Keluhan & Harapan MSO
Selepas Dr Mahathir Mohamad berundur daripada menjadi perdana
menteri kali pertama pada (2003) kita terus menanti-nanti kehadiran seorang
yang sama
hebat
dengannya. Penggantian beliau oleh Abdullah Ahmad Badawi tidak
memenuhi harapan kita semua. Abdullah gagal meneruskan legasi yang ditinggalkan
Mahathir.
Abdullah dapat merasakan ketidakmampuannya lalu mengambil
keputusan meninggalkan jawatan (2009) dan diserahkan kepada Mohd Najib Razak.
Najib dikira sebagai pemuka atau angkatan muda, tokoh pemimpin pasca Merdeka.
Najib dianggap jenerasi ketiga negara ini.
Awalnya Najib berjaya mengarcakan dirinya sebagai pemimpin
disayangi, berjiwa rakyat, lemah lembut. Tetapi sayang rona itu tidak cukup
untuk menjadikan beliau terus disayangi. Kerana kurang cermat dan terkambus
dengan kuasa, akhirnya Najib memusnahkan dirinya sendiri.
Dengan kekalahan BN dalam Piraum 2018 kita kira negara akan
berubah dan memasuki dimensi baru apabila PH membentuk kerajaan baru. Bagaimana
pun kemenangan PH itu tidak dapat memenuhi harapan rakyat untuk melihat
perubahan secara total kerana ia dikapalai untuk kali kedua oleh Dr Mahathir
Mohamad, bukannya Anwar Ibrahim, atau tokoh yang bernuansakan reformasi.
Dengan kedudukan politiknya yang sudah lemah tidak sehebat
seperti tahun 1980an, sepanjang tempoh menjadi PM fasa pertama Dr Mahathir
tidak dapat bertahan lama. Kedegilannya dan perasaan beliau masih
hebat
mendapat sokongan rakyat walhal kemenangan dan menjadi PM kali
kedua hanya atas simpati PH, menyebabkan beliau tidak bertahan lama.
Dr Mahathir menyedari kelemahan dan berundur secara dramatik dan
penuh taktikal.
Pengunduran Dr Mahathir memberi peluang kepada Mahiaddin Md
Yassin menjadi perdana menteri orang yang tidak pernah dibayangkan. Kerana itu
kemampuan, kebolehan dan masalah sedang dihadapi Mahiaddin kini sudah diketahui
umum. Mahiaddin tidak mampu menjadi perdana menteri. Kelemahan beliau menjadi
seorang ketua negara menimbulkan persoalan umum kepadanya yang memperolehinya
secara non halal.
Kesimpulan, Dr Mahathir, Abdullah Badawi, Najib Razak dan
Muhiaddin sudah diberi peluang oleh rakyat menjadi pemimpin utama negara ini.
Namun ketiga-tiga pengganti Dr Mahathir tidak mampu memuaskan hati semua orang
berbilang kaum di negara ini kerana mereka gagal menandingi kehebatan Dr
Mahathir.
Suka atau tidak, yang ditunggu kini adalah Anwar Ibrahim untuk
diangkat sebagai perdana menteri. Jawatan itu bukan mutlak hak Anwar, tetapi
dilihat kepada iltizam dan komitmen beliau dan harapan orang ramai, maka beliaulah
satu-satu calon akurat. Tunjuk siapa lagi tokoh yang setanding dengan Anwar?
Kalau ada pun Musa Hitam, tetapi Musa pun sudah melewati musim, sama seperti
Tengku Razaleigh Hamzah. Apa lagi Musa sudah lima meninggalkan jelumun politik.
Sementara Abdul Hadi Awang awal-awal mengatakan tidak minat dengan jawatan itu.
Justeru selepas Mahiaddin berundur kita berharap berilah peluang
kepada Anwar. Sekiranya pilihan raya akan datang, ayuh kita menyokong Anwar
untuk beliau menjadi PM, kerana selain Anwar kita tidak memiliki orang lain
sepantas beliau buat dewasa ini. Trims.
- MSO