Perdana Menteri (PM) kerajaan
Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan supaya melepaskan
jawatan seandainya beliau tidak lagi mempunyai sokongan majoriti dalam kalangan
ahli-ahli Parlimen.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk
Seri Aminuddin Harun berkata, keengganan Muhyiddin berbuat demikian
memungkinkan Belanjawan atau Bajet 2021 yang akan dibentangkan pada bulan
Oktober atau November ini akan tergantung kerana gagal mendapat kelulusan
Parlimen.
"Kita tidak lupa bahawa Bajet
akan dibentangkan dalam sebulan ini. Kalau Bajet (yang disediakan oleh PN) ini
tidak akan diterima oleh Ahli Parlimen.
"Bila bajet tidak diterima ini
menunjukkan sokongan kepada pemerintah bermasalah dan menunjukkan negara kita
lemah. Kalau tidak lulus macam mana kita mahu melaksanakan perbelanjaan
kewangan pada tahun hadapan, mahu bayar gaji dan sebagainya.
"Inilah risiko yang mungkin
berlaku. Lebih baik Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai PM segera. Ini
doa kita. Terus mengharap kepada Allah agar memudahkan urusan ini.
"Kalau di Timur Tengah ada
Erdogan, di Asia Tenggara kita berharap sangat ada Datuk Seri Anwar (sebagai
pemimpin besar di rantau ini)," katanya dalam Forum "DSAI PM9
Malaysia, Langkah ke hadapan" anjuran Gabungan Reformis Malaysia yang disiarkan
secara langsung melalui Facebook dari Kediaman Menteri Besar di Seremban, malam
tadi.
Menurut Aminuddin lagi, penyokong
Reformasi juga harus bersiap sedia dengan beberapa kemungkinan sekiranya Yang
di-Pertuan Agong mendapati Muhyiddin kehilangan sokongan.
Katanya, terdapat dua kemungkinan,
sama ada jawatan PM akan diserahkan kepada Anwar atau Agong akan bersetuju
untuk membubarkan Parlimen dan Reformis perlu bekerja kuat untuk memenangkan
Pakatan Harapan.
"Kita terima bahawa dalam
pertemuan PM dengan Agong ada dua kemungkinan. Saya ada berbincang dengan
pengamal undang-undang, menyatakan bahawa, pertama, sama ada dia (Muhyiddin)
boleh serahkan (jawatan) dengan cara baik, nyatakan tidak ada sokongan dan
Agong tentukan siapa yang akan menggantikan. Kedua dia memilih untuk
membubarkan Parlimen. Kalau dibubarkan parlimen adakah kita bersedia? Itu
persoalan kita.
"Pilihan raya kita harap tidak
berlaku dalam suasana Covid 19 yang kritikal dan mungkin datang gelombang
ketiga kalau pilihan raya dipanggil untuk menentukan kepimpinan baru. Saya rasa
Covid 19 ini akan mendatangkan lebih banyak masalah," katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Aminuddin menolak
tuduhan pihak lawan kononnya Anwar kemaruk merebut kuasa di tengah-tengah
pandemik Covid 19.
Menurutnya, Anwar tidak 'gila kuasa'
kerana telah sanggup menunggu selama 22 tahun. Anwar hanya ingin merobah
Malaysia menjadi lebih baik ditengah-tengah barah rasuah dan penyalahgunaan
kuasa yang berleluasa.
Majlis malam tadi didahului solat
hajat dan bacaan Yassin memohon agar dipermudahkan urusan perlantikan PM ke 9.