarat melukut di tepi gantang, yang tak
dijemput, tak diundang, jangan sampai hidung tak mancung pipi tersorong-sorong.
"PH bukan satu jenama yang koyak dan kalah. PH adalah jenama
politik untuk masa depan. Harapan hanya kurang 6 undi sokongan untuk
mendapatkan majoriti membentuk Kerajaan Persekutuan. Itu tak susah diperolehi
di dalam PRU akan datang," katanya.
Mengakui beliau beberapa kali pernah berbeza pendapat dengan Pengerusi
PH, Datuk Seri Anwar dan pernah tidak mengikuti arahan Ketua Pembangkang di
Dewan Rakyat, namun katanya beliau tidak sampai ke tahap sanggup meminta Anwar
berundur daripada memimpin PH.
"Dalam keadaan sekarang, minta maaf saya cakap, janganlah ada
kawan-kawan dalam PH yang suruh Anwar letak jawatan. Saya dengar ada cadangan
minta PH pilih pemimpin lain. Mereka berhujah kononnya, Anwar sudah tak
diperlukan lagi. Ini semua “nonsense”. Cakap-cakap seperti itu datang dari Deep
State, dari musuh yang memang hendak menghancurkan PH dan Anwar Ibrahim
terutamanya.
"Anwar sudah jadi Perdana Menteri hari ini jika dia tunduk
terhadap tututan Kluster Mahkamah dari Umno. Anwar tidak berkompromi. “Rule of
law” atau kedaulatan undang-undang mesti dipelihara, dijunjung dan dihormati.
Perjalanan proses keadilan tidak boleh dicemar. Itu sikap Anwar. Apa yang Anwar
buat itu betul. Dalam keadaan krisis rebut kuasa, Anwar lulus dalam ujian. Dia
tidak gila kuasa, tetap mempertahankan idealisme reformasi yang diketuainya lebih
23 tahun lalu, bukannya kilauan jawatan dan keberahian kuasa Perdana Menteri
diutamakan. Anwar memilih kepentingan rakyat dan negara pada jangka panjang
"Anwar juga sudah ada di Pejabat PM hari ini kalau dia
menanggih sedekah dari GPS di Sarawak dan tunduk terhadap tekanan dengan
berjanji jawatan itu dan ini. Anwar tidak tergoda untuk meraih sokongan seperti
pengemis politik. Pengerusi PH dan Presiden KEADILAN ini ada maruah, ada
integriti. Dia tetap tenang dan tawakal," katanya.
Hassan mengingatkan rakan sekutu mengenai peristiwa terpenjaranya
Anwar buat kali kedua akibat fitnah pada 2015 yang menyebabkan Pakatan Rakyat
ketika itu dengan mudah dihancurkan oleh BN secara memujuk Pas menginggalkan
gabungan.
Katanya, akaibat yang samaakan berlaku jika Anwar disingkirkan
kali ini
"Usah Anwar cuba dipinggirkan. Bayangkan senario yang pernah
terjadi. Selepas PRU-13, Anwar dihumban oleh regim Umno-BN Najib ke penjara.
Pakatan Rakyat pecah dan hancur.
"Jangan lupa, orang yang bernama Anwar inilah yang bangun dan
muncul kembali dari dalam penjara membina semula perpaduan parti-parti
pembangkang sehingga PH berjaya menumbangkan Umno-BN dan Najib dalam PRU Mei
2018 lalu.
"Jadi kepada Anwar, saya berharap supaya tenang dan fokus.
Ini tugas sejarah anda untuk memimpin rakyat menghadapi PRU ke-15 akan datang
supaya kita dapatkan semula mandat rakyat dan bangunkan sebuah negara moden
yang progresif, yang adil dan demokratik.
"Sebuah kerajaan rakyat untuk rakyat, semua kamu dan agama
dengan berasaskan dasar keadilan untuk semua," katanya lagi.