KEADILAN Sarawak yakin akan
berjaya menembusi beberapa DUN yang disasarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN)
dengan manifesto yang betul dan pro rakyat.
Pemimpin KEADILAN Sarawak, Piee
Ling atau dikenali sebagai Cikgu Piee berkata, persediaan KEADILAN yang rapi
kerana PRN ditangguhkan sepanjang tempoh darurat memudahkan calon-calon
menerangkan hala tuju dan tawaran yang akan dinikmati oleh pengundi sekiranya
mereka memilih kerajaan baharu pada kali ini.
"Saya percaya daripada 47
DUN yang kita bertanding, kita akan menembusi beberapa DUN yang menjadi sasaran
kita.
"Persiapan yang ada ini
akan membolehkan bakal bakal calon nanti mengetengahkan apakah agenda bakal
calon KEADILAN untuk rakyat Sarawak.
"Kita perhatikan Sarawak
negeri yang kaya raya. Kaya hasil bumi, kayu kayan, minyak dan gas.
"Namun kekayaan itu tidak
dinikmati oleh keseluruhan penduduk negeri. Cuma kroni, pemimpin tertentu yang
kaya melampau. Sedangkan gaji mereka itu tidak seberapa.
"Jadi inilah antara faktor
menyebabkan Sarawak itu mundur, terkebelakang dari negeri lain. Diberi
peruntukan namun ianya dimasukkan dalam satu tabung. Kalau dulu kita ada Ketua
Menteri dengan motonya politik pembangunan. Lebih 20 tahun tak bangun bangun
Sarawak. Sedangkan bajet kerajaan pusat, hasil negeri Sarawak begitu
banyak," katanya dalam dialog dari "Bumi Kenyalang: makmur Bersama
KEADILAN," semalam.
Tambah Cikgu Piee berkata, dana
yang terkumpul berjumlah RM30 bilion sejak dua dekad lalu sekiranya digunakan
dengan betul maka kerajaan baharu akan mampu memberi pembangunan yang amat
bermakna kepada seluruh rakyat Sarawak.
Selain itu, katanya, KEADILAN
Sarawak juga akan memperkenalkan rancangan pembukaan tanah mirip Felda yang
dinamakan Selda, dan terbuka kepada rakyat Sarawak yang tidak mempunyai tanah.
"Maka dengan itu kali ini
kita tawarkan satu manifesto yang saya rasa tidak mampu ditolak orang Sarawak.
"Kita menawarkan 6 teras
utama. Ada 17 strategi dan 46 inisiatif.
"Satu daripadanya yang
akan membuat penduduk Sarawak menerima KEADILAN, iaitu isu tanah. Tanah, sama
ada dirampas oleh kerajaan, digunakan oleh pihak syarikat besar tetapi rakyat
kebanyakan tidak memiliki tanah waima memiliki rumah sendiri
"Oleh itu kami tawarkan
Selda. Melalui Selda ini mereka yang tidak memiliki tanah boleh memohon
peruntukan tanah kepada kerajaan. Sebab Sarawak yang luas mempunyai bank tanah
yang besar.
"Kita akan memperuntukkan
sebidang tanah untuk pertanian yang meningkatkan ekonomi keluarga. Kerajaan ada
kuasa untuk mengubah Ordinan Tanah. Kalau kami diberi mandat kami akan ubah dan
kita anugerahkan tanah kepada penduduk yang memerlukan," katanya.