Lawatan PM 9 ke Yan adakah gimik memperkenalkan diri, bakal menteri kabinet?

 

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia mempersoalkan lawatan ke kawasan bencana 'kepala air' di Yan yang dilakukan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam bersama sebarisan 'pasukan baharu' beliau.

Menurut Ketua AMK Malaysia, Akmal Nasir, lawatan tersebut mendapat pelabagi reaksi di media sosial dan tidak kurang yang mempertikaikan isu-isu berbangkit, seperti rombongan PM tiada penjarakan sosial serta situasi seolah-olah melobi jawatan di dalam jet eksekutif.

"AMK mempersoalkan tindakan Datuk Seri Ismail, PM dan gerombolan yang dilihat seperti tidak ada perasaan empati dan simpati ketika lawatan ke Kedah yang terjejas akibat banjir lumpur baru-baru ini.

"Sementara kita hargai peruntukan yang disalurkan bagi membaiki kerosakan dan membantu mangsa-mangsa banjir, lawatan beliau semalam seolah-olah tidak memahami derita dan kesengsaraan mangsa-mangsa bencana.

"Adakah benar seperti gambar tular menunjukkan terdapat sekumpulan Ahli-ahli Parlimen Umno seperti YB Pasir Salak, YB Padang Terap, YB Kuala Krau, YB Rompin, YB Lipis dan YB Jempol yang menaiki pesawat eksekutif bersama Perdana Menteri?



Menikmati hidangan dalam jet eksekutif PM

"Tidak hairan terdapat pandangan netizen di laman media sosial menganggap ini sebagai lawatan sambil belajar yang merugikan tanpa menghiraukan kesukaran rakyat.

"Juga terdapat satu rakaman video yang menunjukkan PM dan kumpulannya gagal mematuhi SOP terutamanya penjarakkan fizikal dengan kehadiran yang sangat ramai, malah rombangan kenderaan dikatakan pula melebihi 50 buah kereta?" katanya.

Tambah Akmal, ketidakpatuhan Prosedur Operasi Piawai (SOP) oleh rombongan Ismail mencemar namanya kerana sebelum ini beliau adalah menteri yang mengumumkan SOP dan tindakan kepada sesiapa yang melanggarnya.

"Apakah ini contoh yang baik daripada seorang PM yang sebelum ini ditugas menyediakan serta mengumumkan SOP bagi mengekang penularan wabak Covid-19?

"Selain itu, apakah keperluan didirikan billboard besar yang tertera ayat "selamat datang dan tahniah Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai PM Malaysia Ke-9" di tengah-tengah kawasan bencana?

"Adakah ini program ‘gimik’ untuk beliau memperkenalkan diri kepada mangsa bencana yang masih menanggung musibah bahawa beliau adalah PM Malaysia yang baharu?" tanya Akmal lagi.

Tegas Akmal, Ismail perlu menunjukkan sikap lebih bersederhana berbanding Mahiaddin Yassin yang dikritik hebat sebelumnya.

Bukan meneruskan tradisi kepimpinan Umno-BN sebelum ini yang terkenal bermewah-mewah dalam lawatan singkat menjengok kehidupan rakyat.

Akmal berharap, semoga PM baharu berlapang dana menerima teguran anak muda dan menumpukan fokus kepada permasalahan wabak Covid-19 dan suasana ekonomi yang semakin meruncing.