Ketua Srikandi KEADILAN Sarawak, Norhafizah Joharie menyifatkan
Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih gagal untuk menyelesaikan infrastruktur asas
terutamanya bekalan air bersih dan terawat untuk penduduk luar bandar.
Katanya, kemudahan asas ini sepatutnya telah diselesaikan dan
tidak akan membelenggu penduduk sekitar Bekenu jika Sarawak ditadbir dengan
baik dan efektif.
"Jika kita lihat di kawasan sekitar Bekenu terutamanya
perkampungan Kadayan, penduduknya masih menghadapi masalah ketiadaan bekalan
air malah sumber air paip ada yang tidak pernah sampai ke kediaman dan sekolah
luar bandar.
"Pelbagai aduan daripada penduduk Kampung Tiris yang
mengalami masalah gangguan bekalan air sejak beberapa tahun lepas namun keadaan
bertambah parah kebelakangan ini. Ini kerana penduduk hanya akan mendapat
bekalan air berjadual yang kebiasaanya pada tengah malam sehingga awal pagi.
"Pastinya masalah ini akan menjadi kesukaran terutamanya
warga emas apabila terpaksa bangun seawal pukul 2 pagi untuk menadah air
takungan bagi kegunaan seharian," katanya.
Justeru, katanya, jika wakil rakyat dari parti BN sebelum ini dan
sekarang dijenamakan semula dengan GPS menjalankan peranan beliau dengan baik,
pastinya masalah ini dapat diselesaikan.
"Jika kerajaan GPS yang kononnya prihatin masalah rakyat
Sarawak, pastinya tiada lagi isu kekurangan kemudahan asas di setiap ceruk
kampung dan luar bandar.
"Laungan pembangunan yang dimomokkan selama ini hanya menjadi
sebutan di bibir mereka tanpa dirasai penduduk Bekenu yang mana masalah asas
pun tidak diselesaikan lagi," katanya.